in

LoveLove

10 Panduan Menulis Untuk Suri Rumah

Bukan mudah untuk menulis apabila sudah berumah tangga. Tugas seorang isteri apabila berada di rumah dihabiskan untuk membedah resipi masakan, membereskan kerja-kerja rumah, melayan suami dan juga anak-anak.

Ramai dalam kalangan sahabat saya yang sudah mendirikan rumah tangga berminat ingin menjadi seorang penulis buku mula bertanyakan panduan dan ingin mengetahui bagaimanakah cara saya menguruskan masa menulis ketika berada di rumah.

Ada yang menghubungi saya secara personal dan meminta panduan menulis buat ibu-ibu yang sentiasa sibuk dan tidak memiliki kecukupan masa. Dek beberapa kekangan inilah yang menyebabkan minat menulis dalam kalangan suri rumah mudah pudar dan dibiarkan terpadam begitu sahaja.

Saya amat faham dan akui bahawa pengalaman sebagai penulis buku antologi dan anekdot serta menyiapkan manuskrip untuk buku sendiri mengorbankan banyak perkara termasuklah dari segi tenaga, masa dan kewangan. 

Walau bagaimanapun, minat menulis bagi setiap suri rumah ini tidak sepatutnya dikuburkan dan dibiarkan hanyut ditenggelamkan oleh angan-angan. Menulis memerlukan satu perjuangan yang kuat dan tidak pernah mengenal erti berputus asa.

Jadi, kepada sahabat-sahabat suri rumah yang berhajat hendak menulis ilmu-ilmu yang bermanfaat tetapi tidak tahu bagaimana menguruskan masa dengan efektif, berikut ialah 10 panduan menulis yang saya rumuskan,

1. Siapkan kerja rumah terlebih dahulu.

Siapkan kerja kita sebagai suri rumah terlebih dahulu seperti membasuh kain dan menyediakan makanan seperti makan malam mengikut waktu kebiasaan kita. Pastikan semua keadaan kemas, bersih, tidak bersepah dan dilakukan secara on time. Barulah bersemangat memulakan projek penulisan kita yang seterusnya. Jangan membiasakan sikap bertangguh sebab tugas seorang isteri dan ibu itu lebih utama dibandingkan pekerjaan lain-lain.

2. Jangan menulis ketika anak sedang aktif. 

Pada hemat saya, menulis ketika anak sedang bangun dan aktif bermain tidak digalakkan sama sekali kerana boleh mengganggu konsentrasi malahan anak-anak tidak mendapatkan pemerhatian yang cukup. Oleh kerana itu, luangkan waktu seketika dan ajarkan mereka perkara-perkara asas sesuai mengikut usia mereka.

3.Curi waktu ketika anak sedang tidur. 

Curi sedikit masa apabila anak-anak sedang tidur dengan mencari bahan dan fakta untuk dimasukkan ke dalam isi penulisan. Kemudian apabila sudah lapang, mula kemaskinikan bahan dalam bentuk draft atau jika belum selesai, ulang pada hari seterusnya.

4. Minta bantuan pasangan.

Dalam soal ini, jangan segan-segan meminta bantuan pasangan untuk meringankan setiap bebanan. Seharian suntuk seorang isteri mengendalikan banyak pekerjaan rumah. Kemudian, berbincang dan beritahu pada pasangan anda dengan sebulat suara jika anda tidak dapat menemaninya kerana hendak menyiapkan beberapa tugasan.

5. Sepertiga malam waktu paling ideal untuk menulis.

Pada waktu ini, kira-kira pukul 3 pagi ialah waktu paling ideal untuk memulakan aktiviti-aktiviti penulisan. Sebelum menulis, bangunlah untuk beribadah seketika dengan menunaikan solat-solat sunat. Jangan lupa, memohon kepada-Nya agar diberikan ilham dan dikurniakan idea yang mencurah-mencurah kerana pada ketika itu antara waktu mustajab doa.

6. Biar sedikit, asalkan berterusan. 

Jangan tergesa-gesa menyiapkan atau melengkapkan sebuah penulisan. Tambahan pula, seorang isteri bukan lagi hidup dalam situasi bersendirian dan bebas sepanjang masa. Justeru itu, tuliskan setakat yang mampu. Kemudian sambung pada hari berikutnya kerana menulis bukanlah suatu paksaan tetapi menulis adalah latihan.

7. Letakkan matlamat selesaikan manuskrip.

Tidak kira apa jenis penulisan sekali pun baik artikel mahupun manuskrip, jangan biarkan ia terperam terlalu lama. Kita tidak tahu bila lagi kita sebagai ibu dianugerahkan kecukupan masa. Letakkan matlamat waktu hendak menyelesaikannya.

8. Sentiasa dalam keadaan tenang dan jangan stres. 

Seorang penulis tidak boleh stres ketiks mencurahkan takah-takah ideanya. Berhadapan dengan bermacam masalah keluarga mahupun kerenah anak-anak terkadang menghunuskan tekanan dan boleh mengakibatkan tiada lagi kemahuan untuk menulis. Sementara itu, belajar untuk bertenang dan tidak membiarkan kesedihan menghakis keinginan menulis di pertengahan jalan.

9. Berdoa.

Jangan berhenti berdoa kepada Allah ta’ala agar dipermudahkan setiap urusan kita di dunia termasuklah dalam urusan menyiapkan manuskrip kita. Berdoa kepada-Nya supaya kita tidak dilalaikan daripada tugas menjadi seorang isteri dan ibu dalam keadaan kesibukan menajamkan pena. Antara doa yang boleh diamalkan iaitu,

Anas bin Malik berkata bahawa Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

اللَّهُمَّ لاَ سَهْلَ إِلاَّ مَا جَعَلْتَهُ سَهْلاً وَأَنْتَ تَجْعَلُ الحَزْنَ إِذَا شِئْتَ سَهْلاً

Bermaksud : Ya Allah, tidak ada kemudahan kecuali yang Engkau buat mudah. Dan engkau menjadikan kesedihan (kesulitan), jika Engkau kehendaki pasti akan menjadi mudah.” [Diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dalam Shahihnya (3/255)]

10. Sayangi diri anda.

Sayangilah diri anda dengan niat mahu menjadi insan yang tekun mengejar cita-cita. Orang yang mencintai dirinya sendiri akan mengerjakan sesuatu yang terbaik sehingga tercapainya sebuah impian. Suri rumah juga boleh berjaya meski hanya dari dalam rumah.

Apabila minat menulis ini semakin menyerlah di dalam diri, belajarlah agar ia tidak menjejaskan hubungan dengan pasangan masing-masing. Lagi baik, jika seorang isteri mendapatkan keizinan dan sokongan padu daripada suami tercinta. Sementelahan itu, turut diharapkan agar impak atau kesan daripada dorongan menulis ini tidak mengakibatkan anak-anak mulai terabai disebabkan kecuaian kita menggalas tanggungjawab sebagai suri rumah.

Setiap suri rumah berhak mendapatkan waktu sejenak untuk bersendirian. Memanfaatkan masa untuk hobi menulis juga antara salah satu bentuk me-time bagi seorang suri rumah. Mengambil beberapa jam dalam tempoh yang singkat ialah waktu bagi seorang isteri mengistirahatkan dirinya atau yang kita julukinya sebagai me-time.

Di samping itu, hal ini turut menyedarkan kita bahawa menulis juga merupakan salah satu sarana untuk kita menyuarakan kebenaran dan memperkembangkan ilmu pengetahuan ke seantero dunia. Semoga panduan ini dapat memberikan jalan keluar dan menaikkan semula kecenderungan ingin menjadi seorang penulis khususnya buat mereka yang bergelar isteri suri rumah tangga.

Rasulullah S.A.W,

قَيِّدُوا الْعِلْمَ بِالْكِتَابِ

“Ikatlah ilmu dengan dengan menulisnya.” [Silsilah ash-Shahiihah no. 2026]

Disediakan oleh,

Syuhara Suriati

Peritnya Rasa Kehilangan?

Kenapa Kita Selalu Berbicara Tentang HAMKA?