Di dalam artikel yang lepas iaitu artikel yang bertajuk Tiga Teknik Mudah Mengawal Pemikiran Negatif, saya telah kongsikan tentang latihan-latihan yang dapat membantu kita untuk mengawal cara kita berfikir dan artikel kali ini, saya akan berkongsi pula cara-cara untuk kita berdamai dengan pemikiran tersebut tanpa perlu kita menafikan ia dengan sekeras-kerasnya.

Menurut Dr.Russ Harris, semakin kita menafikan pemikiran tersebut, kita akan semakin bertambah tertekan dan pemikiran tersebut tidak akan selesai bahkan, ia akan sentiasa menghantui hidup kita, lalu memberikan tekanan di dalam kehidupan kita.

Di dalam rawatan psikoterapi ACT, ramuan utamanya adalah menerima dan berdamai dengan pemikiran tersebut. Jadi, bagaimanakah cara untuk kita berdamai dengannya?

Jawapannya ada di dalam surah al-Kahfi. Namun pada masa yang sama, saya akan kongsikan juga beberapa teknik yang ada di dalam rawatan psikoterapi ACT yang boleh kita aplikasikan di dalam kehidupan kita.

Seperti yang kita tahu, al-Quran itu diturunkan kepada umat manusia untuk dijadikan sebagai panduan hidup. Mungkin selama ini kita kurang mendampingi al-Quran, jadi kita tidak nampak apa yang terkandung di dalamnya. Merujuk buku ‘Menggapai Bintang’ karya Ustaz Syaari Ab Rahman, beliau berkongsi tentang pengajaran yang terdapat di dalam surah al-Kahfi dan saya mendapati ada tiga cara yang boleh digunakan untuk berdamai dengan pemikiran kita sendiri.

Berfikir secara berlebihan atau dikenali sebagai overthinking ialah pemikiran yang kerap berulang sehingga menghalang kita untuk mencapai sesuatu matlamat dalam hidup. Berfikir secara berlebihan kadang-kadang membantu kita untuk lebih bersedia dengan perkara yang akan datang, tetapi juga boleh menjadi satu keburukan kepada diri kita. Disebabkan itu, kita perlu bijak mengawal pemikiran dan belajar untuk menenangkan pemikiran tersebut.

Berfikir secara berlebihan juga akan menyebabkan kita mula rasa cemas dan menimbulkan pemikiran negatif. Apabila pemikiran negatif itu telah mengawal diri kita sepenuhnya, dari situ kita akan mula risaukan tentang masa depan kita sehingga mengganggu kefungsian hidup kita.

Terdapat beberapa bentuk pengajaran di dalam surah al-Kahfi yang boleh jadikan sebagai kunci untuk menenangkan pemikiran dan juga sebagai cara untuk kita berinteraksi dengan apa yang belum dan yang akan berlaku.

1. Mengingati sifat Allah yang Maha Pengasih

Kita semua pasti pernah berada di dalam satu situasi yang mana kita berasa takut jika sesuatu keburukan akan menimpa kepada diri kita, sehingga mendatangkan pemikiran yang negatif. Sebagai contoh, sehari sebelum sesi temu duga berlangsung, kita mungkin sudah mula berfikir seperti ini,

“Habislah aku esok, sebab aku tak pandai bercakap bahasa Inggeris. Mesti aku tak akan dapat kerja ini.”

Pemikiran seperti ini yang akan menjatuhkan motivasi diri kita dan mengurangkan keyakinan diri kita. Sedangkan, kita tidak tahu yang sesi temu duga itu mungkin akan diatur menggunakan bahasa Melayu. Tetapi, sekiranya keburukan itu akan menimpa kepada diri kita juga, maka kita perlu ingat bahawa Allah itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Segala yang terjadi itu adalah di bawah kekuasaan dan ketetapan Allah SWT. 

Di dalam surah al-Kahfi juga, kita dapat teladani kisah dua orang pemilik kebun yang diuji Allah dan salah seorang daripada mereka berasa sungguh menyesal akibat perbuatannya lalu dia bertaubat.

Ketahuilah bahawa ujian atau takdir buruk yang menimpa kepada kita itu adalah satu bentuk teguran daripada Allah untuk kita perbaiki silap diri kita. Jika terlalu kerap berfikir tentang sesuatu keburukan yang bakal menimpa kepada diri kita, kita akan rugi dengan peluang yang ada di depan mata. Dan sekiranya benda buruk itu tetap akan terjadi, kita perlu tanamkan di dalam diri kita bahawa semua itu adalah ketetapan Allah dan Allah jadikannya kerana untuk melindungi kita daripada tergolong dalam kalangan mereka yang rugi, dengan sifatnya yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

2. Syaitan mempermainkan kita

Fikiran negatif yang menjelma selalunya akan menjadikan kita seorang yang rugi dan banyak peluang yang kita terlepas akibat sibuk memikirkan sesuatu perkara yang belum terjadi atau perkara yang belum pasti. Bukan itu sahaja, bila terlalu memikirkan perkara negatif tersebut, kita menjadi lupa tentang tujuan kita berada di atas dunia ini dan lupa tentang matlamat dan tanggungjawab kita di dunia. Di sinilah, syaitan akan melakukan kerjanya iaitu menjadikan kita seorang pelupa. 

Di dalam surah al-Kahfi, kisah syaitan yang telah menyebabkan anak murid kepada Nabi Musa a.s terlupa untuk memberitahu kepada baginda semula tentang lokasi sebenar yang menjadi tempat untuk mereka bertemu dengan Nabi Khidir a.s. Perkara ini dirakamkan di dalam surah al-Kahfi, ayat 63:

“Temannya berkata: ‘Tahukah apa yang telah terjadi ketika kita berehat di batu besar itu? Sebenarnya aku lupakan hal ikan itu; dan tiadalah yang menyebabkan aku lupa daripada menyebutkan hanya kepadamu melainkan syaitan; dan ikan itu telah menggelongsor menempuh jalannya di laut, dengan cara yang menakjubkan.”

Saya pernah bertanya kepada sahabat saya, adakah pemikiran negatif ini juga satu bentuk gangguan yang datang daripada syaitan? Beliau menjawab YA. Syaitan sangat licik dalam mempersendakan kita dan caranya dengan menimbulkan ilham dan membisikkan ke dalam hati kita supaya kita menjadi tertarik dengan apa yang ditimbulkannya. Perkara ini juga bermaksud bahawa, syaitan tidak mempunyai kuasa untuk mengganggu fikiran kita tetapi kita yang selalu membenarkan segala bisikan yang ditiupkan kepada kita itu lalu, kita jadikan fikiran itu sebagai sesuatu yang serius.

3. Bersikap optimis

Umat Islam sentiasa dituntut untuk bersangka baik kepada Allah. Kita tidak punya kuasa untuk menentukan apa yang akan terjadi pada hari esok, bahkan satu saat ke depan pun kita tidak mampu. Allah telah mendidik kita di dalam surah al-Kahfi, pada ayat yang ke-24:

“Melainkan (hendaklah disertakan dengan berkata): ‘Insya-Allah’. Dan ingatlah serta sebutlah akan Tuhanmu jika engkau lupa; dan katakanlah: ‘Mudah-mudahan Tuhanku memimpinku ke jalan petunjuk yang lebih dekat dan lebih terang daripada ini.”

Melalui ayat ini, Allah menyuruh kita untuk meminta bimbingan daripada Allah ke jalan petunjuk yang lebih baik daripada keadaan kita yang sekarang. Jika kita terlalu memikirkan perkara negatif itu, kita akan lupa untuk fokus pada masa sekarang.

Banyak perkara yang kita boleh lakukan untuk menambaik kehidupan kita daripada sibuk melayankan pemikiran negatif itu dan setelah kita berusaha, berfikirlah secara optimis kerana kita ada Allah yang berkuasa untuk memberikan kita segala-galanya, bahkan perkara yang kita sendiri tidak sangka-sangka.

Seterusnya, cara terbaik yang ada di dalam rawatan psikoterapi ACT untuk kita berdamai dengan pemikiran negatif adalah dengan menerima apa yang kita sedang fikirkan dan kemudian memberitahu kepada diri kita, bahawa kita ada satu kuasa yang lebih besar untuk kita bergantung sepanjang masa iaitu Allah SWT. Seperti contoh tadi, iaitu merasa tidak yakin untuk hadir ke sesi temu duga kerana tidak pandai berbahasa Inggeris. Kita terima pemikiran tersebut dengan mengatakan seperti ini:

“Aku terima yang pada masa sekarang ini, aku rasa takut dan tidak yakin sebab aku tidak pandai bercakap bahasa Inggeris.”

Cukup setakat itu. Lalu langkah seterusnya, kita serahkan sepenuhnya apa-apa yang kita tidak mampu kawal seperti nasib masa depan kita atau jawapan kepada sesi temu duga itu tadi kepada-Nya.

Melalui cara ini, kita akan menjadi lebih tenang dan mampu memberi fokus terhadap masa sekarang. Hal ini kerana, sebagai seorang manusia yang beriman, kita perlu yakin dengan masa depan kita yang dipegang oleh Allah SWT dan Allah itu akan sentiasa memberikan yang terbaik untuk kita meskipun itu bukanlah seperti yang kita mahukan.

Selain itu, rawatan ACT juga mengajarkan kita untuk memberi ruang atau make a room or space untuk pemikiran yang datang. Kita layan pemikiran tersebut seperti tetamu. Berikan ia ruang untuk datang menyinggah di dalam fikiran kita. Seperti tetamu, mereka sekadar datang untuk melawat kita, bertanya khabar dan akhirnya akan pulang semula. Lalu, seperti itu juga lah kita perlu melayani pemikiran tersebut.

Melalui cara ini, kita tidak akan rasa terikat lagi dengan pemikiran tersebut dan pemikiran itu tidak akan mempunyai kuasa untuk mengawal kita lagi. Satu ungkapan menarik yang ingin saya kongsikan sekiranya pemikiran negatif itu datang ke dalam fikiran, kita boleh kata kepadanya seperti ini:

“Selamat datang wahai fikiran negatif. Mari, saya berikan ruang untuk kamu duduk selama 1 minit. Selepas itu, kamu harus pergi.”

Sebenarnya dengan meletakkan tempoh masa untuk melayani pemikiran negatif itu juga sangat membantu. Bukan untuk pemikiran negatif sahaja, tetapi untuk gangguan emosi juga seperti emosi sedih. Kita boleh menetapkan masa dalam 1-5 minit untuk kita merasa sedih dan layanlah emosi tersebut pada waktu itu sahaja. Selepas tamat tempoh masa itu, kita perlu lepaskan ia dan kembali fokus semula dengan masa sekarang.

Teknik menetapkan tempoh masa ini saya dapat melalui perkongsian daripada seorang kenalan saya yang juga merupakan seorang pakar perunding psikiatri, iaitu Dr.Marina. 

Secara kesimpulannya, gabungan terapi secara rohani dan rawatan psikoterapi moden sebenarnya dapat membantu kita dalam menangani apa jua masalah dalam kehidupan. Sebagai seorang muslim, kita seharusnya meletakkan segala urusan hidup kita kepada-Nya dan dengan cara itu, kita tidak akan berlebih-lebihan dalam memikirkan sesuatu perkara yang melibatkan soal masa depan seperti soal rezeki, jodoh dan ajal.

Apabila kita meyakini bahawa Allah itu sentiasa menginginkan yang terbaik untuk kita, lalu segala kerisauan dan keresahan yang datang menerpa, kita mampu untuk berdamai dengannya. Semoga kita semua mampu meletakkan sepenuh kepercayaan dan kebergantungan kita kepada Allah secara total dan tiada rasa ragu-ragu. 

Berdamai dan berkawanlah dengan pemikiran kita. Jangan dipaksa untuk menyuruhnya pergi, tetapi berikanlah ia ruang seketika dan menepi secara perlahan-lahan buat selama-lamanya. Kita pasti boleh !

Disediakan oleh,

Faha Anuar

Pelajar Psikologi, Universiti Malaysia Sabah. 

Rujukan: 

Ab Rahman, Syaari. (2019). Menggapai Bintang (Cetakan Pertama Mac 2019). IMAN Publication Sdn.Bhd.

Harris, R. (2021). The Happiness Trap – Stop Struggling, Start Living (Later Edition). Auckland, Australia: Exisle Publishing Limited.

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.