in

CuteCute

Temerloh Bandar Kelahiran Para Pejuang

Apabila disebut sahaja Bandar Temerloh, sudah pastinya generasi hari ini lebih mengenali Temerloh sebagai  Bandar Titik Tengah Semenanjung Malaysia. Malah Bandar Temerloh dikenali sebagai Bandar Ikan Patin. Setiap hari minggu, tidak hairan jika bandar ini dipenuhi dengan pelancong tempatan dan luar negara datang ke bandar ini untuk menikmati hidangan enak Gulai Tempoyak Ikan Patin.

Kebiasaannya, juadah ikan Patin akan dihidangkan sebagai menu wajib dalam majlis-majlis keraian, jamuan makan dan juga majlis perkahwinan. Antara restoran yang terkenal dengan hidangan Gulai Tempoyak Ikan Patin ini ialah Restoran Gobang Maju, Gerai Ikan Patin Pak Usop dan Restoran Claypot Patin Tempoyak. Setiap hujung minggu pasti restoran-restoran ini dipenuhi pelanggan.

Loghat Daerah Temerloh yang popular

Terdapat beberapa pendapat yang menyatakan bahawa dialek Daerah Temerloh ini mempunyai sedikit persamaan dengan dialek Negeri Perak dari segi intonasinya. Malah ada yang mengatakan bahawa loghat-loghat yang terdapat di Negeri Pahang akan mengikut arus pergerakan Sungai Pahang. Antara perkataan yang popular ialah;

Koi – saya

Ande- ada

Berambi- berhati-hati. 

Babey- Degil

Betaki-Bertengkar

Beranok- Bersalin

Aok – awak

Pedeooh- menipu 

Cakak-cakap

Namun kebanyakan dialek negeri ini hanyalah seakan-akan sama dengan bunyinya dengan Bahasa baku. 

Asal Usul Nama Temerloh

Bandar Temerloh lahir daripada pekan Kuala Semantan. Menurut cerita, nama Temerloh dikatakan berasal daripada perkataan ‘mereloh’ yang bermaksud ‘tidur’. ‘Te’ pada pangkal nama Temerloh ialah asalnya ‘ter’ yakni ‘tertidur’. Menurut Zakaria Hitam atau dikenali sebagai Pak Zek iaitu seorang tokoh Budaya Pahang 1986, nama Temerloh yang asal mempunyai kaitan dengan peristiwa yang berlaku di Kuala Semantan.

Pada suatu hari, ada seorang pemuda Minangkabau mendarat di kuala anak sungai. Sepanjang pemuda itu berada di kampung tersebut, beliau terlihat seorang Orang Asli yang asyik mereloh sepanjang hari tanpa mempedulikan hal-hal sekeliling. Dari peristiwa itu terbitlah perkataan Temerloh yang diambil untuk menamakan daerah tersebut pada tanggal 1 Julai 1889. E.A. Wise telah dilantik sebagai pentadbir British yang pertama ketika jajahan di Temerloh.

Ikan Patin Masak Tempoyak merupakan hidangan popular di Temerloh. Temerloh adalah sebuah bandar yang terletak di Pinggir Sungai Pahang yang begitu kaya dengan hasil sungai seperti ikan Patin, ikan Talapia dan ikan Lampam. Kekayaan hasil sungai menyebabkan rata-rata penduduk di bandar ini terlibat dengan penternakan ikan dalam sangkar dan juga terlibat dalam aktiviti Agro pelancongan seperti sukan reakerasi sungai dan pembinaan rumah rakit.

Malah di bandar ini juga terletaknya pekan sehari terpanjang di Malaysia iaitu Pekan Sehari Temerloh. Di Pekan Sehari ini, terdapat pelbagai jualan pakaian dan makanan seperti kuih muih, ulam-ulaman dan hasil tradisional kampung yang lain.

Temerloh Bandar yang Kaya dengan Sejarah

Bandar Temerloh juga sangat kaya dengan Sejarah bangsa Melayu seperti Datuk Bahaman iaitu Orang Kaya Semantan yang menentang British di Pahang suatu masa dahulu. Menyusuri sejarah awal bandar Temerloh, bandar Temerloh merupakan bandar perdagangan dan didiami oleh masyarakat Orang asli ,Orang Melayu Purba dan juga Orang Minangkabau yang datang dari Sumatera. Kebanyakan penduduknya begitu handal dalam ilmu pertahankan diri iaitu silat.

Pak Sako seorang nasionalis negara merupakan anak jati Bandar Temerloh.

Sewaktu era penjajahan British, bandar Temerloh cukup terkenal dengan perjuangan Pak Sako ( Ishak Haji Muhamad ) iaitu pejuang berhaluan kiri. Pak Sako bukan sahaja seorang nasionalis, malah beliau juga seorang penulis novel. Karya-karya beliau banyak menyentuh semangat patriotisma bangsa seperti novel Anak Mat Lela Gila. Terdapat satu jalan di bandar Temerloh dikenali sebagai Jalan Pak Sako diabadikan sebagai mengenang jasa beliau sebagai pejuang bangsa. 

Selain tokoh itu, terdapat ramai seniman yang merupakan anak kelahiran daerah Temerloh seperti Datuk Siti Nurhaliza dan Datuk Sudirman Haji Arshad. Kejayaan penyanyi Datuk Sudirman Haji Arshad dan juga Datuk Siti Nurhaliza sehingga peringkat antarabangsa begitu menjadi inspirasi kepada anak Temerloh.

Roslan Madun juga merupakan anak seni kelahiran Temerloh. Beliau memperjuangkan lagu-lagu rakyat tradisional seperti Lagu Menghilir ke Sungai Pahang, Lemak manis dan Burung kenek-kenek. Beliau juga telah menubuhkan kumpulan Anggun Performing Arts yang aktif mengadakan persembahan di daerah ini. Termasuk mengadakan bangkel penulisan dan sastera. Malah Roslam Madun turut dikenali sebagai Raja Syair Nusantara.

Akhir sekali, bandar Temerloh antara lokasi yang memainkan peranan penting dalam penyebaran agama islam sejak dahulu khususnya di Negeri Pahang. Terlahirnya tokoh-tokoh agama terawal seperti Tok Sahibuddin, Tok Mengkarak, Tok Sudi Bilang dan juga Tuan Haji Abdul Majid Bin Buyong yang merupakan pengasas Madrasah Al Ittifaqiyah Guai Temerloh pada tahun 1947 yang kini dikenali sebagai SMA Agama Ittifaqiyah Temerloh.

Kesimpulannya, daerah Temerloh bukan sahaja daerah yang terkenal dengan ikan Patin tetapi terkenal dengan lokasi pelancongan. Apabila menyebut lokasi pelancongan pasti ada sejarah yang tersimpan di sana. Apabila ditelusuri sejarah dan budaya daerah Temerloh, terdapat banyak khazanah dan budaya yang menjadikan Temerloh sebagai daerah yang terpenting di Malaysia.

Disediakan oleh,

Nur Izzati Hazwani


Rujukan:

  1. https://negeripahang.com/asal-usul-nama-temerloh
  2. http://roslanmadun.com/biodata/

Anti Vaksin: Golongan yang Menolak Integriti Ilmu dan Ahlinya

Virtual Duka Belantara