in

Aini Cita-cita Doktor

Geram rasanya melihatkan Aini susah benar memahami Matematik. Susah benarlah dia sehingga perlu menelan berbakul-bakul bebelan Guru Desi. Sambil membaca karya Andrea Hirata ini, sungguh saya berasa sangat dekat kisah Aini ini dengan jiwa saya. Ya, saya juga pernah menjadi seorang Aini ketika di bangku persekolahan.

Klik gambar untuk beli buku ini!

Saya juga pelajar yang sentiasa hilang tujuan dalam kelas Matematik. Lagi-lagi dalam subjek Matematik Tambahan. Ketakutan saya menghadapi nombor serta formula aneh di papan putih akhirnya membuatkan saya sendiri tidak yakin akan diri sendiri. Jika Aini bertekad mahu masuk ke sekolah perubatan, saya juga ada tekad, iaitu mahu terbang ke bumi Mesir!

Dek tekad yang menggunung itu, saya memaksa diri untuk berkenalan dengan matematik. Dengan impian itu juga saya cuba melupakan masalah disiplin yang sedikit sebanyak meruntuhkan keyakinan saya dalam pembelajaran. Namun, usaha saya dalam menggapai impian ke bumi anbia itu sama sekali tidak pudar, malah semakin membara-bara dek kerana kepercayaan guru-guru terhadap diri saya, seperti mana Guru Desi Istiqomah yang percaya dan mempunyai keyakinan terhadap anak muridnya, Aini.  

Terima kasih saya ucapkan kepada guru saya kerana mengucapkan “Awak ada kebolehan”, “Awak selalu wakil sekolah tapi subjek saya makin bagus markah”, “Awak sangat rajin, cuma dulu selalu jumpa cikgu, sekarang dah tak jumpa dah? Kenapa?”

Kenapa? Tatkala soalan itu diajukan, barulah saya sedar bahawa saya sudah lari daripada matlamat asal saya, iaitu saya mahu ke Mesir! Kerana susahnya belajar, saya jadi putus asa kerana berbulan-bulan belajar tetap saja susah saya mahu menerima nombor-nombor yang makin lama makin menuju infiniti. Bukannya tidak cuba memahami, malah pernah juga dipersoalkan, “Itupun tak tahu ke?”

Saat saya sedar bahawa SPM merupakan perjuangan individu, tatkala itulah saya berdoa semahu-mahunya agar Tuhan memaafkan saya dan melapangkan dada saya agar saya yang kurang pintar ini sentiasa diberikan hidayah. Terngiang-ngiang dalam kepala saya dengan kata guru saya, “Ilmu itu cahaya, cahaya tidak dapat masuk ke dalam hati yang gelap. Maka, berdoalah dengan harapan bahawa Allah akan terus mendengar dan membersihkan dosa-dosa kita.” Saat saya merasakan bahawa tidak terdaya lagi untuk memahami kebanyakan topik, maka saya hanya berserah dengan melakukan yang semampunya saja.

Terharu saya tatkala melihat Aini akhirnya berjaya menjawab soalan sukar serta bertarung melawan bunyi kapur menjawab soalan Matematik bersama Guru Desi dan rakan-rakannya. Tidak sia-sia Aini mengecat basikalnya, menulis di warung kopi, menconteng dinding rumahnya dengan tulisan “Aini Cita-Cita Doktor” sehingga seluruh pekan Belantik tahu akan impian anak kampung itu. Akhirnya, Tuhan memakbulkan impiannya, setelah melalui fasa-fasa getir, Aini diterima masuk ke sekolah perubatan!

Begitu jugalah kepuasan yang saya rasai apabila akhirnya Allah memberi ruang dan peluang kepada saya untuk belajar jauh dari bumi Malaysia, bagaikan mimpi, doa-doa yang saya titipkan, ibu bapa yang sentiasa mendoakan saya, guru-guru yang tidak putus asa terhadap saya. Tetap saya ingat pelukan guru ketika hari mendapatkan slip keputusan SPM yang benar-benar mempercayai akan diri saya tatkala saya berasa tidak mampu untuk memegang pensil untuk menulis jawapan ketika SPM.

Dek kerana kasihnya Allah memberi saya peluang untuk merasai kegagalan, Dia juga yang memberi peluang kepada saya merasai kemanisan kebangkitan selepas menghadapi beberapa siri kegagalan. Maka, semakin lama semakin menebal kesungguhan saya yang bercita-cita untuk menjadi seorang guru, seperti mana Guru Desi Istiqomah yang istiqomah dalam perjuangannya dalam dunia pendidikan.

Terima kasih kepada Andrea Hirata yang menghasilkan karya yang sungguh dekat dengan jiwa saya, malah mungkin ramai lagi yang mempunyai nasib seperti Aini. Geli hati juga melihatkan Aini yang degil untuk ke rumah Guru Desi setiap petang sehinggalah usahanya berhasil. Semoga Allah melimpahkan kurnia-Nya kepada kita dalam usaha menuntut ilmu-Nya.

Ingatlah janji Rab kepada kita: Barang siapa yang menempuh suatu jalan untuk menuntut ilmu, Allah akan memudahkan baginya jalan ke surga (HR Muslim).

InshaAllah.

Disediakan oleh: Jiha Jahari

Bukan Mudah Menjadi Imam

Sanubari atau Kepentingan Kendiri? Nota Kepada Pemuda