Sesungguhnya antara intipati utama yang diajar oleh agama Islam adalah tentang kebersihan dan kesucian diri. Pada segelintir masyarakat barangkali melihat Islam itu difahami dalam kerangka ibadah ketuhanan semata-mata. Tetapi sebaliknya, agama Islam juga sangat menitikberatkan tentang kebersihan dan kesucian diri, termasuk juga dalam bab kesucian rezeki yang halal dan segala hal yang kita perolehi. Kepentingan menjaga kebersihan dan kesucian diri ini merupakan sebahagian perkara yang disukai oleh Allah SWT. Hal ini sepertimana dalam firman Nya menerusi surah al-Baqarah ayat 222 yang bermaksud :

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri”

Berdasarkan apa yang dinyatakan oleh Allah melalui ayat tersebut, dapatlah kita rumuskan bahawa agama Islam bukan sekadar mengajak umatnya melaksanakan tanggungjawab terhadap sang Penciptanya malah turut memerintahkan agar sentiasa menjaga kebersihan dan kesucian diri dan dengan demikian, hal tersebut dikasihi dan dicintai oleh Allah SWT. Secara prinsipnya, mereka yang beriman kepada Allah SWT diiktiraf sebagai tidak najis. Hal ini seperti mana dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata bahwa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Sesungguhnya seorang mukmin itu tidak najis”

Imam al-Nawawi dalam kitabnya Syarah al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, ketika menghuraikan hadith ini, beliau menyatakan bahawa :

“Hadith ini merupakan suatu asas yang besar berkenaan dengan sucinya seorang muslim itu sama ada dalam keadaan dia hidup ataupun telah mati. Adapun sucinya seorang muslim dalam keadaan masih hidup, maka para ulama telah bersepakat akan hal tersebut. Manakala kesucian mayat pula, para ulama berbeza pendapat dalam isu ini dan pendapat yang sahih adalah kesuciannya dan disebabkan itulah ia dimandikan”

Maka timbul persoalan bagaimana pula dengan orang bukan Islam atau orang kafir ? Apakah mereka dikira sebahagian daripada najis kerana tidak beragama Islam ? Persoalan sebegini harus kita lihat dalam kerangka yang menyeluruh. Sebahagian para ilmuan seperti mereka yang berpegang pada mazhab Zahiri, mereka menyatakan bahawa orang bukan Islam adalah najis dan mereka ini tidak dibenarkan untuk memasuki masjid. Ini juga merupakan pandangan oleh tokoh mazhab Zahiri, Imam Ibn Hazm dalam kitabnya al-Muhalla. Perkara ini sepertimana dalam firman Allah SWT dalam surah at-Taubah ayat 28 yang bermaksud :

“Wahai orang-orang yang beriman ! Sesungguhnya orang-orang kafir musyrik itu najis. Oleh itu janganlah mereka menghampiri Masjidil Haram sesudah tahun ini”

Namun begitu, jumhur para ulama seperti Imam al-Syaukani dalam kitab Nail al-Autar, beliau menyatakan bahawa jumhur ulama menjawab najis dalam ayat itu bermaksud kekotoran dan kenajisan dalam akidah orang bukan Islam, yang wajib dihindari dan dijauhi, bukan bermaksud najis pada badan mereka. Bahkan, jumhur ulama menyatakan alasan orang bukan Islam tidak najis kerana Islam telah mensyariatkan harus berkahwin dengan Ahli Kitab, dan peluh mereka itu jika bernajis maka tidak selamatlah suami mereka daripada najis itu. Demikian juga para jumhur ulama menjawab tentang persoalan ini dengan menyatakan bahawa baginda Nabi SAW pernah berwuduk dengan bejana orang musyrik, juga pernah mengikat tawanan musyrik di dalam masjid iaitu Thumamah, juga baginda Nabi pernah memakan keju daripada negara Nasrani dan memakan lauk kambing yang dihadiahkan Yahudi.

Demikian pula apa yang dinyatakan oleh Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari dalam kitabnya Asna al-Matalib, beliau menyatakan bahawa manusia itu dimuliakan. Implikasi kepada kemuliaan tersebut, mereka tidak dihukumkan sebagai najis apabila telah mati, sama ada mereka itu Muslim atau kafir (orang bukan Islam). Manakala najis yang dimaksudkan di dalam ayat 28 surah al-Taubah ini ialah kepercayaan mereka atau perintah supaya menjauhi mereka seperti najis dan bukannya kenajisan pada jasad mereka. Inilah pandangan beliau dalam melihat kerangka hukum orang bukan Islam najis atau tidak.

Sekiranya orang bukan Islam dianggap sebagai najis yang bersifat zahir, maka sudah tentu Nabi SAW melarang para sahabat untuk tidak menggunakan bejana orang bukan Islam yang diperolehi dalam beberapa siri peperangan. Hal ini boleh kita lihat dalam sebuah hadith riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud, daripada Jabir RA beliau berkata :

“Adalah kami biasa berperang bersama Rasulullah SAW. Kemudian, kami berhasil merampas bejana-bejana dan wadah-wadah air dari kulit milik orang-orang musyrik. Lantas kami menggunakannya (untuk makan dan minum). Ternyata Nabi SAW tidak mencela mereka kerana hal itu”

Berdasarkan pemahaman dari hadith ini, jelas kepada kita bahawa orang bukan Islam sama sekali tidak najis pada zahir diri mereka. Adapun sekiranya terpegang najis bersifat zahir yang ada pada diri mereka, tanpa melihat apa pun agamanya, maka barulah itu dikira sebagai najis. 

Oleh yang demikian, perkataan najis dalam surah al-Taubah ayat 28 itu dilihat kenajisannya pada sudut hakiki yang melibatkan kepercayaan mereka semata-mata. Adapun selain itu, sekiranya pada zahir diri mereka bersih dan suci, maka bersih dan suci lah mereka dan tidak menjadi masalah sekiranya mahu bersalaman dengan mereka yang bukan Islam. Hal ini juga menepati dengan satu kaedah yang disebutkan sebagai “kita berhukum dengan apa yang zahir dan Allah yang akan menguruskan apa yang tersembunyi”.

Dalam satu sudut yang lain pula, para ulama berbeza pandangan dalam menentukan mayat orang bukan Islam sama ada dikira sebagai najis atau sebaliknya. Dikalangan fuqaha mazhab Hanbali dan Syafi’i, terdapat dua pandangan. Pun begitu, yang dianggap benar dan menjadi pegangan mazhab Hanbali dan Syafi’i adalah pendapat yang menyatakan tidak najis, malah bersih dan suci. Selain itu, turut menyatakan pandangan yang sama seperti mazhab Hanbali dan Syafi’i, adalah seperti Imam al-Nawawi, Ibnu Qudamah dan Ibnu Utsaimin. Demikian lah persoalan berkenaan kenajisan orang bukan Islam atau kafir. Ringkasnya, orang bukan Islam ataupun orang kafir tidaklah najis. Pada zahir diri mereka yang bersih dan suci, kita boleh bersentuhan bersalaman. Namun, yang dikatakan najis itu adalah merujuk kepada kepercayaan mereka. Bukan jasad dan fizikal zahir mereka. Semoga Allah merahmati kita semua.

Disediakan oleh: Faidhi Azis


Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.