Penguasa merupakan seorang pemimpin yang bertanggungjawab ke atas urusan rakyat dalam negara. Tugas pemimpin ini adalah berat kerana kepimpinannya akan diminta dipertanggungjawab di hari akhirat kelak.

Berjayakah seorang pemimpin memandu negara dengan jujur dan amanah? Mampukah seorang pemimpin membuat keputusan secara adil kepada seluruh masyarakat tanpa mengutamakan sebelah pihak sahaja? Bolehkah seorang pemimpin menjamin akan mengutamakan hukum-hakam Tuhan ketika memutuskan sesuatu perkara?

Banyak soalan berkumandang daripada suara rakyat yang menimbulkan pelbagai reaksi setiap kali tertubuhnya corak kepimpinan baharu. Berbagai hal ditafsirkan sebagai musibah yang bakal berlaku sekiranya sesebuah negara itu ditadbir oleh para pengampu.

Nabi Muhammad SAW merupakan contoh pemimpin yang paling ideal. Meskipun, pihak lawan terus memusuhi baginda, Nabi SAW tidak pernah sesekali pun mengetepikan syariat-Nya. Bagi pihak yang berjaya dilantik, inilah perkara besar yang harus diterajui oleh para penguasa muslim.

Di akhir zaman ini, kita hidup dalam keadaan ada penguasa yang bertindak zalim dan kurang sikap takwanya. Ada yang bersikap kejam, merampas hak rakyat, sanggup menindas, terlibat dalam isu rasuah bahkan pelbagai kemudaratan lagi.

Membimbangkan, namun sunnah mengajarkan kepada kita untuk tidak melawan pemerintah, membuat kekacauan dan memberi tindak balas dengan serangan. Sebaliknya, terdapat cara lain dan harmoni ketika berhadapan dengan pemimpin yang zalim yang telah pun disebutkan dalam hadis-hadis yang diakui kebenarannya. Antara berikut,

1. Tetap mentaatinya selagi tidak mengajak untuk bermaksiat kepada Allah Taala.

Dalam hadis Nabi SAW menyatakan bahawa pemimpin yang tidak mengajak rakyat untuk mengingkari Rabbnya, ialah pemimpin yang mesti dipatuhi perintahnya. Sebaliknya, sekiranya diajak untuk bermaksiat kepada Allah Taala, tidak boleh mengikuti arahan dan suruhan daripada pemerintah. Hal ini berdasarkan satu petikan hadis baginda yakni,

Abdullah RA, daripada Nabi SAW bersabda, “Mendengar dan taat adalah wajib bagi setiap muslim, baik yang dia sukai mahupun yang tidak dia sukai, selama dia tidak diperintahkan melakukan kemaksiatan, adapun jika dia diperintahkan melakukan maksiat, maka tidak ada hak mendengar dan mentaatinya.” [Shahih Al-Bukhari no.7144 dan Muslim no.1839]

2. Sabar terhadap tingkah laku penguasa.

Ada sesetengah sikap pemimpin yang kurang digemari oleh masyarakat. Hatta, sikap tersebut tidak mencerminkan personaliti seorang pemimpin yang layak diangkat sebagai pentadbir. Mencaci dan mengejinya jelas-jelas mencerminkan perangai yang tidak elok diamalkan oleh seorang muslim. Nabi SAW bersabda dalam hadisnya,

“Barang siapa membenci tindakan yang ada pada penguasanya, hendaklah dia bersabar.” [Shahih Al-Bukhari no.7053 dan Muslim no.1849]

Sabda baginda lagi,

“Hendaklah Engkau mendengar dan taat kepada penguasa, meskipun mereka memukul punggungmu dan mengambil hartamu. Tetaplah mendengar dan taat.” [Shahih Muslim no. 1847]

3. Tidak melakukan pemberontakan.

Memberontak kepada penguasa, mengadakan demonstrasi misalnya bukanlah yang diajarkan dalam sunnah baginda. Ini hanya mengeruhkan lagi keadaan yang tidak membantu ‘menumbangkan’ pemerintah.  Pemimpin yang masih mengerjakan kewajipan Tuhan-Nya wajib ditaati perintahnya. Nabi SAW melarang memerangi penguasa yang masih mendirikan solat.

Rasulullah SAW bersabda,

Akan ada para pemimpin kelak. Kamu mengenal mereka dan mengingkari perbuatan mereka. Siapa yang membenci kekeliruannya, maka dia terlepas daripada dosa. Siapa yang mengingkarinya, maka dia selamat. Namun yang reda dan mengikutinya, itulah yang tidak selamat”. Para sahabat bertanya: “Apakah kita perangi saja pemimpin seperti itu?”. Nabi menjawab: “Jangan, selama mereka masih solat. “[Shahih Muslim no.1854]

4. Mendoakan pemerintah.

Islam mengajarkan kepada kita apabila berhadapan dengan penguasa sebegini dengan cara mendoakan kebaikan buat dirinya, kerana Islam itu sendiri agama yang amat mementingkan nasihat antara satu sama lain. 

Bahawa Nabi SAW bersabda, “Agama adalah nasihat.” Kami bertanya, “Untuk siapa?” baginda menjawab, “Bagi Allah, bagi kitab-Nya, bagi rasul-Nya, bagi pemimpin-pemimpin kaum muslimin, serta bagi umat Islam seluruhnya.” [Shahih Muslim no.55]

Prinsip atau pegangan ahlus sunnah ialah tetap menjadi rakyat yang baik apabila diuji oleh pemimpin negara yang tidak baik. Selagi pemimpin tersebut tidak menyeru mengingkari suruhan Rabbnya, maka seorang muslim berusaha mendengar arahan daripada pentadbir.

Hadis-hadis Nabi SAW ini adalah bukti kewajipan mentaati pemerintah. Jauhilah perangai yang gemar memberontak, mengangkat senjata sehingga mengakibatkan suasana berubah menjadi tegang dan membahayakan orang-orang yang berada di persekitaran.

Dalam pada kita bersabar, tidak lupa untuk bersama-sama mendoakan semoga negara ini dipelihara dan dilindungi Allah SWT dengan kehadiran penguasa yang mahu menegakkan Islam secara kaffah. Seruan untuk mentaati Allah dan Rasul-Nya, seterusnya adalah pemerintah (ulil amri) sebagaimana yang tertera dalam firman Allah SWT dalam Surah An-Nisa’ ayat 59,

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَطِيعُوا۟ ٱللَّهَ وَأَطِيعُوا۟ ٱلرَّسُولَ وَأُو۟لِى ٱلْأَمْرِ مِنكُمْۖ فَإِن تَنَٰزَعْتُمْ فِى شَىْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْءَاخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا 

“Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah rasul-(Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Quran) dan rasul (sunahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.”

Disediakan oleh: Syuhara Suriati

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.