Bagi pelajar universiti yang berada di kampus pada ketika ini, akan ada masa di mana kalian ternampak atau terserempak dengan seorang dua pelajar yang kebanyakan masa atau mungkin juga sepanjang masa menyendiri. Berjalan ke kelas sendirian, melalui koridor bangunan kuliah bersendirian, ke kafe bersendirian, dan lain-lain.

Barangkali, kebanyakan orang yang melihat pelajar yang menyendiri itu sebagai seorang yang penyendiri yang menakjubkan kerana tidak bergantung dan memerlukan teman kebanyakan masa. Mungkin ada juga yang memandang dengan kanta simpati dan kasihan kerana mungkin pelajar yang menyendiri itu terlalu introvert atau tak pandai berkawan.

Bahkan, ada juga yang memandang serong kepada golongan pelajar yang menyendiri ini kerana pada luarannya mereka kelihatan seperti mayat hidup bergerak. Terutama buat mereka yang menggunakan penyumbat telinga bagi mengisi kesunyian telinga yang tidak dihadapkan dengan riuh-rendah borak bersama kawan.

Mana mungkin boleh saya katakan dengan pasti yang suara saya mewakili semua pelajar penyendiri seperti itu. Setiap seorang daripada kita ialah individu yang sangat berbeza meski kita mempunyai beberapa titik persamaan seperti jantina, usia, bangsa, agama, tempat belajar, dan pelbagai lagi.

Cuma saya berharap dengan perkongsian ini, saya dapat menyingkirkan sedikit sebanyak kesalahfahaman yang golongan ekstrovert dan mereka yang ramai kawan mungkin simpan terhadap kami yang sentiasa menyendiri ini. Selain itu, saya juga berharap perkongsian ringkas ini akan dapat menjadi pemangkin semangat kepada mereka yang menyendiri.

Secara asasnya, saya berpendapat pelajar yang menyendiri ini boleh kita bahagikan kepada dua kategori: Pertama, kategori pelajar yang memilih untuk menyendiri. Kedua, kategori pelajar yang terpaksa menyendiri.

Saya tergolong dalam kategori yang pertama, seorang pelajar yang memilih untuk menyendiri. Pilihan ini saya buat atas dasar sifat introvert saya dan ditambah pula dengan kemahiran sosial saya yang tidak begitu hebat. 

Memilih untuk menyendiri kebanyakan masa di kampus memberi kebahagiaan kepada saya kerana terselamat daripada perlunya menggunakan tenaga sosial untuk jangka masa yang lama. Tambahan, menyendiri memudahkan saya untuk bergerak ke mana-mana dengan cepat tanpa perlu menunggu sesiapa. Saya juga dapat berfikir dan berangan-angan dengan tenang.

Sebagai seorang yang berpengalaman hampir 15 tahun menjadi seorang penyendiri dengan kemahiran sosial yang sederhana, alhamdulillah, banyak pengalaman dan kesilapan yang telah saya perolehi daripada tempoh selama itu. 

Kepada para penyendiri, khususnya mereka yang merupakan pelajar universiti, waima sedangkal mana kemahiran sosial kalian, jangan jadi jahil dan kurang cakna seperti saya pada dua tahun pertama pengajian di universiti. Disebabkan saya lebih senang menyendiri dan malu bertanya orang, rakan-rakan saya yang rapat dengan saya menganggap saya sama tahu dan faham seperti mereka tentang tatacara pengajian di universiti dan hal-hal lain. 

Tambahan, apabila saya mendaftar kelas yang mana tiada seorang pun rakan sekelas yang saya kenal, mencari rakan sekumpulan untuk tugasan menjadi sangat sukar. Dengan tak kenal orang, ditambah pula sifat pemalu tak bertempat, dan kecenderungan untuk merasa resah bila isu yang dihadapi lambat diselesaikan.

Agak lama masa yang saya ambil untuk belajar bergaul dengan rakan-rakan sekelas saya. Saya akui itu, namun masa tersebut berbaloi bagi saya kerana ia merupakan sebuah proses penuh pengajaran. Apabila tembok perasaan malu saya berjaya diruntuhkan perlahan-lahan, alhamdulillah, kebanyakan isu seperti mencari rakan sekumpulan dan bertanya soal pelajaran menjadi lebih mudah.

Kesimpulannya, kalau anda memilih untuk menjadi pelajar yang menyendiri, belajarlah untuk menikmati saat-saat menyendiri itu dan menghargainya. Berkenaan pelajaran contohnya, jangan malu untuk bertanya, walaupun kepada rakan sekelas yang anda jarang tegur. Ingat juga untuk maniskan muka sentiasa, dan tebalkan muka dan tabahkan hati dalam mencari rakan sekumpulan dan dalam menghadapi cabaran-cabaran lain.

Dahulu, saya juga pernah menjadi penyendiri yang tergolong dalam kategori kedua. Keterpaksaan saya dalam menyendiri lebih menonjol lagi ketika zaman sekolah menengah saya. Ia sangat menyedihkan untuk saya akui, akan tetapi saya tidak mempunyai rakan peneman sepanjang masa disebabkan kedangkalan kemahiran sosial saya.

Pada awal-awal pengajian di asasi, isu ini menyebabkan saya tertekan semasa minggu pertama saya berada di mahallah (asrama). Ditambah pula, ketika itu ialah pengalaman saya pertama kali berpisah dengan keluarga. Terhibur rasanya sekarang bila melihat isu tertekan mencari kawan saat itu menyebabkan saya menghamburkan tangisan selebat itu.

Kepada para pelajar yang tergolong di dalam kategori kedua penyendiri ini, saya hendak memberitahu kalian dan mengingatkan kalian yang kalian tidak bersendirian menghadapi situasi yang menimbulkan rasa keseorangan dan kesunyian ini. Saya faham situasi kalian. Menjadi seorang penyendiri bukanlah sesuatu yang selama-lamanya akan mendefinisikan diri kalian.

Kalau kalian benar-benar menginginkan teman bicara, kalian perlu tahu ada beberapa perkara yang perlu kalian bersedia untuk korbankan dan singkirkan. Perlahan-lahan hilangkan rasa malu untuk berkawan kalian melalui cara mudah seperti memberi salam dan bertegur sapa dengan rakan-rakan sekelas.

Maniskan muka dan senyum kepada orang lain. Cuba luangkan masa menyertai aktiviti yang memerlukan kalian bersosial dengan orang ramai seperti bengkel kemahiran, aktiviti usrah, dan macam-macam lagi. Cuba sebaik mungkin untuk kawal tekanan yang timbul kerana keseorangan dan kesunyian itu.

Saya jamin menjadi seorang penyendiri dan merasa keseorangan serta kesunyian ini bukanlah sesuatu yang akan kekal termaktub dalam hidup kalian. Jika kalian benar-benar menginginkan kawan, lontarkan usaha dan ikhtiar kalian, kemudian berserahlah dan tekadkan bulat-bulat kepercayaan kepada Allah. Dia tidak akan pernah menzalimi hamba-hambaNya.

Sekian, catatan seorang penyendiri tentang seni menjadi penyendiri yang berjaya di kampus. Terima kasih kerana sudi membaca.

Ditulis oleh: Hanis Afifah.

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.