“Mengembaralah dengan hati dan nurani, memberi erti kepada kehidupan dan hidup bertuhan”

Entah, daripada asyik menulis buku-buku agama, setahun dua ini saya aktif dan cenderung mencatat tentang travelog inspirasi pula. Namun, penulisan mengenai isu-isu agama tidaklah sehingga diabaikan atau dibiarkan, bahkan tetap saya lanjutkan melalui wahana majalah yang diterbitkan pada saban bulan.

Entah, sebenarnya saya juga sudah berjanji pada isteri untuk berehat sebentar daripada kembali asyik mengarang. Mengapa sehingga berjanji? Sebabnya sudah tiga bulan saya tidak cukup tidur dek menyiapkan karya berjudul Menjejaki Firman-Mu di Langit Amerika yang selamat menemui pembaca pada awal tahun 2019 yang lalu.

Walau bagaimanapun, tidak sampai enam bulan janji itu terpaksa saya curangi kerana hati dan jari sudah memberontak mahu kembali beraksi. Tambahan pula,
apabila tiba bulan Ramadan, semangat dan kemahuan untuk menukang sebuah lagi buku makin membuakbuak. Apatah lagi kebanyakan buku yang saya tulis siap sempurna pada bulan penuh keberkatan itu. Antaranya 303 Fikah Kematian, Istimewa Untuk Permata Hati, 7 Golongan Dinaungi Arasy, Bahagianya Menjadi Gadis Pilihan dan Take 5.

Saya tidak segan mengaku bahawa berulang-ulang kali saya membaca karya atau buku sendiri. Jika berasa sunyi, pasti saya akan mencapai mana-mana judul yang ada untuk dibaca kembali.

“Abi, kenapa abi baca buku abi sendiri? Pelik!” Hairan anakanda saya, Muhammad Fathi Hijazi yang baru berusia lapan tahun melihat tingkah ayahnya.

“Abi sedang menasihati diri sendiri,” jawab saya sambil tersenyum.

Selepas catatan kembara ke Negara Uncle Sam; Menjejaki Firman-Mu di Langit Amerika mendapat sambutan yang baik, saya berasa mahu mengabadikan
dan membukukan pula kenangan kembara di negara matahari terbit yang pernah saya lawati pada tahun 2017.

Ada sebahagian kecil ceritanya telah saya kongsikan menerusi buku Menjejaki Firman-Mu di Langit Amerika manakala sebahagian besarnya sudah pasti saya akan tumpahkan di sini. Mudah-mudahan kembara kali ini juga mencetuskan inspirasi, motivasi dan hikmah bukan sahaja pada saya, bahkan pembaca.

Menyebut tentang inspirasi dan motivasi menulis, ada beberapa buah buku yang ternyata membungakan inspirasi dan dorongan kepada saya untuk meneruskan
idea menulis buku travelog. Berikut antara judulnya:

  • 4 Bulan di Amerika karya HAMKA.
  • Di Tepi Sungai Dajlah karya HAMKA.
  • Islam di Timur, Islam di Barat karya Dr. Zulkifli Hassan.
  • Kembara Sastera Nisah Haron karya Nisah Haron.
  • Anak Malaya di Republik Turki karya Thaqib Shaker

Lebih daripada 10 buah buku bertemakan travelog ada dalam simpanan perpustakaan di rumah saya. Kesemuanya saya dapatkan dengan membelinya dek mahu menulis dan menyiapkan Menjejaki Firman-Mu di Langit Amerika. Bagi saya, untuk menulis sesebuah buku, penulis perlu membaca sekurang-kurangnya 10 buah buku yang menawarkan tema yang sama. Alhasil, barulah kita mengetahui sedikit sebanyak alir penulisan dan merangka susunan subtopik yang sesuai dihidangkan kepada pembaca.

Tidak dinafikan ada banyak lagi buku travelog terbitan terkini, namun rata-ratanya kurang menepati selera saya kerana ditulis dengan bahasa hipster apatah lagi penceritaannya separuh masak. Lain orang, lain cita rasanya. Apa-apa pun terpulang kepada selera masing-masing.

Jika diperhalusi, ada banyak ayat al-Quran yang menggalakkan manusia supaya mengembara ke setiap pelosok dunia. Perkataan “berjalanlah” atau “mengembaralah” diangkat dan digunakan agar kita melihat dengan hati dan nurani setiap ciptaan Allah SWT, saling bersuai kenal dengan bangsa-bangsa lain serta menginsafi kesan umat-umat terdahulu yang ingkar. Kesemuanya itu bertujuan meningkatkan pengetahuan
insan tentang kehidupan dan hidup bertuhan.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Rum, ayat 42 yang bermaksud:

“Katakanlah: Mengembaralah di muka bumi, kemudian lihatlah kesudahan orang terdahulu (yang telah dibinasakan); kebanyakan mereka adalah golongan Musyrik.”

Allah SWT juga berfirman dalam surah al-Rum, ayat 9 yang bermaksud:

Tidakkah mereka berjalan dan mengembara di muka bumi serta memerhatikan cara kesudahan orang yang terdahulu? Orang itu lebih kuat berbanding mereka sendiri dan orang itu telah meneroka bumi serta memakmurkannya lebih daripada kemakmuran yang dilakukan oleh mereka dan orang itu juga telah didatangi oleh para rasulNya dengan membawa penerangan yang jelas nyata (namun mereka mendustakan dan kesudahannya mereka dibinasakan). Sesungguhnya, bukanlah Allah SWT yang menganiayai mereka, tetapi merekalah yang menganiayai diri sendiri.”

Ibnu Kathir; seorang ulama tafsir mentafsirkan perkataan “mengembara” sebagai “berjalan di muka bumi dengan pemahaman, fikiran akal serta penaakulan melalui pendengaran kisah-kisah umat terdahulu.”

Dalam lembaran sejarah Islam yang panjang ada mencatatkan ramai nabi dan ulama yang mengembara ke beberapa tempat untuk memperkenalkan Islam, membuka negara ataupun berniaga. Apabila membicarakan tentang kembara, nota sejarah Islam pastinya tidak terlepas daripada menyebut nama seorang ulama iaitu Ibnu Battuta. Beliau telah disanjung sebagai pengembara terbesar dan paling lama.

Perjalanannya mempertaruhkan masa hampir 30 tahun, melintasi dunia timur ke dunia barat, mengunjungi pelbagai daerah yang luasnya sama dengan keluasan
44 buah negara zaman moden dan merentasi kawasan seluas kira-kira 73 000 batu. Rakaman ini menjadi sumber penting kepada pengkaji sejarah dan tamadun.

Ramai juga yang mendapat hidayah dan memeluk agama Islam ketika mengembara. Antara yang tersohor kini ialah Mat Dan atau nama sebenarnya Mohammad Kareef Daniel bin Abdullah yang berasal dari Bristol, England.

Pengembara muda ini mengunjungi Pulau Kapas, Terengganu seawal usia 19 tahun dan mula jatuh cinta dengan keindahan pulau itu. Kemesraan dengan penduduk tempatan lama-kelamaan membunga. Pemilik nama asal Daniel Tyler ini akhirnya dikurniakan hidayah oleh Allah SWT untuk memeluk Islam pada tahun 2013 melalui pelawaan abang angkatnya iaitu Zakaria Sulong.

Populariti Mat Dan mula tular di media sosial selepas videonya berdialek Terengganu mendapat perhatian ramai. Muka Mat Salleh tetapi fasih berdialek Terengganu!

Seolah-olahnya perjalanan hidup anak muda ini bermula dengan kembara suka-suka, kemudian dianugerahi hidayah dan seterusnya dimurahkan rezeki. Masakan tidak murah rezeki, kini Mat Dan dipilih sebagai Ikon Pelancongan Terengganu dan mempunyai beberapa rancangan sendiri di TV.

Benarlah janji Allah SWT, “Siapa yang berhijrah kerana Allah SWT, dibukakan pintu rezeki buatnya.”

Allah SWT berfirman dalam surah al-Nisa’, ayat 100 yang bermaksud:

Dan sesiapa yang berhijrah ke jalan Allah, nescaya di muka bumi ini dia akan memperoleh tempat berhijrah yang luas dan rezeki yang banyak, dan sesiapa yang keluar dari rumah dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian dia mati (ketika perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya itu di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Mungkin ada yang berfikir dan mengatakan tidak mampu untuk mengembara kerana halangan kewangan. Sebenarnya kita boleh sahaja menikmatinya mengikut kemampuan sendiri seperti mengembara di dalam negara. Namun nilai yang membezakannya adalah sejauh mana pengamatan melalui hati dan akal fikiran.

Mohonlah doa semoga Allah SWT murahkan rezeki agar berpeluang mengembara ataupun setidak-tidaknya membaca pengalaman kembara orang lain melalui buku. Buku ternyata mendekatkan yang jauh, menyingkapyang terselindung dan menzahirkan yang batin.

Seperkara lagi sebelum saya terlupa, antara kelebihan mengembara ialah jaminan doa yang tergolong dalam doa yang dimakbulkan. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:

“Tiga doa yang mustajab yang tidak diragukan iaitu doa ibu bapa untuk anak, doa orang bermusafir dan doa orang yang dizalimi.” (Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi)

Jadi, apakah kelainan kembara kali ini? Seperti Gunung Fuji yang senantiasa tegak berdiri, pengembaraan saya pada kali ini menginsafkan saya untuk semakin teguh memegang jati diri saya sebagai seorang muslim dan anak Malaysia.

Ketatkan tali pinggang anda. Bersandarlah dengan selesa dan tenang. Oh, kopi panas pun sudah tersedia. Ayuh, kita mula terbang ke negara matahari terbit, Jepun! Bismillah!

Disediakan oleh,

Mohd Hariri Haji Mohamad Daud

Sepang, Selangor

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.