Home Artikel Resensi Buku The Library at Night: Sebuah Pengembaraan Pencinta Buku

The Library at Night: Sebuah Pengembaraan Pencinta Buku

Pada kurun ke-15, terdapat sebuah kisah di kota Ouadane mengenai seorang pengemis yang muncul di pintu gerbang kota dalam keadaan kelaparan dan dengan pakaian yang menyedihkan. Pengemis ini telah dibawa ke masjid, diberi makan, diberi pakaian namun begitu tiada sesiapa berjaya memujuknya untuk mendedahkan namanya dan dari mana asalnya.

Hanya satu hal yang dibuat oleh pengemis ini, iaitu dia menghabiskan masanya dengan membaca buku-buku di Ouadane dalam keadaan senyap.

Akhirnya selepas beberapa bulan dalam keadaan sebegini, imam pun hilang sabar dan menyatakan:

“Telah tertulis bahawa dia yang menyimpan ilmu semata hanya untuk dirinya sendiri tidak akan dialukan ke dalam syurga. Setiap pembaca tidak lain adalah satu daripada bab dalam kehidupan sebuah buku, dan melainkan dia menyebarkan ilmunya kepada yang lain, seolah-olah dia telah menghukum buku itu agar ditanam hidup-hidup. Adakah engkau menginginkan nasib sebegitu kepada buku-buku yang telah berkhidmat dengan sebegitu baik kepadamu?”

Mendengar kata-kata imam itu, pengemis berkenaan terus membuka mulutnya buat kali pertama dan dengan fasih menerangkan kandungan buku yang sedang dibacanya. Maka tahulah imam bahawa pengemis itu tidak lain adalah seorang ulama yang bernazar untuk mendiamkan diri selagi dia tidak sampai ke tempat di mana ilmu pengetahuan dihargai dengan selayaknya.

Anekdot ini merupakan salah satu dari kisah-kisah menarik yang dihimpunkan oleh Alberto Manguel di dalam catatannya The Library at Night. Alberto Manguel yang dianggap sebagai salah seorang ulat buku terbaik, memotretkan kecintaannya pada buku dengan bertemakan perpustakaan, tempat segala buku berkumpul.


Dengan bahasa yang indah dan penuh berinformasi, Alberto Manguel berkongsi dan bercerita tentang asal usul perpustakaan dan juga hal-hal yang berkaitan dengannya. Dan sebagai peminat buku, anda pasti akan dapat merasakan kebersamaan apabila membaca catatan beliau.

“In the dark, with the windows lit and the rows of books glittering, the library is a closed space, a universe of self-serving rules that pretend to replace or translate those of the shapeless universe beyond.”

Bayangkan anda ingin mewujudkan sebuah perpustakaan, sudah tentu anda perlu memilih buku-buku di dalamnya, bukan? Tapi, bagaimana anda memilih buku-buku tersebut? Melihat kepada resensi buku pembaca lain? Mengembangkan koleksi buku sediada anda?

Bagi seorang putera raja, Leonello d’Este, buku-buku yang boleh dibeli dari penjual tepi jalan dan yang mana boleh dipinjamkan kepada rakan tanpa sebarang kebimbangan tentang kehilangannya, tidak layak untuk berada di dalam perpustakaannya. Oleh itu dia hanya menerima karya empat penulis agung sahaja: Livy, Virgil, Sallust dan Cicero.

Sudah tentu anda tidak perlu memilih langkah ekstrem ini. Tetapi ianya menarik untuk difikirkan betapa bagi seorang peminat buku, walau setinggi manapun kecintaan pada buku secara umumnya, masih ada satu tingkatan tertinggi yang dikhaskan untuk buku-buku tertentu sahaja yang tidak boleh sewenang-wenangnya dimasuki buku-buku lain. Bagi kita yang mengumpul secara kecilan ini sudah tentu ada buku-buku yang kita simpan dengan kemas di tempat terbaik pada rak buku, bukan?

Tapi tidak semua pembaca buku cerewet seperti putera raja kita di atas. Malah penulis percaya bahawa kebanyakan pengumpul buku semuanya berpegang pada falsafah ‘tsundoku’ yang secara mudah boleh diertikan dengan ‘belilah sebanyak-banyaknya buku’. Dan sampai ke satu tahap, tiada lagi ruang untuk menempatkan buku-buku tersebut. Jadi bagaimana?

Jika anda pernah berkunjung ke Pasar Chowrasta di Pulau Pinang, sudah pasti anda pernah mengalami pengalaman menggali buku-buku terpakai di sana. Dan jika anda perhatikan dengan teliti, kebanyakan buku-buku terpakai di sana sebenarnya diperolehi dari perpustakaan-perpustakaan yang mungkin telah mengambil keputusan untuk melupuskan buku-buku tersebut atas pelbagai sebab. Antaranya, kekurangan ruang.

Dan salah satu masalah bagi mana-mana perpustakaan adalah ruangan yang terhad tatkala bahan semakin berkembang dan bertambah. Maka ada perpustakaan yang terpaksa mengambil tindakan radikal dengan melupuskan buku-buku yang dirasakan tidak penting.

Perpustakaan Awam San Fransisco, contohnya, mengambil keputusan untuk membuang buku-buku ke tapak pelupusan sampah kerana ruangan yang tidak lagi mampu untuk menampung jumlah buku yang terlampau banyak. 

Oleh kerana buku-buku yang dibuang dipilih berdasarkan rekod pinjamannya (yang jarang atau tidak pernah dipinjam akan dibuang), beberapa pustakawan di sana menyusup masuk ke dalam perpustakaan berkenaan di waktu malam dan berusaha gigih memalsukan rekod pinjaman sebanyak mungkin buku-buku yang dikhuatiri akan dihantar ke tapak pelupusan sampah.

Dan sekarang anda sudahpun mempunyai buku dan ruang untuk menempatkan buku-buku tersebut. Bagaimana anda ingin menyusun buku-buku tersebut? Jika koleksi anda cukup besar, sudah pasti anda ingin mengkatalogkan buku-buku ini untuk memudahkan rujukan.

Orang China dan orang Arab berusaha untuk mewujudkan satu katalog yang selengkap mungkin bagi memaparkan karya-karya yang wujud di zaman mereka. Bukan sahaja tajuk buku, malahan sinopsis & biografi penulis juga disertakan sekali.

Antara yang terkenal, Ibn al-Nadim (dikatakan seorang penjual buku) yang pada tahun 987, menghasilkan satu katalog dikenali dengan nama Fihrist, yang memuatkan pengenalan kepada karya-karya yang ada di dunia. Untuk menghasilkannya, Ibn al-Nadim melawat sebanyak mungkin perpustakaan yang ada dalam pengetahuannya, membelek lembaran-lembaran karya yang kadang-kala berjilid-jilid.

Satu abad kemudian, Abul-Qasim al-Maghribi menyambung pula usaha al-Nadim ini dengan karya berjudul ‘Complement to the Catalogue of al-Nadim’.

Di China, Jiang Tingxi seorang pegawai mahkamah telah menghasilkan ‘Qinding Gujin Tushu Jicheng’, atau ‘Great Illustrated Imperial Encyclopedia of Past and Present Times (1726)’ dengan lebih 10,000 bahagian.

‘Taiping Yulan’ atau ‘Imperial Readings from the Era of Great Peace (982)’ juga satu lagi contoh katalog karya dan biografi penulisnya. Maharaja Song Taizong yang mengarahkan agar ianya ditulis dikatakan membaca tiga bab setiap hari untuk satu tahun penuh.

‘Books of Authors’, karya seorang penjual buku bernama Abu Tahur Tayfur telah menggunakan sistem alfabetikal yang memuatkan biografi penulis serta karya-karya penting zaman itu.

Bagi seorang pencinta buku, tiada hal yang lebih menghiris hati dan perasaan berbanding apabila buku yang dipinjamkan kepada rakan dipulangkan dalam keadaan rosak atau lebih teruk, tidak dipulangkan langsung. Untuk itu Alberto Manguel menukilkan satu doa:

“May Ishtar bless the reader who will not alter this tablet nor place it elsewhere in the library, and may she denounce in anger he who dares withdraw it from this building.”

Nah, mengerikan, bukan?

Bagi Alberto Manguel, perpustakaan kita bukan sahaja menggambarkan ‘who we are’, tapi perpustakaan itu juga boleh menggambarkan ‘who we are not’.

“If every library is in some sense a reflection of its readers, it is also an image of that which we are not, and cannot be.”

Sekiranya kita hanya mengumpulkan buku-buku berbahasa Inggeris, kita bukan sahaja boleh digambarkan sebagai pencinta buku-buku Inggeris, tetapi kita juga boleh dikatakan sebagai orang yang tidak mengiktiraf karya dari bahasa lain. Jadi bukan apa yang ada pada perpustakaan kita sahaja yang mentakrifkan siapa kita, tetapi apa yang tiada juga boleh menggambarkan siapa kita.

“Every library both embraces and rejects. Every library is by definition the result of choice, and necessarily limited in its scope. And every choice excludes another, the choice not made.”

Dan walaupun The Library at Night berkisar tentang perpustakaan, catatan ini sebenarnya adalah satu pengembaraan yang digarapkan oleh Alberto Manguel untuk semua pencinta buku. Catatan ini sarat dengan pesanan berkenaan pentingnya menghargai buku dan penulisannya.

“The idea persists even today: our books will bear witness for or against us, our books reflect who we are and who we have been, our books hold the share of pages granted to us from the Book of Life. By the books we call ours we will be judged.”

Koleksi buku kita yang semakin berkembang seiring kehidupan kita, juga menjadi saksi perubahan dalam kehidupan kita. Jika kita renungi kembali buku-buku yang dibeli seawal kita mula belajar mencintai buku, pasti ada kenangan tertentu yang mengingatkan kita pada perjalanan kita sebagai pencinta buku. Mungkin ada buku yang dibeli ketika mengunjungi pasar Chowrasta bersama kekasih yang sudah pergi, mungkin ada buku yang dibeli dengan duit saku terakhir pemberian ibu, mungkin ada yang dibeli dengan wang hadiah tertentu. Segalanya merupakan saksi pada perjalanan kehidupan kita.

“Books may not change our suffering, books may not protect us from evil, books may not tell us what is good or what is beautiful, and they will certainly not shield us from the common fate of the grave. But books grant us myriad possibilities: the possibility of change, the possibility of illumination. It may be that there is no book, however well written, that can remove an ounce of pain from the tragedy of Iraq or Rwanda, but it may also be that there is no book, however foully written, that does not allow an epiphany for its destined reader.”

Memang benar, kita tidak boleh menghapuskan kejahatan dan penderitaan di dunia hanya dengan buku-buku di dunia ini, tetapi sebuah buku, bagi seorang manusia, mampu untuk menggerakkan hatinya untuk mencipta pengharapan baru  dan seterusnya bertindak bagi mewujudkan dunia yang lebih baik.

Dan bagi anda yang sentiasa mempunyai (atau tidak) alasan untuk membeli dan terus membeli buku-buku baru, usah hiraukan sindiran dari pembenci buku. Jika ditanya, jawab sahaja:

“I have no feelings of guilt regarding the books I have not read and perhaps will never read; I know that my books have unlimited patience. They will wait for me till the end of my days.” 

 

Oleh: Fuad Syazwan Ramli

Related Post

Leave a Reply

Copy link