in

LoveLove OMGOMG CuteCute

6 PESANAN MUFTI SARAWAK BUAT PENUNTUT ILMU

DATU HAJI KIPLI HAJI YASSIN : MUFTI DARUL HANA

Sahibus Samahah Datu Haji Kipli bin Haji Yassin merupakan Mufti Negeri Sarawak. Beliau lahir pada 3 November 1967 di kampung Selalang, daerah Sarikei, Sarawak. Anak jati Sarawak yang berketurunan Melanau ini sudah menjawat jawatan mufti bagi kerajaan negeri Sarawak selama 12 tahun 1 bulan, iaitu sejak bulan Mac 2010 hingga kini. Kepetahan beliau di dalam menyampaikan pidato di hadapan khalayak ramai sungguh mempersonakan, seolah-olah di hadapan beliau terpapar suatu kertas yang mempunyai segala isi pidato namun ‘ghaib’ pada pandangan orang awam. Kebijaksanaan beliau di dalam memilih perkataan yang tepat, dan susunan kata yang indah, membuatkan para pendengar beliau terpukau. 

A group of people in white robes

Description automatically generated with medium confidence
Foto di hadapan pintu 21 Masjid Nabawi, Madinah al-Munawwarah

Pada malam 8 Ramadan yang lalu, aku beserta dengan 4 orang pelajar Sarawak yang menuntut di Universiti Islam Madinah berkesempatan untuk berjumpa dengan Sahibus Samahah Mufti Negeri Sarawak di Masjid Nabawi seusai solat tarawih. Banyak pengisian yang bermanfaat, kami perolehi dalam pertemuan yang singkat tersebut. Antara perkongsian yang beliau sampaikan pada malam tersebut adalah:

PERJALANAN SAMAHAH MUFTI DALAM MENUNTUT ILMU

Pernah suatu hari, beliau menceritakan pada awal kemasukan beliau ke Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya kampus Nilam Puri untuk menuntut ilmu sebagai persediaan sebelum masuk ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Kata beliau kepadaku (sewaktu aku menjadi pelajar praktikal di Jabatan Mufti Negeri Sarawak), pelajar Sarawak antara pelajar yang sangat lemah dari segi penguasaan Bahasa Arab. Beliau pernah diejek oleh pelajar-pelajar dari negeri lain kerana tidak mampu menguasai bahasa Arab  dengan baik di kampus Nilam Puri. Akhirnya, beliau mencabar diri beliau untuk menyertai Pertandingan Pidato Bahasa Arab yang diadakan di kampus Nilam Puri. Siapa sangka, anak jati Sarawak menjadi Johan untuk pertandingan Pidato dalam Bahasa Arab di kampus Nilam Puri tersebut. Tergamam pelajar-pelajar yang mengejek beliau sebelum ini kerana tidak mampu menguasai Bahasa Arab dengan baik.

Pada peringkat Ijazah Sarjana Muda pula, beliau membuat pilihan untuk mengikuti kuliah Usuluddin di Universiti Malaya. Antara alasan beliau memilih dan mengikuti kuliah tersebut adalah disebabkan beliau melihat, tidak banyak anak Sarawak yang berminat untuk mengikuti kuliah tersebut di Universiti Malaya. Beliau berjaya menamatkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda dengan keputusan kepujian kelas pertama. Beliau merupakan anak Sarawak yang berjaya menamatkan pengajian di Universiti Malaya dengan keputusan yang amat membanggakan. Beliau kemudiannya menyambung pengajian ke peringkat yang seterusnya, iaitu peringkat Sarjana di Universiti Malaya, dalam bidang yang sama juga iaitu bidang Usuluddin (Pemikiran). Walaupun hari ini, usia beliau yang sudah mencecah 55 tahun, namun beliau masih menyimpan minat beliau untuk terus belajar hingga ke peringkat tertinggi. Kini,  beliau merupakan calon Ph.D di universiti tempatan dalam bidang yang berkait dengan fatwa di Malaysia.

Mesti ada yang bertanya, kebiasaannya mereka yang menjawat jawatan mufti ini, pasti mereka yang mempunyai latar belakang pengajian dari kuliah Syariah, Usul  Fiqh atau Fiqh. Walaupun samahah mufti berasal dari mereka yang berlatar belakang pengajian Usuluddin, namun samahah mufti rajin bertalaqqi dengan pensyarah-pensyarah beliau di luar waktu kuliah, berkenaan dengan fiqh dan usul mazhab Syafie sewaktu beliau bergelar mahasiswa dahulu. Beliau dan rakan-rakannya akan pergi ke rumah guru mereka untuk menadah kitab, bertalaqqi kitab fiqh dan usul mazhab syafie sehingga beliau mahir mengenai selok belok di dalam mazhab Syafie.

SAMAHAH MUFTI DALAM DUNIA PEKERJAAN (SEBELUM DILANTIK MENJADI MUFTI)

Selepas menamatkan pengajian dalam peringkat Ijazah Sarjana, beliau sempat berkhidmat di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya selama 6 bulan. Kemudian, beliau terpaksa melepaskan kontrak beliau bersama Universiti Malaya, kerana beliau sudah berjanji kepada bondanya bahawa setelah beliau mendapat pekerjaan tetap, beliau akan kembali ke negeri Sarawak. Beliau sangat patuh akan bondanya. Beliau menceritakan bahawa beliau berasal dari keluarga yang susah dan beliau juga seorang anak yatim. Oleh sebab itu, beliau sangat sayang dan patuh akan permintaan ibu beliau. 

Sebenarnya, beliau agak keberatan untuk melepaskan jawatan sebagai tenaga pengajar di Universiti Malaya kerana bidang akademik merupakan minat beliau sejak dahulu lagi. Beliau hampir dihantar oleh pihak Universiti Malaya untuk melanjutkan pengajian di USA, namun disebabkan kehendak bondanya, beliau terpaksa mengorbankan cita-cita beliau menjadi ahli akademik yang bertaraf, ‘Profesor’. Selama 2 minggu, surat permohonan untuk menamatkan kontrak beliau, ditahan oleh pihak Universiti Malaya. Betapa sayangnya pihak Universiti Malaya untuk melepaskan tokoh emas dari bumi kenyalang ini. 

Sekembalinya beliau ke bumi kenyalang, beliau kemudiannya berkhidmat di Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS). Selepas beberapa tahun berkhidmat bersama kerajaan negeri Sarawak dalam sektor agama, beliau pun menamatkan khidmat beliau di JAIS pada tahun 2008, iaitu pada usia 41 tahun. Kemudian, beliau menceburkan diri dalam bidang perniagaan. Beliau telah menubuhkan sebuah syarikat yang diberi nama, Kipli Yassin Resources dan beliau sendiri menjadi pengarah syarikat tersebut. Syarikat Kipli Yassin Resources yang beliau dirikan tersebut sangat maju. 

Syarikat beliau pernah bekerjasama dengan syarikat-syarikat ‘gergasi’ di Malaysia, antara syarikat dimaksudkan ialah syarikat Tabung Haji. Beliau juga mendirikan sebuah kedai buku di negeri Sarawak, kedai buku yang diberi nama, KYR Bookstore (Kipli Yassin Resources Bookstore). Selama 2 tahun (2008-2009), beliau telah mendapat pengalaman yang berharga, iaitu menjadi pengarah syarikat yang maju.

BELIAU AKAN JADI MUFTI!

A framed painting of a person

Description automatically generated with medium confidence

Siapa sangka pada tahun 2010, anak kelahiran kampung Selalang, Sarikei ini ditakdirkan untuk menjadi Mufti Negeri Sarawak. Sejujurnya, beliau tidak pernah terfikir untuk menjadi mufti seumur hidup beliau. Beliau menceritakan kisah beliau, sewaktu mendapat tawaran menjadi mufti tersebut. Beliau diberi tempoh masa selama tiga hari sahaja untuk membuat keputusan sama ada menerima pelantikan tersebut atau menolaknya. Beliau pun meminta tempoh empat hari untuk membuat keputusan yang agak ‘tiba-tiba’ tersebut. Beliau kemudiannya melakukan solat Istikharah selama 3 hari, untuk mendapatkan jawapan yang tuntas daripada Allah SWT. Kata beliau, keputusan yang beliau buat setelah solat Istikharah itu, bukanlah disebabkan beliau telah mendapat apa-apa ilham atau sebaliknya, namun hati beliau seakan-akan cenderung untuk menerima perlantikan tersebut. Akhirnya, pada hari ke-4 daripada tempoh yang beliau pinta tersebut, akhirnya beliau pun menerima perlantikan tersebut.

Pada tanggal 1 Mac 2010, secara rasminya beliau dilantik menjadi mufti negeri Sarawak. Beliau merupakan mufti ke-6 bagi negeri Sarawak, selepas Sahibus Samahah Datu Haji Loling Othman bin Haji Alwi (berkhidmat 1 Mac 2004 hingga Februari 2010). 

Hari ini, sudah genap 12 tahun 1 bulan beliau menjadi mufti negeri Sarawak. Pelbagai liku dan mehnah yang beliau tempuhi sepanjang beliau berkhidmat menjadi mufti bagi masyarakat Darul Hana. Antaranya cabaran yang beliau kisahkan kepada kami adalah pada waktu awal pandemik Covid-19 mengganas di negara kita. Beliau menyatakan pada saat pandemik tersebut lah, saat yang paling mencabar bagi beliau. Beberapa kali perbincangan berkenaan dengan pandangan dan panduan sepanjang musim Covid-19 dilaksanakan bersama Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Sarawak. Perbincangan yang berulang kali tersebut adalah sebagai langkah berhati-hati dan tidak bersifat ‘gopoh’ dalam mengeluarkan sesuatu pandangan. Hal demikian yang dilakukan oleh mufti dan ahli jawatankuasa fatwa negeri Sarawak sebelum mewartakan apa-apa pandangan dan panduan untuk kemaslahatan umat Islam di negeri Sarawak dalam berdepan dengan wabak pandemik Covid-19 yang lalu. Malangnya, beliau mendapat cemuhan dan kritikan daripada sebahagian masyarakat awam di Sarawak, ‘kononnya’ keputusan yang dibuat adalah tidak tepat. Namun, beliau tetap bersabar atas cemuhan dan kritikan tersebut kerana hal demikian adalah hasil daripada ijtihad beliau sebagai seorang manusia biasa dan selebihnya beliau hanya mampu berserah kepada Allah SWT.

NASIHAT SAMAHAH MUFTI BUAT PARA PENUNTUT ILMU

Minat beliau kepada bidang akademik yang membimbing beliau menjadi tokoh yang hebat pada hari ini. Mungkin beliau bukan seorang Professor seperti yang beliau idamkan sebelum ini. Namun, beliau berjaya menjadi seorang tokoh yang hebat dalam sejarah negeri Sarawak. Banyak jasa dan sumbangan beliau terhadap masyarakat Islam di negeri Sarawak. Walaupun beliau sudah bergelar mufti negeri Sarawak, namun beliau masih berminat untuk menuntut ilmu dan mencintai para penuntut ilmu. Antara pesanan beliau kepada kami pelajar-pelajar Sarawak di bumi Madinah adalah (nasihat ini terpakai buat semua penuntut ilmu di mana sahaja):

  1. Belajar bersungguh-sungguh, biar ilmu yang dipelajari itu ‘lumat’ dan sebati dalam diri.
  2. Berfikiran terbuka.
  3. Banyakkan membaca dan luaskan pengetahuan.
  4. Kuasai sebanyak mungkin cabang ilmu di universiti, jika berkemampuan dan berkesempatan, usahakan untuk cari kelas-kelas pengajian luar dan bertalaqqi kitab dengan syeikh-syeikh di luar waktu kuliah di universiti.
  5. Kuasai Bahasa Arab dengan baik.
  6. Kuasai pelbagai jenis kemahiran, misalnya kemahiran penyediaan kertas  kerja.

Berdasarkan kisah perjalanan hidup samahah mufti ini, aku dapat saksikan betapa susahnya untuk menjadi seorang tokoh yang disegani ramai. Banyak mehnah dan cabaran yang terpaksa ditempuhi. Rela atau terpaksa, ia tetap merupakan asam garam dalam pentas dakwah, dan ia bukanlah suatu perkara yang mudah untuk ditempuhi. Tidak semua mampu bertahan dengan cabaran dan liku-liku yang mereka hadapi pada masa lalu. Namun, semuanya memerlukan pengorbanan dan waktu yang panjang. 

Doa, kesungguhan dan reda daripada seorang ibu amat penting, buat bekalan untuk berjaya pada masa hadapan. Tidak senang untuk jadi senang. Hanya orang yang mampu bertahan hingga ke hujungnya sahaja dapat merasai kemanisan disebalik kejayaan yang dikecapinya itu. Mungkin orang lain mampu bercerita berkenaan dengan kemanisan perjalanan hidup itu tanpa merasainya, namun tokoh-tokoh ini sahaja dapat merasai sendiri kemanisan itu secara lebih terperinci. Samahah mufti tidak akan jadi beliau yang hari ini, jika bukan kerana pengorbanan dan kesungguhan beliau pada masa lalu.

Aku berdoa kepada Allah Azza Wajjal agar dipanjangkan umur dan kesihatan buat samahah mufti, dimurahkan rezeki yang halal lagi baik, dan diberi kekuatan untuk terus membimbing masyarakat Islam di negeri Sarawak khususnya, dan Malaysia amnya. Semoga aku dapat menjadi orang yang hebat seperti samahah mufti suatu hari kelak. Hidup tuan Mufti!

A picture containing building, outdoor

Description automatically generated
Foto kenang-kenangan bersama Samahah Mufti Negeri Sarawak

Anak Sarawak di Kota Madinah,

Muhammad Hamzani Al-Kanowiti.

Zikrullah Merawat dan Mencegah Masalah Kesihatan Mental

Bersangka Baiklah Nescaya Engkau Tenang