in

LoveLove

Akhirnya, Masjid Juga Tempat Yang Mendamaikan

Paris terkenal dengan Menara Eiffel, lokasi wajib pergi jika sudah sampai ke sana. Rata-rata pelancong akan bergambar di situ sebagai tanda kenang-kenangan.

Awal pagi lagi kami keluar dari hotel, menaiki kereta api bawah tanah, bertukar-tukar platform dan akhirnya tiba di stesen yang meluruskan perjalanan kami ke Menara Eiffel. Jauh juga jaraknya dari platform dan kami perlu berjalan kaki ke sana.

Pagi yang sejuk itu kami nikmati agar tidak terlepas pandang momen-momen untuk dibawa pulang kelak. Di kiri kanan berdiri megah bangunan-bangunan kedutaan dan hotel mewah. Benarlah, yang mewah-mewah saja di Paris ini, bandar yang berkembang pesat dengan industri fesyen dan makanan bertaraf dunia.

Sebaik saja kami sampai di sana, kaunter tiket masih belum dibuka. Sekumpulan merpati hinggap bertenggek, cebisan biskut yang berada di dalam poket dihancurkan dan belum sempat dicampak jauh, merpati terbang mengelilingi kami. Terbangnya mereka di pagi hari mencari makanan, berkongsi rezeki dengan manusia. 

Matahari mula naik tinggi, kami pun berjalan di kawasan sekitar. Kami didatangi lebih daripada tiga orang wanita, mereka memaksa kami untuk memberikan sumbangan dan menanda tangan sehelai kertas, sebagai rekod kami memberikan sumbangan. Mereka ini ramai, datang meminta secara berkumpulan. Mereka mengekori kami sehinggalah kami memberikan wang, barulah mereka beredar.

Pagi saya sudah tidak seindah yang saya harapkan. Sekilas saya membaca membaca halaman blog kembara, ternyata benar sangkaan saya, cara mudah mencari wang daripada kalangan pelancong.

Kami teruskan perjalanan menuju Masjid Besar Paris. Siapa sangka, masjid yang sangat cantik dan berseni ini wujud di tengah kota Paris! Saat melihat masjid besar yang berdiri teguh di depan mata itu terasa seperti sudah sampai ke rumah sendiri!

Berjalanlah beribu batu jauhnya dari tanah air, selain terjumpa dengan rakyat Malaysia sendiri, saya sangat lega dapat memasuki masjid di sana. Walau kebanyakan masjid di Eropah ini tidaklah besar-besar seperti di Malaysia, namun perasaan itu tetap sama. Kita tetap juga akan mencari ‘nyawa’ di tempat tersebut

Saya teruja apabila melihatkan seorang lelaki tua, berkopiah putih bersungguh-sungguh meyambut kedatangan kami ke masjid itu. Beliau menunjuk jalan masuk ke masjid. Saya tidak pernah tahu akan kewujudan masjid yang indah itu. Kami merancang untuk mencari makanan halal di sekitar masjid. Pasti ada!

Sedang kami berjalan ke tempat solat, kami melihat corak-corak dinding masjid, hiasan dalaman masjid, sangat cantik! Tempat solat wanita di bahagian luar, masuk saja ruangan solat kedengaran suara-suara yang sedang mengalunkan ayat suci al-Quran. Saya lihat terdapat sekumpulan wanita sedang belajar mengaji, yang diketuai seorang muallimah. Lantang beliau menegur bacaan anak muridnya. Seperti saya pula yang sedang dibetulkan bacaannya. “Qaf, bukan kaf!”

Saya teringat momen kami di sebuah masjid di Salzburg. Hari itu salji turun dan tidak lama selepas itu hujan turun dengan lebat. Kami sudah tidak tentu arah, musim sejuk ditambah dengan turunnya hujan, kesejukkan itu mencucuk sehingga ke tulang sum-sum.

Waktu itu baru jam 10 pagi. Masih tiada orang di masjid tersebut, kami turun ke tingkat bawah tanah (ruangan perempuan) dan memasang pemanas mini untuk memanaskan badan kami. Tidak lama kemudian, datang seorang ustazah bersama tiga orang anak muridnya. Dalam kesejukan pagi, dengan berlantaikan masjid yang sejuk, mereka duduk untuk belajar membaca al-Quran.

Menggigil-gigil kami menahan sejuk sambil memeluk tubuh yang sudah dibalut dengan kot musim sejuk. Kuasa pemanas mini itu tidak mencukupi. Kami mahu beransur, risau mengganggu kelas mereka namun mereka meminta kami duduk saja. Kami cuba berkomunikasi tetapi disebabkan kekangan bahasa, senyuman menjadi bahasa percakapan kami.Benarlah, sesungguhnya mukmin itu bersaudara.

Inilah kenangan terindah saya di kota Paris. Sampai bila-bila, tujuan yang sama akan menemukan orang-orang yang dalam perjalanan. Kita akan berasa senang dan boleh mengambil seberapa banyak iktibar agar mempunyai semangat juang untuk melihat kebenaran tertegak di pelosok dunia.

Nukilan,

Jiha Jahari

Sikap Suka Menakut-nakutkan di Kalangan Peribumi

Hamka Memaknai Erti Sahabat Berjiwa Besar!