in

LoveLove

Bersangka Baiklah Nescaya Engkau Tenang

Pelbagai cara kita lakukan supaya memperoleh ketenangan dalam hidup. Ada yang pergi bercuti, ada yang memilih berkumpul bersama keluarga dan lain sebagainya. Walaupun demikian, apabila semua itu berakhir kegelisahan jiwa pun melanda kita kembali. Apakah sebabnya? Cuba periksa hati kita, mungkin di situ telah bersarang suatu penyakit. Ia hanya boleh diubati jika kita merujuk kepada ajaran agama.

Kadang-kadang kita ini tidak sedar bahawa kita selalu bersangka buruk terhadap apa-apa situasi yang belum pun kita hadapi. Kita bersangka buruk kepada Allah. Kita bersangka buruk sesama insan. Walhal perkara buruk itu belum pun terjadi tapi sudah bersangka yang bukan-bukan.

Rasulullah saw bersabda bahawa Allah berfirman, “Aku sesuai dengan persangkaan hamba-Ku. Aku bersama-Nya ketika mengingati-Ku saat bersendirian, Aku akan mengingatnya dalam diri-Ku. Jika ia mengingatKu dalam suatu kumpulan, Aku akan mengingatnya di kumpulan yang lebih baik daripada itu [kumpulan malaikat].” [HR Imam Bukhari dan Muslim.

Imam al-Qadhi ‘Iyadh rahimahullah menghuraikan ayat Allah sesuai dengan persangkaan hamba-Nya bermakna adalah Allah akan memberi keampunan jika hamba meminta ampun. Allah akan menerima taubat jika hamba bertaubat. Allah akan mengabulkan doa jika hamba meminta. Allah akan beri kecukupan jika hamba meminta kecukupan. Ulama lainnya pula berkata maknanya adalah berharap kepada Allah dan meminta ampunan-Nya. [Syarah Shahih Muslim]

Yakinlah bahawa Allah tidak pernah menyia-nyiakan hamba-Nya yang selalu taat. Jikalau kita konsisten mengerjakan ibadah sekaligus sentiasa bersangka baik terhadap Allah, maka kita tidak perlu risau tentang apa keadaan sekalipun yang mendatang. Andai merasa sedih dan buntu atas permasalahan yang menimpa, segera memohon ketenangan daripada Allah. Sekiranya merasa diri ini hina penuh dosa, segera bertaubat kepada Allah. Tanamkan di persangkaan baik di dalam hati bahawa Allah sentiasa membuka pintu taubat buat hamba-hambaNya sebesar mana pun dosa kita itu. Jika kita ikhlas dan berupaya untuk tidak lalai maka mustahil Allah tidak mengampuni kita sedangkan Dia adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Begitu juga apabila Allah tidak memberi apa yang kita minta, boleh jadi itu tidak baik untuk kita. Ataupun permohonan kita itu Dia simpan untuk masa depan kita. Dan mungkin juga boleh jadi ia sebagai pahala yang disimpan untuk bekal kita di akhirat. Allah  itu Maha baik. Sedangkan orang kafir pun diberi rezeki, inikan pula kita orang-orang yang beriman mengakui keesaan-Nya. Kita lagilah istimewa.

Selain kepada Allah, kita juga dilarang bersangka buruk terhadap insan lain. Allah memberi pesan dalam al-Quran, “wahai orang-orang yang beriman, jauhilah dari banyak berprasangka buruk. Sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain, dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Dan janganlah ada di antara kamu yang menggunjing sebahagian yang lain. Adakah di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. Dan bertakwalah kamu kepada Allah. Sesungguhnya Allah Penerima Taubat, lagi Maha Mengasihani.”

Suka bersangka buruk kepada orang lain akan menyebabkan permusuhan. Hubungan persahabatan yang selama ini rapat akan menjadi renggang. Suami isteri saling berjauhan. Adik-beradik bermasam muka sesama sendiri. Hidup pun rasa tidak berkat, dada pula terasa sempit. Bukankah ini tidak elok untuk kesihatan mental kita. Jiwa sentiasa gelisah.

Sekiranya perasaan buruk sangka mulai menerpa hati kita, segeralah beristighfar dan berta’awwuz minta perlindungan daripada Allah dari bisikan-bisikan syaitan yang terkutuk. Carilah seribu satu alasan untuk bersangka baik kepada seseorang. 

“Jauhilah oleh kamu dari prasangka, kerana sesungguhnya prasangka itu adalah sebohong-bohong rekaan rasa hati.”

[Muttafaq’alaih]

Jika kita masih merasa tidak puas hati maka mintalah penjelasan secara sopan daripada orang tersebut. Berbincanglah dengan lapang dada. Semua perkara boleh dimusyawarahkan, jadi mengapa kita memilih untuk berfikiran bukan-bukan dan bercakap di belakang. Sesungguhnya syaitan amat suka dengan perbuatan tersebut. Adakah kita mahu menjadi kawan karib syaitan? Sudah tentu tidak.

Wahai sahabat, masa kita di dunia ini tidaklah selama mana maka janganlah kita mengisinya dengan permusuhan, dendam dan rasa benci. Semua itu tidak bermanfaat, lagi mencelakakan nasib kita kelak di akhirat. Alangkah indahnya andai jejak kita semasa di dunia ini meninggalkan kebaikan kepada orang lain. Nama kita disebut-sebut sebagai insan penyebar kedamaian.

Disediakan oleh: Shafiyyah Mei

6 PESANAN MUFTI SARAWAK BUAT PENUNTUT ILMU

Bercerai Bukanlah Perkara yang Keji