in

Hijrah Awalnya Pahit Akhirnya Manis

Pernahkah suatu ketika kita bertanya pada diri sendiri, sampai bila kita mesti begini? Bergelimang terus-menerus dalam kelalaian. Menganggap remeh sesuatu dosa yang telah dilakukan. Sedangkan kain kafan kita sudah ditenun siap-siap menyambut jenazah kita kelak. 

Saat itu, apa yang tinggal? Hanyalah amalan baik kita. Itu sahajalah yang menjadi peneman setia kita di alam kubur. Bahkan amal soleh itulah yang akan menentukan kita mendapat kesudahan yang baik atau buruk di alam sana. Tidakkah kita berasa ngeri mengingat hal tersebut? 

Kawan.. 

Ayuh segera berubah ke arah kebaikan. Menjadi hamba Allah yang sejati. Tidak leka dengan permainan duniawi. Berhijrah ke haluan yang baik pada awalnya memang terasa sangat pahit. Kita akan banyak kehilangan rakan yang selama ini berdampingan dengan kita kemana sahaja pergi. Semakin ramai kawan lepak menjauhi kita. Malahan kita digelar sebagai “bajet suci, bajet alim” dan seumpamanya. Sakit dan pahit. 

Namun begitu, ketahuilah bahawa ranjau dan onak duri yang kita lalui sepanjang berhijrah ke jalan Allah, insya-Allah akhirnya akan menjadi manis. Semua kepahitan itu akan diberi ganjarani pahala oleh Allah Ta’ala. Tidaklah Allah menguji setiap hamba-Nya dengan sia-sia melainkan ada terselit hikmah yang begitu besar dan sangat bererti. 

Andai kita merasa bahawa jalan hijrah ini peritnya seperti tidak berpenghujung, renungkanlah dan bersangka baik barangkali dengan segala keperitan itu, dimudahkan hisab kita kelak di hari pembalasan. Urusan kita di akhirat menjadi lebih mudah.

Supaya kita tidak merasa sepi di lorong hijrah ini, carilah teman yang sama tujuan dengan kita. Jika kita tulus, Allah akan berikan kita sahabat dan persekitaran yang lebih baik dari sebelum ini. Kita amat memerlukan sahabat yang sentiasa mengingatkan kita perihal akhirat. 

Kekadang berdakwah dengan orang luar lebih mudah berbanding kerabat sendiri. Ini sememangnya suatu kebenaran. Apabila kita berazam untuk menjadi hamba Allah yang sholeh, akan ada sahaja sindiran dilontarkan kepada kita, tak terkecuali daripada keluarga sendiri. 

Bahkan celaan dari darah daging sendiri rasanya sangat perih. Sebab mereka lebih mengenali betapa jahilnya diri kita dahulu dan kini tiba-tiba kita berubah menjadi “ustaz” atau “ustazah? Mungkin ia sesuatu yang tidak terlintas di fikiran mereka tentang perubahan drastik kita. 

Oleh kerana itu, jangan mudah melenting. Sebaliknya bersabarlah atas segala tohmahan. Ingatlah kita berhijrah dan berubah kerana Allah, bukan demi manusia. Biar apa orang kata, asalkan Allah reda. 

Tunjukkan pada sanak keluarga akhlak yang mulia. Jadikan diri kita sebagai contoh untuk mereka ikuti. Usah peduli jika mereka memperolok-olokkan perubahan yang ada dalam diri kita. Teruskan sahaja amal kebaikan yang kita lakukan setiap hari. Jangan pernah berasa bosan. 

Disamping itu juga, jangan lupa mendoakan hidayah buat mereka yang ada di sekeliling kita. Kita kena sedar bahawa kita dulu pernah jahil dan sekarang Allah telah tunjukkan kita jalan yang terang. Maka jangan sesekali kita angkuh. Sebab bila-bila masa pun Allah boleh tarik kembali nikmat hidayah tersebut. Perbanyakkan doa buat mereka. Maafkanlah kesalahan mereka.

Mana tahu asbab akhlak baik dan adab sopan-santun kita itu, terbuka pintu hati mereka untuk turut berubah. Mereka pun dengan senang hati menerima kita seadanya. Enggan lagi mengejek-ejek dan merendahkan diri kita. Sebaliknya mahu mengikuti jejak langkah kita.

Disediakan oleh: Shafiyyah al Jawziyyah

Kembara Diri Si Pencinta “Macchiato-Espresso”

Hijrah Awalnya Pahit Akhirnya Manis