Karya fiksi Buya Hamka tidak pernah sunyi dalam membicarakan soal keperibadian yang layak dipakai oleh seorang manusia. Malah, Buya juga sering berbahas panjang mengenai hal peribadi ini lewat karyanya, “Pribadi Hebat” bagi memberikan penjelasan sebenar kepada para pembaca bagaimanakah sepatutnya kita menyarung kemanusiaan dalam diri manusia itu  sendiri. 

Kata Buya,

“Peribadi itu termasuk perkara ghaib yang hanya dapat ditunjukkan bekasnya, tetapi tidak dapat diraba barangnya.”

Maka, pembinaan watak Sabariah dalam novel sulungnya ini ialah satu perkara yang sangat signifikan dalam menggambarkan keperibadian seorang perempuan yang pada hakikatnya penuh dengan kesantunan dan kebijaksanaan. 

1. Teguh berprinsip

Sejak awal lagi Buya mencerminkan Sabariah bukanlah sekadar watak seorang isteri dan anak yang hanya menjadi pak turut atas kemahuan keluarga, tetapi pandai menimbang baik dan buruk dalam membuat keputusan. 

Lihat bagaimana Sabariah yang sanggup memperjudikan nasibnya apabila mengambil kata putus untuk berkahwin dengan Pulai yang tidaklah terlalu mewah dalam menjalani kehidupan. Namun, ada satu perkara yang membuatkan hatinya tertarik pada jejaka tersebut, iaitu budi baik yang berakar dalam diri jejaka itu.

Walaupun sering diberi nasihat oleh ibunya untuk berkahwin dengan orang yang lebih kaya (meskipun setelah Sabariah berkahwin), tetap dia mengutamakan pertimbangan akal daripada nafsu. Selalu saja dipesan kepada ibunya bahawa memutuskan ikatan kasih itu merupakan perbuatan yang hina. 

Lihat bagaimana Sabariah melontarkan hujah kepada ibunya,

“Namun cerai kalau jatuh, putuslah tali yang berhubungan, patah jambatan basa basi, karamlah kapal budi halus.”

Tidak syak lagi, kedalaman fikiran Sabariah dalam menimbang satu perkara itu menjadi bukti bahawa untuk menjadi perempuan itu haruslah bijaksana dan teguh berprinsip. Malah, ini juga yang sering disebut oleh Buya bahawa kebijaksanaan itu adalah tiang yang kukuh bagi pertumbuhan peribadi kerana di situlah berkumpulnya ilmu dan ketetapan hati dalam meletakkan sesuatu perkara benar-benar pada tempatnya. 

2. Agama yang berakar dalam diri

Didikan agama yang utuh telah melahirkan peribadi Sabariah yang tidak mudah goncang oleh hasutan dunia. Sering saja ada perasaan meragui niat suaminya yang jauh berdagang di negeri orang, ditambah pula dengan jarum-jarum halus yang mula dicucuk masuk oleh ibunya tetapi tetap dia percaya pada sesuatu yang berpangkal pada agama haruslah dipegang rapat hingga ke akhirnya. 

Lihat ketika dia memberikan nasihat yang cukup mendalam kepada ibunya, 

“Dengarkanlah bonda, kita beradat berlembaga. Kita bersyarak beragama. Dalam adat Minangkabau sangatlah terlarang itu bonda. Ke surau kita tiap-tiap hari, berguru siang dan malam. Lihatlah buku Syamsul Hidayah, tengoklah buku Siti Sawiyah. Penuh pengajaran dan petunjuk untuk orang yang bersuami isteri.”

Dia percaya pegangan agama yang utuh memberi jalan penyelesaian kepadanya, malah menjadi panduan dalam meniti erti kehidupan. Membelakangi syarak umpama membelakangi Tuhan dalam segala keputusan, itulah yang cuba disampaikan Sabariah kepada ibunya. 

3. Kesetiaan sebagai pandu utama 

Sabariah juga menjadi bukti bahawa setia dalam perhubungan adalah pengorbanan teragung yang pernah dilakukan. Walaupun diberi pilihan sama ada menjalankan kehidupan yang lebih mewah atau tetap hidup susah bersama suaminya, sekalipun tidak mengaburi matanya untuk memilih permata yang lebih berharga. 

Menurutnya, peribadi yang baik perlulah dipegang erat. Sudah memilih untuk hidup bersama, susah dan senang, maka mengapa mengeluh di kemudian hari? 

Tertarik dengan kata-kata Sabariah kepada ibunya ketika membicarakan perihal setia dalam berumahtangga,

“Selama dalam pergaulan, bertemu sakit dan senang, bertemu laba dan rugi, hidup seia semuafakat. Hidup ibarat di dalam laut, menempuh pulau keselamatan. Yang seorang tegak di kemudi, yang seorang berdiri di haluan. Ombak besar angin berseru, layar berkipas kiri dan kanan, tali-temali berentangan. Jika tidak sama-sama pandai, akhirnya karam di tengah, tidak terjelang tanah tepi. Jika takut dilambung ombak, tidak diharungi laut luas.”

Sungguh, tidak ada yang lebih membahagiakan apabila kesetiaan menjadi nadi dalam sebuah perhubungan, sama-sama menuju pada hala yang satu. Menguatkan jika ada yang lemah dan saling meraikan apa jua kepelbagaian. 

Hemahnya, Si Sabariah bukan saja sebuah kisah cinta tragis yang berpunca daripada ketamakan ahli keluarga. Kisah Si Sabariah memberikan pengajaran yang mendalam bagi mereka yang mencari erti sebenar kemanusiaan. 

Selamat membaca! 

Disediakan oleh,

Syuhadah Ainin

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.