in

Talbis Iblis Terhadap Remaja

Talbis Iblis atau Tipu Daya Iblis merupakan tipu daya yang sangat licik. Tipu daya ini tidak mengecualikan sesiapa pun. Tidak akan ada orang yang terlepas daripadanya, kecuali mereka yang benar-benar ikhlas dalam mentaati segala perintah Allah SWT dan menjauhi segala larangan-Nya. Talbis bermaksud menampakkan kebatilan dalam rupa kebenaran. Erti kata lain bagi Talbis ialah, kita merasakan perkara yang kita lakukan adalah benar, tetapi Allah SWT dan Rasul tidak menyukainya.

Kata Ibn Jauzi Rahimahullah dalam kitabnya Talbis Iblis, ‘Makna ghurur itu seperti kejahilan yang menimbulkan keyakinan bahawa yang rosak itu lurus dan hina itu bagus. Sebabnya ialah rasa was-was, Iblis menyusup ke dalam diri manusia bergantung kepada kadar yang mungkin, boleh berkurang, bergantung kepada kadar kesedaran dan kelalaian manusia, kemahiran dan kejahilannya.” (Ibn Jauzi, Kitab Talbis Iblis).

Talbis Iblis merupakan kitab karangan Imam Ibnu Jauzi, iaitu mujaddid yang banyak menghasilkan karya-karya yang membongkar penyelewengan pada zamannya. Antara karyanya yang membongkar penyelewengan pada zaman beliau adalah Talbis Iblis, Al-Mawdu’at Ibnu Jauzi (Kitab hadis yang mengumpulkan hadis-hadis Palsu) dan lain-lain.

            Kali ini, artikel ini ingin mengupas berkenaan dengan ‘Talbis Iblis terhadap Remaja’. Sememangnya, remaja merupakan aset terpenting bagi pembangunan ummah, bangsa dan negara. Pada usia ini, remaja akan mudah terpengaruh akibat perasaan ingin tahu yang mendalam atau terpengaruh dengan rakan sebaya yang mempunyai kelakuan yang tidak baik. Oleh itu, ‘penyakit’ ini bukan hanya merebak kepada mereka yang berakhlak buruk sahaja, namun ‘penyakit’ ini juga merebak kepada remaja ‘kaki masjid’.

            Buktinya, ramai remaja yang alim-alim kucing ini seolah-olah menunggang agama untuk kepentingan diri mereka sendiri. Mereka menggunakan agama sebagai alat untuk menghalalkan perkara yang mereka sudah maklum akan keharamannya berdasarkan dalil-dalil yang terdapat di dalam al-Quran dan al-Hadith. Sebagai contoh, budaya ‘couple’. Islam tidak mengiktiraf ‘couple’ walaupun berhasrat untuk berkahwin pada akhirnya. Islam mengajarkan bahawa sesiapa yang berhajat akan seorang gadis, maka berkahwinlah. Anjuran ini berdasarkan hadith dari jalur Ibn Abbas, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda : ‘Tidaklah aku melihat suatu penyelesaian apabila dua orang yang saling mencintai, selain daripada pernikahan’ ( HR Ibn Majah, disahihkan oleh al-Albani).

            Remaja ‘kaki masjid’ yang mengamalkan budaya ini, menggunakan agama untuk membenarkan perbuatan mereka. Misalnya, membangunkan berpesan-pesan kepada kebaikan dengan pasangan. Sedangkan, masih ramai rakan-rakan mereka yang lebih parah daripada akhlak pasangannya. Kedua, membangunkan pasangan mereka untuk Qiamulail, sedangkan rakan di sebelah masih lena dibuai mimpi, kadang-kadang apabila waktu subuh menjelang rakan sebelah dibiarkan tidur sehingga mereka terjaga sendiri. Ketiga, membawa rakan apabila ingin berjumpa supaya mereka tidak terjebak dalam perkara yang haram iaitu berdua-duaan. Mereka beriman dengan hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah Bin Umar, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: ‘. . . Tidaklah berdua-duaan seorang lelaki dan seorang perempuan itu melainkan yang ketiganya adalah syaitan’ (HR Tirmizi). Namun, untuk mengelakkan datangnya orang yang ketiga itu(syaitan) mereka membawa rakan mereka sebagai peneman di samping untuk membenarkan perkara keji yang mereka lakukan. Mereka menyalah tafsirkan hadith berkenaan, untuk mengelakkan perkara yang mereka berdua lakukan bersangkut paut dengan hadith tersebut, mereka mengubah ‘uslub’ untuk membenarkan perbuatan mereka. Hal ini banyak terjadi, bukan hanya dalam kalangan pelajar agama sahaja. Amat menyedihkan apabila pelajar agama juga terlibat dengan perkara yang sebegitu keji ini. Memang tidak dinafikan, pelajar agama bukanlah ‘malaikat’ yang tidak ada dosa. Namun, persoalannya ‘Mengapa mereka sanggup mengkhianati apa yang mereka pelajari?’.

            Apabila kita ber’couple’ , banyak perkara yang dilihat bertentangan dengan suruhan Allah SWT dan Rasul-Nya. Sesungguhnya, Allah SWT berfirman : ‘ Dan jangalah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah perbuatan yang keji dan seburuk-buruk jalan.’(Surah al-Isra’ : 32). Di dinukilkan di dalam tafsir Mukhtasyar / Markaz tafsir Riyadh berkenaan dengan ayat tersebut. ‘Dan janganlah kamu mendekati zina. . .’ dengan tafsiran jangan melakukan perkara-perkara yang boleh menjerumuskan diri ke dalam perbuatan zina. Dan ayat ini merupakan larangan melakukan perbuatan zina secara langsung (Tafsir Mukhtasyar / Markaz Tafsir Riyadh).

            Tafsir tersebut disokong penuh oleh sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda : ‘Sesungguhnya Allah SWT telah menetapkan zina bagi anak Adam, dia akan mendapatkannya dan tidak boleh dihindari, maka zina mata dengan melihat, zina lidah dengan ucapan, zina hati dengan membayangkan dan merasakan syahwat, sedangkan kemaluan membenarkan semua itu atau mendustakannya’ (HR Bukhari & Muslim).

            Antara dalil lain yang kukuh menjadi sandaran akan keburukan perkara tersebut adalah, Allah SWT berfirman : ‘ Katakanlah kepada orang-orang yang beriman, biarkan mereka menahan pandangan mereka dan memelihara kemaluan mereka. Ini lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan.’(Surah an-Nur : 30). Menurut Ibn Katsir, ‘ Ini merupakan perintah Allah SWT kepada hamba-hambaNya yang beriman untuk menahan(menjaga) pandangan mereka tentang hal-hal yang dilarang . . ‘(Tafsir Ibn Katsir).

            Kesimpulannya, terdapat  banyak lagi dalil berkenaan dengan keburukan remaja  yang ber‘couple’ ini. Hanya tinggal untuk disebarkan dan diberi penekanan yang secukupnya. Sesungguhnya, cinta pada usia remaja membunuh semangat untuk menuntut ilmu dan berjuang untuk menaikkan syiar Islam di atas muka bumi ini. Jika kita menelusuri kehidupan tokoh-tokoh terbilang Islam, mereka tidak ada masa untuk perkara-perkara seperti ini (cinta, couple). Apabila cukup syarat untuk berpasangan, mereka akan berkahwin. Kita lihat pada sejarah, bagaimana Sultan Muhammad al-Fateh yang telah menakluki kota Konstantinopel pada usia 21 tahun , Imam as-Syafi’e yang menjadi mufti dengan kebolehannya mengeluarkan fatwa pada usia 18 tahun, Imam al-Bukhari membetulkan kesilapan gurunya pada usia 11 tahun, Syeikh Tahir Jalaluddin yang pergi menuntu ilmu di Makkah pada usia 12 tahun. Mengapa mereka mampu menjadi hebat pada usia yang muda? Kerana mereka hanya bercinta dengan ilmu pada usia tersebut dan menyerahkan diri untuk menuntut ilmu dan mengangkat martabat Islam!. Demikianlah perkara yang mereka sangka baik. Namun, hakikatnya bercampur dengan perkara yang dibenci oleh Allah dan Rasul. Sesungguhnya syaitan telah menampakkan perkara yang buruk itu, indah pada pandangan mereka. Justeru, ini lah yang dikatakan oleh Ibn Jauzi sebagai, ‘Talbis Iblis’!.

-Muhammad Hamzani al-Kanowiti

Leave a Reply

Loading…

Pedoman Menyemai Sabar

Pemikiran Tempang Sepanjang Covid-19