in

17 Ramadhan Hari Penurunan Al-Quran

Penurunan al-Quran bertujuan untuk membawa petunjuk kepada seluruh alam. Selain itu, penurunan al-Quran juga merupakan satu mukjizat yang terbesar buat Nabi Muhammad SAW, Antara lain penurunan al-Quran secara sekali gus dan kemudiannya secara beransur-ansur kepada Nabi Muhammad SAW mempunyai hikmah yang besar. Hal ini demikian kerana ia membezakan al-Quran dengan kitab-kitab Rasul sebelumnya yang diturunkan secara sekali gus.

Berdasarkan ilmu Nuzul Al-Quran yang merupakan cabang daripada ilmu Ulum Al-Quran, pendapat yang paling kuat berkenaan dengan turunnya al-Quran ke dunia memakan masa 22 tahun 2 bulan 22 hari ( Al-Khudri, Tarikh al-Tasyri’ ) melalui perantaraan malaikat Jibril a.s. (Pengantar Ulum Al-Quran). Nuzul berasal daripada perkataan Nazala (نزل) , Unzila (أنزل), Nazzala   (نزًل) . Semua perkataan tersebut membawa makna yang menggambarkan penurunan al-Quran. Dari segi bahasa, Nuzul bermaksud turun dari tempat yang tinggi. Manakala dari segi istilah pula, Nuzul bermaksud penurunan dari Luh Mahfuz kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibril as yang mengambil masa selama 23 tahun. 

    Al-Quran diturunkan secara Jumlatan (secara sekali gus) . Bermula daripada Allah SWT ke Luh Mahfuz, kemudian dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah ( Langit Dunia). 

Sebenarnya apa yang engkau sampaikan kepada mereka bukanlah syair atau sihir), bahkan ia adalah al-Quran yang tertinggi kemuliaannya ; ( Lagi terpelihara dengan sebaik-baiknya ) pada Luh Mahfuz.

( Surah al-Buruj : 21 – 22 )

Sesungguhnya Kami telah menurunkannya ( al-Quran ) pada malam kemuliaan.

 ( Surah al-Qadr : 1 )

Sesungguhnya Kami menurunkannya ( al-Quran ) pada suatu malam yang diberkati. 

( Surah ad-Dukhan : 3 )

Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia

( Surah al-Baqarah : 185 )

Setelah diturunkan ke Baitul Izzah, barulah al-Quran diturunkan secara beransur-ansur kepada Nabi Muhammad SAW. Antara dalilnya ialah “ Dan al-Quran itu Kami bahagi-bahagikan supaya engkau membacanya kepada manusia dengan amat tenang ; dan Kami menurunkannya secara beransur-ansur “( Surah al-Isra’ : 106 ). Penurunan yang berlaku pada tahap ini secara beransur-ansur bermula daripada 17 Ramadhan 610 M di Gua Hira’ sehingga kewafatan Nabi Muhammad SAW.

“ Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran itu pada malam yang diberkati (Lailatul Qadr), sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan”, Ibn Katsir di dalam kitab tafsirnya iaitu Tafsir Ibn Katsir telah menjelaskan berkenaan dengan ayat tersebut. Beliau mentafsirkan bahawa Allah SWT berfirman tentang al-Quran yang diturunkan pada malam yang penuh berkat & rahmat iaitu malam ‘Lailatul Qadr’ dalam bulan Ramadhan sebagaimana yang difirmankan di dalam surah al-Qadr ayat 1-5 .

( Tafsir Ibn Katsir )

Al-Quran sememangnya menjadi medium yang amat penting sebagai pedoman hidup manusia. Allah SWT berjanji bahawa al-Quran akan dipelihara sehingga hari kiamat kerana Allah SWT yang menurunkannya, maka Allah SWT jugalah yang bertanggungjawab memeliharanya ( Surah al-Hijr : 9 ).  Al-Quran merupakan kitab yang ajaib. Hal ini demikian kerana al-Quran mampu dihafaz oleh ribuan manusia sepanjang zaman. Al-Quran boleh dilagukan apabila hendak dibaca. Hukum-hukum yang terkandung di dalam al-Quran sentiasa relevan sepanjang zaman. 

Dinukilkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dari majalah Detik Islam yang bertarikh 10 Ogos 2012 berkenaan dengan pengaruh bacaan al-Quran pada saraf, otak dan organ tubuh lain antara lain menyatakan :

“ Tidak ada lagi bacaan yang dapat meningkatkan tahap daya ingatan dan memberi ketenangan kepada seseorang kecuali membaca al-Quran.” ( Bayan Linnas siri ke-139 ).

Dr. Al-Qadhi, melalui penelitiannya yang panjang dan serius di Klinik Besar Florida, Amerika Syarikat, berjaya membuktikan hanya dengan membaca al-Quran, seorang muslim, baik mereka yang berbangsa Arab atau bukan Arab, dapat merasakan perubahan fisiologi yang sangat besar.  ( Facta-news.com )

Penelitian beliau disokong dengan bantuan peralatan elektronik terkini untuk mengesan tekanan darah dengupan jantung, ketahanan otot, dan ketahanan kulit terhadap aliran elektrik. Hal ini membuktikan bahawa al-Quran sememangnya kitab yang sangat menakjubkan. Sesungguhnya, penurunan al-Quran (Nuzul al-Quran) benar-benar memberikan manfaat kepada alam semesta.

-Muhammad Hamzani al-Kanowiti

Leave a Reply

Loading…

0

Titip Nasihat Usman Awang Kepada Pelajar

Memburu Lailatul Qadar: Malam Terbaik Daripada Seribu Bulan