in

Surah al Asr: Kaitan diantara Sumpah dan Masa

Menghayati surah al Asr bukan sekadar mendengarkan nasyid “demi masa” oleh kumpulan nasyid legenda Raihan. Mengamalkannya pula bukan sekadar bacaan pada penutup majlis semata-mata. Malah jika surah ini dapat difahami dengan baik, maka kita akan dapati surah pendek yang mengandungi tiga ayat ini mengandungi makna tersirat yang sangat luas untuk dihayati serta peringatan dan pengajaran untuk diamalkan.

Bismillahirrahmanirrahim…

١ ﴾ وَالْعَصْرِ ﴿

Demi masa.

Sebelum kita menyentuh kaitan atau munasabat1 di antara suatu ayat dan ayat lain, sangat disarankan untuk pembaca memahami bahawasanya ayat pertama bagi kalimah (والعصر) tidak terlakluk maknanya secara khusus. Ini bermakna selain daripada makna “demi masa” ada lagi tafsiran lain serta terjemahan yang kita akan mungkin akan jumpa selain di dalam kitab-kitab tafsir yang muktabar. 

Kita lihat dahulu huruf waw (و) yang berada sebelum perkataan (العصر) tu. Biasanya terjemahan yang kita baca adalah “demi”. Jadi demi di sini bukan bermaksud “kerana atau untuk” seperti yang kita biasa gunakan– “semua yang aku lakukan adalah demi kamu..”. Malah ia bermaksud sumpah seperti – “demi nama Allah aku bersumpah..”. 

Secara ringkas perkataan (العصر) boleh ditafsirkan melalui tiga pendapat iaitu;

  1. ٱلدَّهْر  (masa – zaman – era)
  2. العصر (waktu Asar – Selepas waktu zohor dan sebelum maghrib)
  3. صَلاةُ العَصْرِ (Solat Asar )2 

Jadi kesimpulan pertama- seolah-olah Allah S.W.T berkata pada ayat pertama;-

  1. demi masa (yang aku cipta dan adakan) aku bersumpah 
  2. demi waktu asar (yang aku cipta dan adakan) aku bersumpah
  3. demi solat asar (yang aku syariatkan) aku bersumpah3

Biasanya pendapat pertama yang kita akan jumpa di dalam mana-mana terjemahan Al-Quran iaitu “demi masa”. Tetapi ahli mufassirin tidak menolak kemungkinan bahawa pendapat kedua dan ketiga juga tepat berdasarkan beberapa dalil dan kaitannya.

Ini kerana pendapat pertama tersebut besifat global dan memberikan petanda mengenai masa secara umum, justeru ia agak popular di kalangan jumhur mufassirin4. Kedua menunjukkan petanda mengenai masa secara khusus manakala yang ketiga totally berbeza dengan pertama dan kedua- kerana ia memberikan petanda mengenai amalan iaitu solat asar.

Walaubagaimanapun, kita akan saksikan bagaimana ketiga-tiga makna yang sangat berbeza ini boleh ada kaitan dengan satu sahaja tema iaitu “kerugian”

Al Dahr  (ٱلدَّهْر) – Masa/ Zaman/ Era5

Syeikhul Islam Ibnu Ashur  menyimpulkan bahawasanya “الدهر” atau “masa” di sini boleh ditafsirkan sebagai zaman secara keseluruhan- atau zaman Islam. Zaman secara keseluruhan boleh dimaksudkan permulaan bagi kehidupan Nabi Adam AS di muka bumi sehingga berlakunya kiamat. Manakala zaman Islam yang dimaksudkan disini adalah permulaan wahyu Nabi Muhammad S.A.W sehingga berlakunya kiamat.

Nak faham lagi mudah, biasanya Allah S.W.T spesifikkan sesuatu waktu atau makhluknya ketika bersumpah seperti “demi waktu dhuha- demi malam” dan sebagainya. Tapi kali ni Allah S.W.T bersumpah dengan sesuatu yang umum, tanpa mengkhususkan mana-mana waktu. Masa di sini bermaksud “sepanjang masa yang berlalu dan yang akan datang”. 

Jadi mari kita kembali kepada pokok perbincangan kita tadi, apa kaitan sumpah diantara ‘masa-zaman’ dan ‘kerugian’?6

Pertama sekali, kerana masa itu sendiri sangat ajaib. Ajaibnya adalah pada persoalan “masa itu bagaimana?”. Sebab itu Imam Ar Razi mengatakan bahawasanya ‘masa-zaman’ mempunyai tempat yang lebih tinggi berbanding dengan ‘persoalan tempat’ di dalam Al Quran sendiri. Kata Imam Ar Razi “waktu kini adalah sesuatu yang ada- manakala masa lalu dan masa depan adalah sesuatu yang tidak ada- yakni tidak nampak, tidak boleh dijangka dan seumpama dengannya. Sebab itu, sangat tidak realisitik bila kita menganggap seseorang boleh merentas masa ke zaman lampau atau ke masa hadapan. Kerana ia jelas sesuatu yang sangat mustahil.

Yang dimaksudkan ‘masa-zaman’ mempunyai kedudukan yang lebih tinggi daripada tempat adalah daripada aspek logikal penciptaan kedua-duanya. Imam Ar Razi berpandangan ketika mensyarahkan ayat 12-13 di dalam surah al-An’am, bahawa jika kita berfikir mengenai penciptaan tempat seperti bumi dan langit lebih mudah untuk ditadabburi dan diamati jika dibandingkan dengan penciptaan masa. Masa itu sangat ajaib kerana setiap waktu berubah dan tidak boleh diundur manakala sesuatu tempat boleh berubah ketika adanya sesuatu kesan persekitaran.

Jadi sebab tu, bila Allah S.W.T bersumpah dengan ‘masa’,  ia adalah sumpah yang sangat-sangat kuat, dan sangat-sangat sesuai bila menerangkan keadaan kerugian. 

Bahkan Arab Jahiliah menganggap masa boleh mendatangkan kecelakaan kepada mereka, dinamakan دهر ؛ يأتي على كل شيء و يغلبه kerana masa adalah makhluk yang tidak dapat dibatasi dan diatasi oleh mana-mana makhluk. Seolah-olah di sana ada petunjuk dan amaran bahawa masa bukanlah permainan yang boleh dianggap lekeh dan biasa. Kerana setiap waktu yang digunakan akan dikira dan dihitung oleh Allah S.WT.

Kedua, sesuatu umur yang panjang sebenarnya tiada nilai lansung bagi sisi Allah S.W.T, malah jika ditambah seribu lagi tahun pada diri seseorang pun, belum tentu ia dapat memberikan manfaat baginya. Andai kata seseorang hidup seribu tahun tetapi tidak digunakan untuk berabdi kepada Allah S.W.T, maka kehidupan seseorang yang hidup selama setengah abad lebih baik daripada mereka yang hidup selama seribu tahun tetapi dipenuhi dengan amalan soleh dan taqwa kepada Allah S.W.T. 

Satu kerugian yang nyata bagi semua manusia kecuali mereka yang menggunakan setiap saatnya yang bernilai untuk beriman dan beramal soleh kepada Allah S.W.T.  

Ketiga, meningkatnya usia seseorang akan memendekkan jangka hayatnya. Maka semakin pendek jangka hayatnya semakin dekatlah seseorang dengan kerugian. Satu hikmah arab menyebut: 

إنّا لَنَفْرَحُ بِالأيّامِ نَقْطَعُها وكُلُّ يَوْمٍ مَضى نَقْصٌ مِنَ الأجَلِ

Kita bergembira dengan  hari-hari yang kita lalui, hari pun berlalu -berkurang lalu mendekati ajal

Seseorang menyangka dia mendapat keuntungan dengan meningkatnya usianya, sedangkan meningkatnya sesuatu usia adalah satu kerugian yang nyata.

Keempat, Ibnu Ashur berpendapat bahawasanya Allah S.W.T bersumpah dengan zaman-era Islam. Ini kerana surah ini sebenarnya secara keseluruhan menjelaskan tentang keadaan manusia di zaman Islam, sama ada mereka di golongan kafir atau mereka daripada golongan yang menerima dan beriman dengan ajaran Islam.

Maka الْإِنسَانَ di dalam ayat tersebut merujuk kepada semua golongan kafir – yang mana mereka berada di dalam satu kerugian yang nyata apabila melihat kebenaran pada agama Islam tetapi tidak menerimanya. Manakala ayat;

إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ

Merujuk kepada semua umat Islam yang mana perlu memenuhi keempat-empat ciri tersebut supaya tidak terdiri daripada kalangan yang rugi. Meninggalkan satu sahaja daripada empat ciri tersebut tetap dikira rugi kerana meninggalkan suatu kesempurnaan.7

Jadi ini adalah ringkasan bagi kaitan diantara sumpah Allah S.W.T terhadap masa-zaman dan kerugian. Pada artikel yang seterusnya kita akan menghuraikan dengan lebih lanjut mengenai kaitan diantara waktu asar- solat asar dan kerugian. Berserta sedikit huraian akhir bagi keseluruhan surah. 

Wallahua’lam.

Fitri Asmad
Shah Alam, Selangor.

 


Rujukan:

1 Abdul-Rahman bin Kamal al-Din Abi Bakr bin Muhammad bin Sabiq al-Din, Jalaluddin al-Misri as-Suyuthi. Al      Itqan Fi Ulum al Quran.

2 Burhanuddin Abu al-Hasan al-Baqai, Nazm Aldorar Fi Tanasub Al- Ayat Wal Sour.

3 Maulana Husain Ali Al –Waani-, Fawaid Al Tafsiriah, Pent. Maulana Abdul Hadi Yaakob.

4 Ismail bin Umar Al-Quraisyi bin Katsir, Tafsir Ibnu Katsir.

Ibn Faris, Mu’jam Maqayyis al-Lughah : Al Azhari dan Ismail ibn Hammad al-Jawhari berpendapat al –Dahr adalah suatu zaman, iaitu waktu jangka yang agak lama. Ibnu Faris berkata “Dinamakan al Dahr kerana ia mendatangi segala sesuatu dan mengatasi segalanya”.

Fakhr al-Din al-Razi, Tafsir Al-Kabir Mafatihul Ghaib.

7 Muhammad al-Tahir ibn Ashur, Tafsir al-Tahrir wa’l-Tanwir.

 

 

 

Leave a Reply

Loading…

Buat Apa 4 Bulan di Amerika?

Cerpen: Impian Jutawan Seorang Anak Pengawal Keselamatan