in

Tingkah Laku dan Gaya Pemikiran Ketika Pandemik

Pada penghujung tahun 2019 sehinggalah permulaan suku pertama tahun 2020, dunia dikejutkan dengan penularan satu penyakit berjangkit yang bermula di Wuhan, China. Pada 11 Februari 2020, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organization, WHO) telah memberi nama rasmi bagi penyakit tersebut, iaitu COVID-19 yang mengambil sempena akronim COrona VIrus Disease 2019. Pada 11 Mac 2020 pula, WHO mengisytiharkan COVID-19 sebagai satu pandemik.

Kerajaan Malaysia telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac 2020 yang mana rakyat dikehendaki untuk berada di rumah dan hanya keluar untuk tujuan kecemasan dan keperluan sahaja. Kesannya sehingga sekarang, jumlah kes yang disahkan positif dan maut akibat COVID-19 semakin bertambah. Jutaan manusia lain turut terkesan dek perubahan dalam rutin dan kebiasaan, serta impak terhadap ekonomi dan kewangan peribadi.

WHO telah mendefinisikan pandemik sebagai epidemik, atau wabak penyakit, yang merebak dengan luas meliputi seluruh kawasan, negara, benua, dan dunia sehingga memberi kesan kepada sejumlah manusia yang ramai.

Kita dapat menyaksikan pelbagai kerenah manusia ketika menghadapi pandemik yang boleh dijelaskan dengan ilmu psikologi. Psikologi adalah satu bidang ilmu yang mengkaji secara saintifik tentang tingkah laku dan proses mental individu. Ia adalah satu perkara yang menarik untuk melihat dan cuba memahami mengapa kita dan individu lain melakukan sesuatu tindakan apabila berhadapan dengan situasi yang baharu dan banyak ketidakpastian ini. Memetik tulisan Steven Taylor dalam bukunya “The Psychology of Pandemics: Preparing for the Next Global Outbreak of Infectious Disease”,

“Pandemics are events in which the population’s psychological reactions to infection play an essential role in both the spreading and containment of the disease, and influence the extent to which the widespread emotional distress and social disorder occur”.

Dalam erti kata lain, cara individu memberi respons secara psikologi terhadap pandemik adalah satu faktor penting yang mempengaruhi sama ada penyakit tersebut akan terus merebak atau berjaya dikekang, dan sejauh mana tekanan emosi dan kecelaruan sosial dapat dikawal.

Apabila PKP mula dilaksanakan, majoriti rakyat taat berada di rumah jika tiada keperluan untuk keluar dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) (contoh: melakukan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka, membasuh tangan dengan sabun atau pembersih tangan) yang lain.

Kini, rakyat dibenarkan untuk keluar dan hampir kesemua sektor ekonomi dan sosial telah dibuka dengan pengamalan norma baharu. Namun, ada masanya yang kita mungkin kurang patuh kepada SOP yang ditetapkan. Lebih dahsyat lagi, ada individu yang ingkar kepada arahan yang menyebabkan lebih ramai individu lain turut menerima impak yang menjejaskan kehidupan mereka. Kita mungkin tertanya, mengapa kita bertindak tidak rasional setelah diberi penjelasan SOP dan arahan lain yang wajib dipatuhi?

Sama seperti virus yang boleh berjangkit kepada individu yang lain, emosi juga boleh bersifat sedemikian. Keadaan ini dipanggil penularan emosi (emotional contagion). Penularan emosi adalah penyebaran perasaan dan mood dalam sekumpulan individu apabila terdedah kepada perasaan dan mood tersebut. Satu cara penularan emosi boleh berlaku adalah melalui pembelajaran melalui pemerhatian (observational learning), yang mana kita memperoleh maklumat tentang sesuatu keadaan dengan melihat tingkah laku, mimik muka, dan intonasi suara individu lain yang mampu mencetuskan emosi tertentu.

Situasi ini dapat dilihat ketika awal-awal kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKP, yang mana terdapat segelintir rakyat terlibat dalam pembelian panik. Mereka membeli bekalan makanan dalam kuantiti yang berlebihan. Hal ini mencetuskan kebimbangan dan menyebabkan lebih ramai yang pergi ke kedai dan “memborong” kerana beranggapan yang bekalan akan habis dan mereka akan lebih sukar untuk keluar lagi.

Walaupun kerajaan telah memberikan jaminan bekalan makanan mencukupi dan keizinan untuk wakil keluarga keluar membeli barang keperluan, namun mereka mungkin telah melihat sendiri stok makanan habis di rak atau menonton video yang menunjukkan rakyat beratur panjang dengan troli yang penuh di kedai.

Pemerhatian tersebut memberi isyarat seakan-akan perkara buruk akan berlaku dan mereka perlu melakukan persediaan. Bahagian emosi otak lebih dominan sehingga “menenggelamkan” fungsi bahagian logik otak yang akan berfikir lebih rasional apabila mempertimbangkan jaminan kerajaan itu.

Selain penularan emosi, terdapat juga keadaan yang dipanggil penularan tingkah laku (behavioral contagion). Situasi ini boleh dilihat apabila ada tingkah laku yang dibuat oleh satu individu itu diikuti oleh individu yang lain. Sebagai contoh, jika kita pergi ke sebuah kedai dan melihat pelanggan sebelum kita tidak mengimbas kod QR untuk aplikasi MySejahtera dan tidak mengambil suhu badan, kita juga mungkin bertingkah laku serupa. Atau, apabila kita berada dengan sekumpulan individu dan mereka saling berjabat tangan, kita mungkin akan turut berjabat tangan.

Tingkah laku itu mungkin bermula dengan hanya segelintir individu sahaja yang melakukannya, dan kemudian diikuti oleh individu lain sehingga kita melihat semakin ramai yang bertingkah laku serupa. Mengapa kita cenderung untuk meniru tingkah laku individu lain?

Kecenderungan untuk meniru tingkah laku individu lain adalah perkara biasa apabila berada dalam keadaan yang baharu dan samar-samar. Kita memerlukan maklumat tentang apa tingkah laku yang sesuai untuk dilakukan dalam sesuatu situasi, dan pemerhatian terhadap tingkah laku individu lain dijadikan salah satu input. Hal ini boleh berlaku apabila kita tidak memahami tujuan SOP serta kurang pemantauan dan penguatkuasaan daripada pihak berkuasa. Tambahan pula, bias kognitif (cognitive bias) atau kesilapan sistematik dalam pemikiran membuatkan kita memandang rendah akan mudahnya sesuatu wabak penyakit boleh berjangkit dan merasakan yang kawasan kita selamat hanya kerana kes yang dilaporkan rendah atau langsung tiada.

Bahayanya adalah apabila tingkah laku yang ditiru itu tidak menepati SOP yang ditetapkan, lalu menimbulkan keadaan yang lebih teruk. Apabila kita melihat individu lain tidak mengikuti SOP yang ditetapkan, ada kecenderungan untuk kita berfikir yang keadaan adalah seperti kebiasaan, dan seterusnya mewujudkan norma yang tidak sepatutnya. Penularan tingkah laku sebenarnya berkesan dalam pengurusan pandemik jika tingkah laku yang ditiru adalah sejajar dengan SOP. Oleh sebab itulah, kerajaan melaksanakan Kempen Pembudayaan Norma Baharu dengan harapan SOP tersebut menjadi amalan setiap individu dan mempengaruhi lebih ramai lagi individu lain untuk mencontohi amalan yang sama.

Tahap kebimbangan yang sederhana diperlukan bagi memberi motivasi kepada individu untuk melakukan tindakan yang wajar dalam menghadapi pandemik. Namun, tahap kebimbangan yang tinggi boleh menjejaskan aktiviti harian dan memberi impak kepada kesihatan mental. Ketiadaan langsung rasa bimbang pula akan menyebabkan individu ambil lewa daripada mematuhi arahan dan SOP.

Tanggungjawab moral adalah satu motivasi yang terbaik apabila kita dituntut untuk melakukan sesuatu yang mana tindakan bukan sahaja memberi kesan kepada diri sendiri, malah kepada individu yang lain, seperti yang dipromosikan dengan tanda pagar #kitajagakita. Sebagai contoh, arahan kerajaan bagi individu yang pulang ke Malaysia wajib untuk melakukan kuarantin di rumah masing-masing dan mengamalkan SOP yang telah ditetapkan.

Berbekalkan kesedaran tanggungjawab moral, individu akan bermotivasi untuk patuh dengan arahan tersebut. Namun, terdapat segelintir individu yang ingkar dengan keluar ke tempat awam. Individu yang ingkar dan berjaya ditahan telah dikenakan kompaun.

Walaupun ramai individu didapati negatif dalam ujian saringan kedua, terdapat juga individu yang didapati positif dan menjangkiti individu lain. Mereka tidak melaksanakan tanggungjawab moral terhadap individu yang lain. Satu penjelasan yang mungkin adalah individu tersebut terjebak dalam gaya pemikiran yang silap iaitu bias optimis (optimism bias). Ia adalah pemikiran bahawa dirinya tidak akan ditimpa apa-apa perkara buruk dan perkara buruk hanya berlaku kepada individu yang lain. Apabila individu tersebut percaya dirinya tidak akan dijangkiti COVID-19 dan ditambah pula dengan ketiadaan langsung rasa bimbang, maka tinggilah keberangkaliannya untuk tidak mengikuti arahan dan SOP.

Sedikit penjelasan daripada sudut psikologi akan tingkah laku ketika pandemik ini bukanlah justifikasi terhadap mana-mana kesalahan yang kita lakukan. Tetapi, ia adalah penjelasan bahawasanya kita sebagai manusia terdedah kepada gaya pemikiran yang silap yang menatijahkan tingkah laku yang tidak menepati arahan dan SOP. Sebagai penutup, marilah kita bersama-sama menghayati amanat Perdana Menteri Malaysia, YAB Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin,

“Kejayaan kita memerangi COVID-19 dalam fasa pemulihan ini adalah bergantung kepada diri kita sendiri. Ia bergantung kepada kesedaran kita, sikap kita dan amalan kita”.

Maka, kita jadilah individu yang bertanggungjawab dengan berfikir sejenak akan kesan daripada setiap tingkah laku kita dan melakukan tindakan yang tepat bagi membantu memutuskan rantaian COVID-19.

Disediakan oleh,

Syamim Binti Hashim

Pelajar PhD dalam bidang Psikologi di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)

Leave a Reply

Loading…

Peranan Sungai Dalam Peradaban Melayu

Muktazilah; Golongan Yang Terperangkap Dalam Pemikiran Logik