in

Travelog Hamka: 4 Bulan Di Amerika

Amerika yang dibawa Hamka di dalam buku ini amatlah berbeza daripada apa yang selalu kita fikirkan. Pergaulan bebas, materialistik dan kapitalisme mungkin itu yang bermain di fikiran kita sebaik sahaja nama Amerika disebut. Namun, penulisan Hamka pada karya travelognya ini sememangnya membawa perspektif baharu kepada kita kerana beliau bukan sahaja membawa kita mengembara ke setiap inci kota Amerika , tetapi juga menenggelamkan kita dalam segala kritikan sosial sepanjang lawatannya ke sana. 

Dan, molek saya katakan pada permulaan reviu ini, 4 Bulan di Amerika bukanlah sekadar travelog kaki tetapi merupakan travelog hati! 

Baiklah, mari kita berkenalan serba sedikit mengenai buku ini. 

 

 

 

Travelog ini dinukilkan ketika Buya Hamka memenuhi undangan pemerintah Amerika Syarikat kepada kerajaan Indonesia untuk mengadakan lawatan ke sana selama 4 bulan. Pada waktu ini, Hamka menjadi wakil bagi Kementerian Agama Republik Indonesia sesudah negara itu mencapai kemerdekaan. 

Hamka memulakan travelognya dengan menceritakan pengalaman berangkat terbang ke Amerika, bertemu dengan para konsulat Indonesia di sana sehingga dibawa melawat ke tempat-tempat menarik seperti Hollywood, Chicago dan beberapa universiti tempatan. Sudah pastinya pelbagai siri pertemuan dan perbincangan akademik diaturkan di sana termasuklah bertemu dengan perusahaan filem terkenal seperti International Universal.  

Pada pendapat saya, Hamka telah berjaya membawa saya menyelami rasa cinta terhadap seni yang tidak berbelah bahagi. Dalam travelog ini, Hamka tidak pernah mempersetankan manusia yang terlalu mengejar cita-citanya di Hollywood,tetapi beliau cuba membawa satu mesej kepada kita bahawa hakikat masyarakat di sana adalah mereka perlu berlumba-lumba merealitikan yang khayal, dengan apa cara sekalipun. Tetapi, yang salah tetap salah. Berlebihan pada dunia sudah tentu memberi mudarat yang besar berbanding manfaatnya. 

Kritikan Hamka terhadap bidang perfileman pula merupakan satu isu yang jarang-jarang dibahaskan oleh para ulama‘. Lain macam Hamka ni sebenarnya! Ketika melawat International Studio di Hollywood, beliau menyimpulkan dunia perfileman ini tidak terhad kepada seni lakon semata-mata, tetapi juga menghargai seni mencipta skrip dan latar yang hebat. Ini berdasarkan gerak kerja yang diamalkan oleh semua kru produksi Hollywood ketika berusaha menghasilkan satu karya agung di pentas layar. 

Dan kita lihat sekarang di Malaysia, memang begitulah sepatutnya yang perlu dipegang! Jika industri perfileman itu hanya bergantung kepada kekacakan atau kecantikan pelakonnya sahaja, maka di takuk lama jugalah kita akan berada sampai bila-bila. Syukur ada yang sudah bermuhasabah. 

Cinta terhadap seni memang jelas ditunjukkan oleh seorang ulama’ agung ini, sekaligus menjadi bukti bahawa setiap orang berhak untuk mencintai apa sahaja, asal kena pada tempatnya. Janganlah sampai terkorban harga diri kerana mengikut hati.  

Hamka juga amat tersentuh apabila isu perbezaan warna kulit masih lagi dimainkan di Amerika (yang pada hari ini sudah mula berkurangan). Beliau jelas mengkritik dasar apertied yang diamalkan oleh masyarakat di sana, hatta dalam isu tandas pun diasingkan mengikut warna kulit. Perkara inilah yang sebenarnya membunuh nilai kemanusiaan secara senyap dalam diri sesebuah masyarakat. Moga kita dijauhkan. 

Seperkara lagi yang menarik perhatian saya adalah berkenaan isu perbandingan agama yang dibawa oleh Hamka. Melalui travelog ini, kita dapat fahami bagaimana Hamka mampu berdialog mengenai agama secara harmoni dengan ahli akademik di Universiti Methodist, Texas. Sehinggakan boleh dibuat kawan! Jelas, perbezaan agama itu bukanlah penghalang untuk kita berkomunikasi dan bertukar pendapat antara satu sama lain. Kata Nabi s.a.w, berdakwahlah secara hikmah, bukan memaksa.

Yang paling penting, walaupun diberi peluang menjelajah ke negara maju ini, cinta Hamka pada negara tidak pernah terpadam. Pada pandangan Hamka, tanah airnya juga boleh maju seperti Amerika jika ada azam dan usaha yang kuat untuk melakukan perubahan. Kemajuan di Amerika tidak sedikit pun menjadikan beliau terus memperkecilkan tanah air sendiri, malah ia menjadi pembakar semangat yang utama untuk memajukan negaranya. 

Tegarnya hati seorang nasionalis yang juga seorang ulama’ terkemuka nusantara ini. 

Moga semangatnya mampu meresap ke jiwa generasi kini untuk terus berbakti kepada negara pertiwi. In shaa Allah. 

Bagi anda yang masih ragu-ragu untuk memulakan bacaan karya Hamka, tolaklah keraguan anda itu ke tepi. Kerana bahasa yang digunakan Hamka adalah bahasa Melayu yang lebih dekat dengan kita berbanding dengan dialek bahasa ibunda beliau. Sebab itulah karyanya amat laris di Tanah Melayu sebelum merdeka sehinggalah sekarang. 

Saya amat mencadangkan buku ini dinikmati oleh sesiapa sahaja yang mempunyai keinginan untuk melihat negara Barat dalam sudut pandang yang berbeza dan juga kepada sesiapa yang sangat mencintakan ibu pertiwi. 

Bacalah! Teruskan meneroka dunia.

 

Pengulas,

Syuhadah Ainin,

pencinta buku yang masih mencari setiap hikmah yang terkandung dalam lafaz Iqra’.

Leave a Reply

Loading…

Kisah Tragik Terhempasnya Air France 447 di Lautan Atlantik

Al Kindi : Ahli Falsafah Arab Pertama