in

Agama Ini Mudah Tapi Jangan Sesekali Kita Ambil Mudah

“Agama ini mudah tapi jangan sekali kita ambil mudah.” 

Saya lupa di mana pertama kali saya mendengar kata-kata ini. Sejurus saja saya mendengar bait kata ini dituturkan, serasa ada tamparan yang menampar pipi saya dengan kuat sekali.

Sering kali kalau melancong ke luar negara, ada yang jenis mahu nampak logo halal, baru boleh makan; kalau tiada, jatuh haram. Ada jenis yang makanan atau restoran tiada logo halal, tetapi setelah melihat bahan, proses yang dilakukan tidak menimbulkan ragu-ragu, maka yakin untuk makan.

Teringat satu kisah di mana saya dan rakan-rakan sedang berkelana di sebuah bandar asing yang minoriti Muslim, langsung tiada restoran atau makanan halal. Pada malam itu, keadaan agak tegang apabila saya tidak mahu makan lauk sayur yang satu-satunya lauk yang kami sangka tiada daging di dalamnya. Saya tetap berkeras, sehinggalah saya membelek sayur di dalam mangkuk itu, rupanya daging diletakkan penuh di bawah timbunan sayur tersebut. 

Ketika di Paris, kami masuk ke dalam sebuah kedai runcit milik orang Arab dan mereka boleh berbahasa Inggeris. Terus kami bertanya, “Yang mana satu roti tiada alkohol?” 

Kemudian, beliau menunjukkan ke arah rak roti sambil berkata, “Semua boleh dimakan.” Kemudian, kami mengatakan kami tidak boleh makan kerana kami lihat dalam senarai kandungan ada alkohol. Terkejut beliau, kemudian beliau mengatakan roti di bahagian depan semuanya buatan mereka sendiri dan tidak meletakkan apa-apa alkohol. 

Apabila kami ke Barcelona, ada seorang mak cik yang kami jumpa di atas kapal terbang bertanya khabar sepanjang tiga hari kami di sana melalui WhatsApp. Paling terharu, beliau memberitahu jenis roti dan beberapa jenis biskut yang boleh dimakan. 

Saya merasakan peristiwa pertama tentang lauk sayur daging itu benar-benar memberi impak yang besar terhadap saya untuk berhati-hati dan menjaga bab makan di tempat orang. Berkelana di tempat orang tidak patut menjadikan kita manusia yang memudahkan agama tanpa usaha. Boleh bertanya, boleh mencari, maka dapatlah yang boleh dimakan. Adakalanya saya juga terbabas dengan alasan, “Boleh makan kot ni”, walhal tampak jelas perkara yang was-was.

Cuma bercerita halal, haram dan syubhah dalam bab makan ini, lantang dan terang sekali orang kita melontarkan pendapat dan pegangan masing-masing. Pernah sekali ketika kami makan di Korea, langsung terus ditegur dengan sinis oleh sepasang suami isteri Melayu,

“Eh tak ada logo halal, korang makan juga? Jatuh haram. Kami dah seminggu dekat Busan ni memang tak jumpa satu pun kedai seafood halal, pelik juga korang kata jumpa tempat makan.” 

Kami berempat hanya menunduk senyap, jika kami cerita kami sudah bertanya dengan ahjumma, dah beritahu bahan apa tidak mahu letak dalam makanan kami dan sebagainya, jawapan daripada mak cik itu mungkin akan tetap sama, iaitu haram. Walau bagaimana pun, tidaklah bermakna saya langsung tidak bersetuju dengan mak cik itu. 

Dalam sibuk orang kita berdebat makanan itu halal atau haram, ubat itu ada DNA babi atau tidak, vaksin itu halal atau haram; ada perkara lain yang kita lupa atau terlepas pandang secara serius. Yang kita sibuk nak tahu halal atau haram tetapi apa sebab utama kita belajar untuk membezakan halal atau haram? Adakah sebab disiplin ilmu itu sendiri atau kita kelak boleh menjatuhkan hukum terhadap orang lain?

Kita sangatlah menjaga hukum hakam dalam bab makan tapi tangan menaip di ruangan komen menghina orang lain, mulut bercakap kasar, hubungan antara lelaki dan perempuan tidak dijaga, melewatkan solat; kadang-kadang kita terlepas pandang akan perkara lain yang sepatutnya kita pandang serius seperti mana kita serius menjaga dalam bab makan.

Jangan pula kita belajar agama untuk kita menjadi seorang penghukum ataupun mengambil hukum yang kita suka saja untuk memenuhi kehendak diri kita. Manakala, hukum yang kita rasa renyah, kita tutup mata hati seolah-olah merasakan ia bukan untuk kita.

“Wahai orang yang beriman, masuklah kamu semua ke dalam Islam. janganlah kalian mengikuti langkah-langkah syaitan. Sungguh, syaitan itu musuh yang nyata bagi kalian,” (Surat Al-Baqarah ayat 208).

Maka, tanggungjawab kita untuk belajar dan mendalami agama yang syumul ini tanpa rasa jemu kerana agama ini fleksibel sepanjang zaman. Belajarlah sehingga pada akhirnya, agama ini mendamaikan jiwa-jiwa kita dan orang sekeliling.

Disediakan oleh,

Jiha Jahari

Bahan Bacaan Elektronik Pilihan Sepanjang Pandemik

Merdeka 2021: Antara Memori dan Muatan Pengisian