Polemik yang berlaku antara agamawan sejak kebelakangan ini semakin parah. Parahnya bukan kerana Islam tidak membenarkan sebarang perdebatan berlaku, bahkan Islam membenarkannya sehingga ada surah di dalam Al Quran yang dinamakan atas perdebatan iaitu surah Al Mujadalah.

Parah di sini bermaksud perdebatan sudah membatasi batas yang telah ditetapkan dalam Islam. Hujah yang penuh dengan kata–kata kesat dan prasangka buruk. Kembali melihat sejarah Islam, wacana dialog antara ulama silam sudah berlaku dan begitu banyak. Wacana yang pernah dilakukan oleh Imam Ghazali melalui bukubukunya. Imam Ahmad Ibnu Hanbal As – Syaybani yang mematahkan hujah puak muktazilah. Bahkan direkodkan juga polemik pertembungan ilmiah di antara Imam Syafie dengan gurunya sendiri iaitu Imam Malik. 

Boleh disimpulkan bahawa kebanyakan perdebatan silam berlaku terhasil bertujuan untuk mendekatkan masyarakat kepada Islam, bukan menjauhkan lagi. Tetapi penulisan ini tidak akan menyentuh tentang polemik yang berlaku di negara arab. Kita faham bahawa ramai yang tidak mampu faham bahasa arab walaupun ada rekod tertulis di dalam kitab Turath.

Lebih baik kita ambil ibrah daripada sebuah catatan sejarah yang berlaku di Nusantara tidak lama dahulu. Kita boleh lihat seni dialog yang islami ditunjukkan Hamka melalui catatan beliau yang dibukukan bertajuk “Teguran Suci dan Jujur terhadap Mufti Johor”. 

Wacana ini berlaku kerana Hamka ingin membalas kembali pernyataan – pernyataan Mufti Negeri Johor ketika itu, Dato’ Sayyid Alwi Tahir al – Haddad yang tersiar di dalam akhbar Semenanjong, bertarikh 26 Zulhijjah 1377 ( 14 Julai 1958 ).

Mufti Johor telah menuduh beberapa perkara yang amat berat terhadap golongan Kaum Muda. Antaranya beliau menyatakan Kaum Muda mengambil fatwa daripada kaum Qadiyani, dituduh kafir kerana dikatakan Kaum Muda manganuti fahaman Darwinisme dan juga telah mendakwa seramai 30 juta rakyat Indonesia telah menganut agama Kristian dan Komunis kerana dakyah Kaum Muda. Jika dilihat timbangan tuduhan yang telah dilakukan oleh Mufti Johor, kita dapati tuduhan itu amat berat dan sangat mencemaskan hati. 

Walaupun tuduhan yang dibuat oleh Mufti Johor itu agak keterlaluan, tetapi lihat bagaimana Hamka memberi kita beberapa bekalan pedoman untuk kita pelajari apabila berhadapan dengan tuduhan dan bagaimana untuk membalasnya.

Pertama sekali, Hamka menekankan di dalam hujah beliau mengambil fakta yang sahih. Fakta ini perlu merangkumi statistik, sejarah dan dalil daripada Al Quran dan Hadis. Hamka telah membalas hujah statistik bilangan penganut agama Kristian dengan memberikan angka sepenuhnya bilangan orang Islam, orang Kristian dan agama lain. Ternyata pernyataan yang dibuat tentang bilangan yang telah menganut agama Kristian oleh Mufti Johor tidak benar bahkan ia adalah satu falasi yang berat. 

Kedua, Hamka mengemukakan bukti dan mengulas sejarah yang kukuh bahawa Kaum Muda-lah yang banyak membanteras fahaman Qadiyani dan Darwinisme. Mereka telah melakukan pelbagai dialog umum yang dihadiri oleh ribuan manusia. Catatan sejarah ini menjadi bukti mengapa tuduhan Mufti Johor adalah tuduhan yang lari dari realiti sebenar. Bahkan kita boleh mengatakan bahawa Kaum Muda merupakan benteng yang menghalang daripada fahaman Qadiyani dan Darwinisnme meresap masuk ke dalam msayarakat ketika itu. 

Seterusnya, Hamka mengajar kita bahawa walau seberat apa pun tuduhan yang dilontarkan, adab dan hormat itu perlu sentiasa diraikan. Jika kita amati maklum balas daripada Hamka, beliau langsung tidak menyerang peribadi Mufti johor. Bahkan setiap kali menulis nama Mufti, Hamka akan meletakkan gelaran terhormat seperti Tuan Sayyid, Tuan Mufti dan Sahibus Sammahah. 

Hal ini menunjukkan sikap Hamka yang tinggi sifat hormatnya walaupun berlainan Ideologi ataupun fikrah. Melalui catatan ini juga kita boleh lihat bahawa banyaknya persoalan yang diberikan oleh Hamka. Jika diselidik, kita akan dapati bahawa soalan ini lebih ditujukan kepada para pembaca untuk membuat pertimbangan sendiri.

Demi semangat meraikan budaya berfikir dan berijtihad, Hamka banyak memberi ruang untuk berbincang berbanding menghentam. Mampu untuk dinyatakan bahawa wasilah – wasilah yang digunakan Hamka ini lebih bertujuan untuk menyatukan dari memecahbelahkan. Ini terbukti apabila Hamka menyatakan :

“ …selama kita bertengkar – tengkar berkaum tua berkaum muda, agama kita telah terserang dari segala penjuru …kadang – kadang kita telah berdengki – dengkian, sehingga musuh mudah benar memecahbelahkan kita. Apa guna berkaum muda. Berkaum Muslimin saja lebih baik.”

Kesimpulannya, cara pendekatan Hamka yang amat positif dan mampu memberi kita gambaran sebenar dalam berhujah. Cara berfikir yang berbeza tidak semestinya perlu melahirkan permusuhan dan perpecahan. Sudut pandang kita perlu diubah daripada menyerang kepada berbincang. Berlaku adil-lah antara saudara Muslim kerana kita adalah ummt yang satu iaitu umat Muhammad. 

وَإِنَّ هَـٰذِهِ أُمَّتُكُمْ أُمَّةً وَاحِدَةً وَأَنَا رَبُّكُمْ فَاتَّقُونِ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya agama Islam ini ialah umat (agama) kamu – agama yang satu asas pokoknya dan Akulah Tuhan kamu, maka bertaqwalah kamu kepada-Ku.” Al Mu’minun: 52

Ambil kembali langkah ke belakang sejenak, perhati dan berfikir sebelum kita melakukan tindakan. Sebelum berkata–kata, tanya kepada diri sendiri satu soalan yang penting:

“Adakah kata-kata ini akan melahirkan persengketaan atau perpaduan?” 

Seperti peribahasa ,“Bersatu teguh bercerai roboh.”

Disediakan oleh,

Hazmi Irsyad

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.