Tatkala menatal TikTok, Instagram, dan Facebook, sedih menerjah hati apabila terbaca makluman kuliah Ustaz Azhar Idrus dan Ustaz Wadi Anuar dibatalkan. Saya yang sedia ada sedih dan tertekan dengan urusan pengajian di kampus bertambah sedih bila dapat tahu pembatalan kuliah dua susuk pendakwah yang saya kagumi ini.

Membawa hati yang sedih ke Perpustakaan Darul Hikmah untuk menyiapkan kerja, saya ternampak poster program The Art of Dakwah pada skrin televisyen di pintu masuk perpustakaan. Tajuk itu sudah cukup menarik perhatian, namun apa yang benar-benar menaikkan keterujaan saya ialah tetamu jemputan dalam poster tersebut.

“Sheikh Uthman Ibn Farooq? Ini bukan ke pendakwah yang aku selalu tengok dekat YouTube tu?”

Saya tengok tarikh program dan terkejut beruk sebab tarikhnya hari ini, dan program itu bakal berlangsung dalam masa beberapa jam lagi. Saya pun terus taip pautan yang disediakan sebab tak rajin nak buka pengimbas kod QR. Lepas isi borang, terus berbunga-bunga hati jadinya.

SIAPA SHEIKH UTHMAN IBN FAROOQ?

Beliau dilahirkan di Islamabad, Pakistan, dan kemudian menetap di Amerika Syarikat. Pada usia mudanya, beliau mengkaji dan mendalami agama-agama seperti Kristian, Buddha, Hindu, dan Islam. 

SHEIKH UTHMAN IBN FAROOQ

Pada masa kini, beliau bergerak aktif bersama yayasan One Message menyebarkan dakwah Islamiah. Kaedah yang biasa digunakan oleh Sheikh Uthman apabila berdepan dengan orang-orang Kristian ialah menunjukkan bukti percanggahan dalam kitab Bible langsung kepada mereka yang berdialog dengannya.

Di dalam artikel ini, saya hendak kongsikan salah satu isi penting yang dapat saya kutip dalam perkongsian Sheikh Uthman. Mengambil kira konteks suasana dakwah yang biasanya dihadapi oleh Sheikh Uthman, apa yang saya bakal kongsikan ini pada zahirnya akan kelihatan lebih sesuai diaplikasikan dengan sasaran dakwah kepada golongan bukan Islam.

Walau bagaimanapun, insya-Allah, saya akan cuba sesuaikan enam teras yang dikongsi oleh Sheikh Uthman ini dengan konteks budaya dan masyarakat kita.

Teras 1: Elakkan pukul rata sasaran dakwah kita.

Kita tak boleh guna pakai cara dakwah yang sama untuk semua golongan sasaran dakwah. Cara berdakwah dengan orang-orang Islam sudah pasti berbeza dengan cara berdakwah kepada orang-orang bukan Islam. 

Mengenal pasti situasi dan sasaran dakwah kita. Perhatikan tahap intelek mereka, cara mereka berinteraksi, dan analisis sama ada mereka berminat hendak berdialog dengan kita atau tidak. Tidak dapat tidak, untuk menguasai ilmu membaca situasi dan sikap orang ini, pengalaman adalah guru terbaik.

Teras 2: Kalau kita minta masa lima minit daripada sasaran dakwah kita, habiskan dalam masa empat minit.

Menurut Sheikh Uthman, selayaknya dakwah atau dialog ini dimulakan dengan persoalan paling penting – adakah sasaran dakwah kita itu percaya kepada Tuhan? Cukup bermula dengan itu sahaja dulu agar sasaran dakwah kita tidak berasa terbeban dengan muntahan maklumat.

Teras 3: Tanya mereka, apa yang menghalang mereka daripada menerima Islam?

Tanya sasaran dakwah kita yang tidak beragama Islam, adakah mereka percaya hanya ada satu Tuhan yang layak disembah iaitu Allah? Adakah mereka percaya Muhammad itu Pesuruh Allah? 

Dan jika sasaran dakwah kita ialah orang yang beragama Islam, bolehlah kita tanya kepada mereka, apa yang menghalang mereka daripada mengamalkan ajaran Islam dengan sebaik daya? 

Pesan Sheikh Uthman lagi, cuba sebaik mungkin untuk elakkan suasana dakwah itu bertukar tegang. Jaga akhlak. Jaga nada bahasa. Jaga niat. Jangan berdakwah dengan tujuan untuk merendahkan orang.

Teras 4: Kalau berlaku debat, jangan sasarkan untuk menang. Sasarkan untuk menyampaikan kebenaran.

Jangan ikut langkah mereka yang mula beralih kepada serangan-serangan peribadi seperti mencerca perwatakan, mengeji kepercayaan, dan sebagainya. Tetapkan niat kita dan peliharalah supaya ia kekal benar dan ikhlas.

Teras 5: Tunjang dakwah ialah Tauhid.

Lakukan dakwah dengan menurut prinsip dan ajaran Islam. Jangan lakukan apa-apa yang menyalahi agama kita atas nama kita hendak menyeru orang kepada Islam. Fahamilah akidah kita tiada kompromi. Contoh yang patut para pendakwah elakkan, kita bersama-sama meraikan perayaan orang kafir atas nama mendekati mereka untuk menyebarkan dakwah. 

Teras 6: Al-Quran dan Sunnah ialah sempadan dan pegangan kita.

Berpegang teguhlah kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Ikutilah cara Rasulullah SAW berdakwah kerana baginda adalah sebaik-baik contoh buat kita, umat Islam. Selain itu, ingatlah selalu kita tidak perlu menyadur ajaran agama kita agar ia kelihatan menarik pada pandangan sasaran dakwah kita.

Sebagai contoh, buang rasa takut dan malu hendak katakan agama kita mengharamkan hubungan songsang, hukuman untuk orang murtad yang enggan bertaubat ialah dibunuh, dan lain-lain.

KESIMPULAN

Hakikatnya, kita hidup pada zaman di mana pertentangan antara Islam dan Kuffar sangat jelas. Setiap orang Islam yang berdakwah adalah halangan dan cabaran besar buat impian dan angan-angan golongan kafir. Semoga perkongsian ini akan dapat membantu setiap seorang daripada kalian yang membaca dalam menjadi pendakwah yang lebih baik.

Disediakan oleh: Hanis Afifah


Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.