in

LoveLove

Adakah Kita Pendengar yang Baik?

“Harus kita akui bahawa mendengarkan adalah aktiviti yang terlihat sederhana, tetapi sebenarnya tidak pernah sederhana”

Sekadar mendengarkan untuk menjawab mungkin mudah, tetapi bagaimana untuk mendengar dengan memahami dan menyembuhkan? Pasti kita pernah menerima respon seperti ini ketika meluah:

“Nabi dulu lagi teruk diuji”

“Aku dulu lagilah susah tapi boleh je hadapi”

“Banyakkan mengadu kepada Tuhan jangan mengadu kepada manusia, nanti kecewa”

“Banyakkan bersabar, pasti ada hikmahnya.”

Pernah kan?

Ketika seseorang sedang meluah, yang dimintanya bukanlah sebuah perbandingan atau nasihat tetapi telinga untuk mendengar bagi meringankan segala beban yang dihadapi.

Kata Novie Ocktaviane Mufti dalam bukunya Tumbuh dari Luka, biasanya dengan kondisi emosi yang bergejolak, orang-orang yang sedang terluka belum bisa kita beri masukan atau nasihat. Sebaliknya, yang mereka perlukan adalah kehadiran kita, iaitu kita sepenuh hati hadir untuk menemani dan mendengarkan”

Pendapat atau nasihat sebegini tiada salahnya cuma bukan tepat pada waktunya. Bila emosinya mereka sudah membaik pasti akan memikirkan dan menilai kembali nasihat-nasihat itu. Bukannya kita tidak tahu setiap kesulitan yang dihadapi itu ada hikmahnya, kita cuma belum bertemu atau menilai di dalam kondisi emosi yang belum stabil. Bukannya kita tidak sabar, bahkan sabar itu bukanlah bersifat pasif tanpa sebarang tindakan. Dengan meluahkan itulah adalah sebuah proses dalam bersabar.

“We think we listen, but very rarely do we listen with real understanding, true empathy. Yet listening, of this very special kind, is one of the most potent forces for change”

Dalam proses kaunseling salah satu cara mendengar ialah dengan metode attending with minimal iaitu tidak menjawab atau menilai luahan tetapi dengan memberi respon-respon singkat seperti:

“Aku tahu mesti berat kamu menanggungnya”

“Beratkan rasanya?”

“Memang susah untuk lalui semua itu”

Siapa sangka, hanya kerana merasa didengarkan, seseorang boleh memperbaiki makna atau pandangan yang ia miliki tentang luka-luka yang sedang ia terima.

Kata ustaz Hasrizal dalam buku Sisi Berakhlak yang Hilang, kemahiran dan keupayaan mendengar dengan baik adalah asas untuk manusia mencari, memberi dan menerima yang terbaik dalam hidup ini. Perbuatan mendengar itu sendiri merupakan syifa’ iaitu penawar dan rawatan buat yang mendengarkan masalahnya.

Bagaimana untuk menjadi pendengar yang baik?

Dengar dengan telinga, mata dan hati.

Mendengar bukan sahaja bentuk komunikasi. Intonasi dan bahasa badan dan ekspresi wajah ketika mendengar atau merespon juga adalah bentuk komunikasi. Contohnya, telinga mendengar tetapi mata sibuk menatal skrin telefon sambil mengangguk-angguk. Respon di mulut hanyalah keluar perkataan “Hmmm” atau “Ohhhh”. Seharusnya ketika seseorang sedang meluah, menghadap ke arah orang yang sedang meluah dan mata juga perlu memandang ke arahnya.

Meletakkan diri di tempat orang lain.

Mungkin latar belakang kita berbeza, ujian kita berbeza, penerimaan kita berbeza. Dengan meletakkan diri di tempat seseorang itu, kita boleh mendapat idea untuk mencadangkan sesuatu yang lebih ‘damai’ tanpa memberi respon yang menyakitkan.

“Putting yourself in other people’s shoes is the single best way to be a compassionate person, a sympathetic friend, and a noble opponent”

Cermin diri.

Lihat wajah kita dihadapan cermin. Cermin tidak menghukum, tidak menilai, tidak mengkritik dan tidak memberi nasihat. Sebaliknya, cermin hanyalah memberi pantulan imej. Ketika mendengar seseorang meluah, cuba kita fikir;  apakah respon yang kita mahukan daripada pendengar? Adakah sekadar ada di sisi untuk mendengar tanpa sebarang kata-kata atau mahu memberi respon untuk membenarkan perasaan yang sedang kita hadapi. Sebagai pendengar, kita boleh juga bertanyakan respon apa yang mereka inginkan. 

“Treat others as you would to be treated”

Semua orang boleh mendengar tetapi tidak semua orang mampu mendengar. Bagaimana untuk menghasilkan empati dan simpati jika kita tidak mahu belajar untuk mendengar?

Disediakan oleh: A. Rafa


Hantar karya anda di emel [email protected]

Karya yang terpilih akan disiarkan di laman web Jejak Tarbiah dan mendapat baucar buku RM30!

Orang Egois Memang Tidak Pernah Memikirkan Orang Lain

Agama yang Mempercayai Konsep Roh Berpindah dan Kelahiran Semula