Kehadapan para wanita,

Apa khabar? Semoga baik-baik sahaja dan didampingi oleh orang baik-baik jua. Saya sering mengikuti keadaan rakyat Malaysia yang berada nun jauh di benua Asia. Maklumlah, menjadi seorang pelajar di rantau Afrika ini memerlukan kesabaran yang tinggi kerana hidup berjauhan dari tanah air tersayang. Hanya doa yang dipanjatkan untuk menghubungkan kita.

Saudari yang dikasihi Allah,

Telah sampai berita yang tidak enak di pendengaran saya mengenai kalian. Berita ini mengejutkan saya kerana tiada sesiapa yang menyangka bahawa perkara ini sudah menjadi isu yang serius di Malaysia. Sejujurnya, hati saya hancur saat mendengar berita ini. Mengapa begini sekali wahai saudari?

Jika dibelek buku-buku sejarah Melayu dan kisah orang-orang dahulu, kita akan dapati bahawa rumpun kita sangat kaya. Kaya dengan apa? Kaya dengan budi bahasa, lemah-gemalai dan beradab tinggi. Adakah nilai ketimuran ini sudah hilang sepenuhnya dalam jati diri anak bangsa sehingga sanggup mencalarkan imej diri, negara dan bangsa? Atau ini adalah natijah daripada penjajahan?

Minda saya terus menerobos pada ribuan tahun yang lalu ketika zaman Jahiliah sebelum kedatangan Islam. Tahukah saudari tentang keadaan dan kedudukan wanita di zaman itu?

Ketika itu, wanita tidak mempunyai nilai di dalam mata masyarakat, suara mereka tidak didengari, mereka tidak mendapat hak dalam harta warisan bahkan dijadikan sebagai harta warisan. Bukan itu sahaja, si ayah malu dan tidak mahu keluar dari rumah jika seorang bayi perempuan dilahirkan kerana masyarakat menganggap wanita itu lemah dan hina. Akhirnya, bayi perempuan akan ditanam hidup-hidup. Astaghfirullah!

Suka untuk saya memberitahu saudari tentang kedudukan wanita dalam Islam. Islam telah datang membawa perubahan, mengubah yang dianggap hina menjadi mulia serta menjernihkan pemikiran yang dangkal dan bodoh. Carilah kisah tentang kaum muslimin ingin melancarkan perang terhadap Yahudi Madinah kerana seorang lelaki Yahudi telah memperlekehkan seorang wanita Muslimah sehingga ternampak auratnya di pasar Bani Qainuqa’. 

Saudari,

Adakah kalian faham apa yang ingin saya sampaikan? Islam telah mengangkat mulia diri kita, maka janganlah kita memilih untuk duduk rendah dan menggadai kehormatan dan maruah. Saya tidak mahu terburu-buru memberi hukum. Mungkin kerana kesempitan ekonomi dengan keadaan dunia kini atau pengaruh rakan sebaya yang menjadi punca kalian memilih jalan yang salah.

Jika puncanya adalah wang, ketahuilah bahawa nilai maruah tidak tertara untuk dibandingkan dengan nilai wang ringgit. Maruah seorang wanita adalah sebuah mahkota. Percayalah, lebih baik miskin tetapi kaya di jiwa, daripada indah rupa tetapi fakir di jiwa. Cukuplah Allah telah memuliakan wanita di dalam al Quran melalui surah an-Nisa yang bermaksud perempuan.

Sesungguhnya wanita memainkan peranan yang sangat besar dalam membina negara dan bangsa. Bagaimana? Melalui didikan pertama yang diberikan kepada setiap manusia bermula dari rumah. Perkara ini dibenarkan lagi penyair Arab, Hafiz Ibrahim apabila beliau menyebut bahawa ibu ialah madrasah  pertama dalam syairnya;

الأم مدرسة إذا أعددتها , أعددت شعبا طيب الأعراق

“Ibu adalah sekolah pertama bagi anaknya, jika kau persiapkan (sekolah) itu dengan baik, engkau telah menyiapkan bangsa yang baik asalnya.”

Islam juga datang membawa solusi untuk setiap perkara dalam kehidupan. Jika kita tidak mulia kerana bangsa, memadailah kita sudah dimuliakan oleh agama-Nya.

Pertama dan selamanya, ayuhlah bergerak ke pintu taubat Allah s.w.t. kerana pintu ini adalah satu-satunya pintu yang tidak akan tertutup dan tidak memilih orang  yang ingin memasukinya. Hina atau mulia seorang manusia itu, pintu taubat tetap terbuka untuk kita yang bergelar hamba. Firman-Nya dalam surah al-A’raf ayat 156:

وَرَحۡمَتِی وَسِعَتۡ كُلَّ شَیۡءࣲۚ

“.. Rahmat-Ku meliputi segala sesuatu.. “ [Surah Al-A’raf 156]

Seterusnya, carilah insan-insan yang baik untuk membimbing saudari keluar dari tempat yang hina. Sesungguhnya orang-orang sekeliling memainkan peranan yang sangat besar dalam membentuk diri kita. Jika kita dikelilingi oleh orang-orang yang menginginkan kebaikan, maka kita juga akan terikut sama dan begitu juga sebaliknya.

Saudari yang diingati Rasulullah s.a.w sekalian, 

Umur kita semua lebih kurang sebaya. Saya juga masih di awal 20-an, masih muda dan mempunyai seribu cita-cita. Saya sudah mempunyai perancangan kehidupan untuk beberapa tahun mendatang. Cita-cita ini saya bahagikan untuk diri sendiri, masyarakat sehinggalah yang paling besar iaitu negara. Sentiasa saya tanyakan dalam diri, apakah sumbangan yang boleh saya beri pada hari ini dan kemudian hari?

Tahukah kalian bahawa pemuda-pemudi merupakan tiang sesebuah negara? Tiang yang berkarat dan lemah tidak akan mampu menampung beratnya binaan. Jika tidak kepada pemuda-pemudi, kepada siapa lagi untuk negara ini menyandar harapan? 

Saya tulis surat ini sampai di sini dahulu. Pesanan terakhir saya kepada wanita di luar sana, tidak kira agamanya atau warna kulitnya. Wanita itu ada nilainya. Sekalipun saudari suka dan senang dengan pilihan saudari ini, namun ingatlah bahawa perkara ini adalah racun tersembunyi yang boleh mematikan masyarakat secara perlahan. 

Nukilan,

Nik Nur Humaira’


Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis, bukan kenyataan rasmi Jejak Tarbiah

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.