“Aku bersumpah bahawa masyarakat kampung kalian tidak akan bersatu sehingga 7 keturunan!”

“Aku bersumpah bahawa keluarga kalian akan putus zuriat!”

Demikianlah antara sumpah yang diucapkan oleh watak di dalam kisah ‘Sumpahan Pakistan’ yang menjadi lagenda di sebuah daerah terpencil di negeri Sarawak. Kisah tersebut banyak dibenarkan oleh masyarakat yang berhampiran dengan daerah Kanowit. Kisah legenda tersebut disampaikan oleh orang tua-tua di kampungku. Maklumlah sejak dahulu lagi kampung kami ini masyarakatnya tidak bersatu, asyik berbalah antara satu sama lain. Berebut jawatanlah, dengki mendengki dalam perniagaan, umpat mengumpat dan banyak lagi. Kononnya semua ini berlaku disebabkan oleh ‘Sumpahan Pakistan’ tersebut. 

Kenapa disebut sebagai ‘Sumpahan Pakistan’? Dahulu kononnya terdapat seorang warga Pakistan yang berkelana ke suatu daerah terpencil di negeri Sarawak. Warga Pakistan tersebut merupakan salah seorang ahli daripada Jemaah Tabligh. Hendak dijadikan cerita, pada suatu hari warga Pakistan tersebut dituduh mencuri duit daripada tabung masjid. Maka, warga Pakistan tersebut pun teruk dibelasah oleh penduduk kampung, dia juga turut dicaci maki oleh penduduk kampung. Teruklah nasibnya dibelasah oleh penduduk kampung pada saat itu. Disebabkan perasaan dukacita dan sakit hati terhadap tuduhan, cacian, dan penderaan fizikal yang menyakitkan daripada penduduk kampung tersebut, maka dia pun bersumpah bahawa masyarakat di daerah itu tidak akan bersatu untuk tujuh generasi, dan orang yang bersungguh mencaci makinya pula disumpah agar putus keturunan (tidak akan berkahwin) selama tujuh generasi. 

Demikianlah kisah yang telah sampai kepadaku pada hari ini. Sejauh mana kesahihan kisah ini, hanya Allah SWT sahaja Yang Maha Mengetahui. Namun, pada penulisan kali ini, aku tidak berhasrat untuk menyentuh kisah ini secara panjang lebar. Cumanya, aku ingin membuat ulasan dan sedikit kritikan padanya. 

Pertama, mengenai sumpahan orang yang dizalimi. Aku tidak menafikan bahawa doa orang yang dizalimi itu mustajab di sisi Allah SWT. Hal ini dinyatakan oleh Rasulullah SAW sendiri di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.anhu, Bahawa ketika Rasulullah SAW mengutus Muadz Ibn Jabal R.anhu ke negeri Yaman, baginda SAW berpesan:

اتَّقِ دَعْوَةَ الْمَظْلُومِ فَإِنَّهَا لَيْسَ بَيْنَهَا وَبَيْنَ اللَّهِ حِجَابٌ

Maksudnya: “Berhati-hatilah kamu terhadap doa orang yang dizalimi, kerana diantara doanya dan Allah SWT tiada hijab (makbul).”

[HR Bukhari, No.2448]

Oleh sebab itu, Allah SWT sentiasa memberikan gambaran yang berupa balasan buruk terhadap mereka yang berbuat kezaliman terhadap orang lain. Allah SWT sendiri menyeru hamba-hamba-Nya bahawa Dia telah mengharamkan kezaliman terhadap diri-Nya sendiri. 

Diriwayatkan oleh Abu Dzar al-Ghifari R.anhu, bahawa Rasulullah SAW telah meriwayatkan Tuhan Azza Wajjala, sesungguhnya Dia berfirman: 

يَا عِبَادِى إِنِّى حَرَّمْتُ الظُّلْمَ عَلَى نَفْسِى وَجَعَلْتُهُ بَيْنَكُمْ مُحَرَّمًا فَلاَ تَظَالَمُوا

Maksudnya: “Wahai hamba-hamba-Ku! Sesungguhnya Aku telah mengharamkan kezaliman ke atas diri-Ku, dan aku jadikan juga di antara kamu kezaliman itu sesuatu yang haram, maka janganlah berbuat kezaliman.”

[HR Muslim, No.2577]

Hadith ini merupakan ke-24 di dalam kitab hadith al-Arba’in al-Nawawi, atau lebih masyhur dikenali sebagai hadith 40 dalam masyarakat kita. Bagi sesiapa yang mempelajari atau menghafal hadith ini, mereka sedia maklum terdapat 10 isi yang penting, yang berupa tegahan, pelawaan, perumpamaan dan berita gembira daripada Allah SWT. Yang menariknya, di dalam hadith ini pertama sekali Allah SWT sebut adalah tentang kezaliman! Allah SWT bercerita tentang kezaliman yang Dia sendiri haramkan terhadap Diri-Nya, kemudian Dia mengharamkan pula buat hamba-hambaNya. Ini menunjukkan bahawa kezaliman itu sangat besar kebenciannya di sisi Allah SWT. Allah SWT tidak pernah berkelakuan kejam dan zalim, hanyasanya hamba-hamba-Nya sahaja yang berburuk sangka terhadap-Nya apabila berdepan dengan ujian yang sulit dalam kehidupan. 

Kedua, mengenai sumpah yang membabitkan tujuh generasi. Secara peribadinya, tidak adil bagi generasi pertama hingga ketujuh untuk terpaksa menerima takdir terkena ‘sumpahan’ tersebut, sedangkan mereka tidak tahu ‘kes’ yang telah dilakukan oleh moyang-moyang mereka yang terdahulu. Namun, disebabkan keturunan maka mahu tidak mahu mereka terpaksa  menanggung tulah warisan tersebut.

Sebahagian masyarakat melayu klasik, percaya akan hal ini. Sepertimana yang kita telah bahaskan pada isi yang pertama tadi, kita tidak menolak akan kemustajaban doa orang yang dizalimi di sisi Tuhan. Namun, kali ini kita ingin mengkritik berkenaan dengan ‘Tulah Warisan’ ini. 

Konsep sumpahan yang melibatkan keturunan hingga ke berapa puluh keturunan ini, sangat bertentangan dengan ayat al-Quran yang sedia maklum menjadi panduan hidup kita sebagai seorang muslim. Allah SWT berfirman:

وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَىٰ

Maksudnya: “Dan tidaklah orang yang melakukan dosa, menanggung dosa orang lain.”

[Surah al-Faatir: 18]

Tidak ada sesiapa yang menafikan bahawa semua anak Adam itu tidak terlepas daripada melakukan dosa dan kesalahan. Sebaik-baik mereka yang telah melakukan dosa dan kesalahan adalah mereka yang bertaubat (mafhum hadith Tirmidzi). Walaupun anak Adam sedia maklum melakukan dosa, namun mereka tidak akan sesekali dibebani dengan dosa dan kesalahan orang lain. Allah SWT tidak terlalu kejam dan zalim sehingga orang yang tidak bersalah dan tidak tahu tentang ‘jenayah’ apa yang telah dilakukan oleh moyang-moyangnya yang terdahulu sehinggakan dia terpaksa menanggung beban kesalahan dan dosa tersebut.

Allah SWT berfirman lagi,

كُلُّ نَفْسٍ بِمَا كَسَبَتْ رَهِينَةٌ

Maksudnya: “Setiap insan hanya bertanggungjawab terhadap apa yang telah dikerjakan olehnya.”

[Surah al-Mudaththir: 38]

Bayangkan, seorang lelaki telah merompak sebuah bank. Setelah ditangkap dan dibicarakan di mahkamah, maka lelaki tersebut dipenjarakan bersama keluarganya. Bukan itu sahaja, isteri dan anak-anaknya yang tidak kena mengena dengan jenayah yang dilakukan olehnya turut dihukum penjara selama beberapa tahun. Jika anak-anaknya mempunyai zuriat, maka zuriat itu juga harus dipenjarakan. Begitulah kitarannya seterusnya. 

Menerusi perumpamaan ini sahaja kita dapat lihat betapa tidak adilnya jika Tuhan berkelakuan seperti itu terhadap hamba-hamba-Nya. Allah SWT sudah berjanji bahawa Dia tidak akan berlaku zalim. Bagaimana mungkin Tuhan melanggar janji-Nya sendiri? 

Adapun masyarakat itu tidak bersatu, dengki mendengki dan lain-lain, itu masalah yang patut diuruskan sesama sendiri, perlu kepada pertemuan dan perbincangan untuk menyelesaikannya, bukan dengan menakutkan anak-anak muda dengan kisah yang tidak tahu kesahihannya dan sudah disampaikan oleh beberapa generasi yang lampau. Adapun keluarga yang dikatakan terkena sumpah putus keturunan, dibenarkan sumpah itu kerana sehingga hari ini keluarga tersebut seorang pun tidak berkahwin, ada yang meninggal dunia dalam keadaan bujang, itu semua kehendak Tuhan. Bukankah jodoh itu termasuk dalam urusan Tuhan? Rasulullah SAW bersabda:

كَتَبَ اللَّهُ مَقَادِيرَ الْخَلاَئِقِ قَبْلَ أَنْ يَخْلُقَ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضَ بِخَمْسِينَ أَلْفَ سَنَةٍ

Maksudnya: “Allah SWT telah menulis takdir bagi setiap makhluknya 50,000 tahun sebelum penciptaan langit dan bumi.”

[HR Muslim, No. 2653]

Kesimpulannya, kisah ini hanya sebuah legenda yang menjadi kisah warisan masyarakat daerah tersebut. Namun, menjadikannya asbab seratus peratus penyebab kepada sesuatu masalah pada sesebuah masyarakat adalah tidak benar sama sekali. Kita tidak wajib percaya akan kisah tersebut. Agak melampau sekiranya kisah ini dijadikan sebagai ibrah daripada masalah yang berlaku dalam masyarakat. Hal ini kerana ketepatan kisah ini sangat jauh tersasar daripada agama, lebih-lebih lagi apabila berkaitan dengan ‘dosa warisan’. Wallahu’alam.

Disediakan oleh,

Muhammad Hamzani al-Kanowiti


Hantar karya anda di emel [email protected].

Karya yang terpilih akan disiarkan di laman web Jejak Tarbiah dan mendapat baucar buku RM30!

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.