Agama Islam yang diturunkan oleh Allah SWT kepada para hamba Nya melalui para Rasul, tidaklah bertujuan untuk menolak fitrah diri manusia itu sendiri. Sikap seronok berhibur dan bergembira merupakan citra manusia yang sudah menjadi fitrahnya. Ada ketika kita akan berasa berduka dan ada masanya kita perlukan hiburan untuk mengembirakan diri ini.

Sesiapa pun tidak boleh menafikan kecenderungan kita yang memerlukan hiburan dan kegembiraan. Bahkan jika dilihat, hiburan mampu memberi kesan dan rawatan minda. Malah, hiburan telah pun menjadi sebahagian terapi bagi diri kita yang dirundung kesedihan dan kedukaan. Maka, secara fitrahnya, manusia memerlukan hiburan. Namun dalam masa yang sama, manusia bukanlah semata-mata dicipta untuk mengisi hidup dengan berhibur sahaja.

Tujuan hidup kita sebenar adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Sepertimana dalam firman Nya dalam surah ad Dzariyat ayat 56 yang bermaksud :

“Tidaklah aku jadikan jin dan manusia, melainkan supaya mereka menyembah (beribadah) kepada Ku”

Berdasarkan ayat ini, jelas bagi kita tujuan utama kita diciptakan adalah untuk mengabdikan diri kita hanya kepada Allah Azza Wa Jalla. Melaksanakan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Ini adalah tujuan sebenar kita diciptakan. Akan tetapi, tujuan penciptaan tidak menafikan hak dan fitrah diri manusia yang kadang memerlukan hiburan. Oleh itu, hiburan boleh kita sifatkan sebagai sebahagian kehendak hidup yang sekadar memenuhi tuntutan fitrah dan bukannya keperluan utama untuk kehidupan.

Islam adalah agama yang meraikan fitrah. Oleh sebab itu, syariat Islam datang bukan sekadar menuruti perintah Allah bahkan juga sebagai mengimbangi kehendak diri manusia itu sendiri. Islam bukanlah agama yang anti hiburan atau menolak segala bentuk untuk berhibur. Dalam sebuah hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim yang bermaksud :

“Bahawa pada hari raya Fitri atau Adha, Abu Bakar masuk ke rumahnya (rumah ‘Aishah) dan Nabi SAW berada di sisinya. Ketika itu ada dua orang penyanyi wanita sedang menyanyi mengenai kebanggaan Ansar pada Hari Bu’ath (peperangan antara Aus dan Khazraj). Abu Bakar berkata : “Suara syaitan” (sebanyak dua kali). Nabi SAW bersabda : “Biarkan mereka wahai Abu Bakar ! Setiap kaum ada hari raya dan sesungguhnya hari ini adalah hari raya kita”

Berdasarkan hadith ini, kita dapat melihat bagaimana baginda Nabi SAW begitu terbuka dan meraikan fitrah manusia untuk berhibur. Nabi SAW tidak melarang hal itu sekalipun nyanyian tersebut berlaku dalam rumah baginda Nabi. Sikap baginda Nabi yang begitu lunak dan tidak bersikap keras mengenai hiburan membuktikan bahawasanya Islam bukanlah agama yang keras dan mengongkong fitrah manusia. Malah, kita juga boleh melihat bagaimana hikmahnya baginda Nabi menolak bantahan Saidina Abu Bakar yang menganggap hiburan seperti suara syaitan.

Begitu juga dalam hadith riwayat Imam Bukhari, daripada ‘Aishah bahawa :

“Seorang wanita berkahwin dengan lelaki Ansar, maka baginda bersabda : “Wahai Aishah ! Mengapakah tiada bersama kamu hiburan ? Orang Ansar sukakan hiburan”

Hadith ini memberikan isyarat kepada kita bahawa tidaklah salah dan berdosa untuk kita bergembira dengan berhibur dalam sesuatu majlis di hari-hari tertentu seperti di majlis perkahwinan, sambutan ulang tahun dan sebagainya. Ini sekaligus menggambarkan Islam adalah suatu agama yang menitikberatkan soal fitrah dan naluri manusia itu sendiri. Sebagaimana Nabi SAW suatu ketika, membiarkan isterinya ‘Aishah menonton sebuah pertunjukkan orang Sudan sehingga ‘Aishah sendiri jemu melihatnya.

Peristiwa ini diceritakan oleh ‘Aishah dalam sebuah hadith riwayat Imam Bukhari yang bermaksud :

“Pada hari raya orang Sudan membuat pertunjukkan permainan perisai dan lembing. Aku tidak pasti sama ada aku yang meminta, atau baginda yang berkata : “Adakah engkau ingin menontonnya ?’ Jawabku : Ya. Lalu baginda menjadikan aku berada di belakangnya, pipiku menyentuh pipinya sambil baginda berkata : “Teruskan wahai Bani Arfidah (orang-orang Sudan). ‘Sehinggalah aku jemu. Kemudian baginda berkata kepadaku : ‘Sudah cukupkah (jemukah) ?’ Jawabku : Ya. Kata baginda : ‘Kalau begitu, pergilah”.

Demikianlah baginda Nabi SAW yang melayani naluri isterinya yang terhibur dengan pertunjukkan orang Sudan. Ini juga mencerminkan bagaimana sikap baginda Nabi SAW yang tidak menolak mentah-mentah apa sahaja bentuk hiburan asalkan tidak melampaui batasan yang telah digariskan agama. Oleh itu, secara asasnya, hiburan merupakan suatu perkara yang diharuskan oleh Islam. Namun, keharusan dalam berhibur adalah terletak dan bergantung kepada bagaimana kandungan hiburan itu sendiri.

Sebahagian masyarakat menganggap asal namanya hiburan, maka ia melalaikan dan haram. Dengan anggapan ini, kita tidak menolak kemungkinan akan lahirlah kelompok Islamis yang melampau menolak hiburan mentah-mentah tanpa ada asasnya. Walhal, berhibur adalah suatu yang menjadi warna-warni kehidupan. Cumanya, yang perlu kita ambil tahu adalah pengisian dalam berhibur. Mestilah berhibur dalam konteks yang dibenarkan oleh syariat. Jika lebih daripada itu, maka tidak ada yang boleh melepasi syariat melainkan hal itu akan menjadi haram.

Islam datang bukanlah untuk menafikan fitrah manusia. Sebaliknya, Islam datang untuk membimbing dan memandu naluri serta fitrah manusia agar tidak melampaui batas. Begitu juga dengan syahwat. Islam tidak menafikan naluri manusia yang berkehendak kepada kecantikan, kemewahan dan sebagainya. Namun, Islam diturunkan untuk memastikan kehendak naluri tersebut dipandu dan dibimbing dengan sebaiknya. Semoga Allah memberkati dan merahmati kita semua.

Disediakan oleh: Faidhi Azis

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.