in

Semakin Suka Berkongsi di Media Sosial, Semakin Banyak Kerosakan yang Tular

Lelaki sumbat vape di mulut bayi terima kecaman.

Papar aksi bahaya, polis kesan pihak terlibat video tular.”

‘”Aksi merbahaya, suspek ditahan akibat cuba raih ‘views’.

TikTok tanggal gelang ‘pink’, remaja dikompaun RM5,000.

Wanita tular hina Islam didakwa pagi ini.

Kita mungkin pernah membaca berita-berita di atas atau menonton sendiri video-video yang dimaksudkan dalam berita tersebut. Berita-berita sebegini sepertinya sudah tidak asing bagi kita pada zaman sekarang. Sesuatu yang asalnya dibuat sebagai hantaran di media sosial kemudiannya menjadi tular dan mengundang pelbagai reaksi daripada warga siber.

Kita tidak boleh menyangkal bahawa media sosial menyediakan peluang yang luas dan terbuka bagi manusia untuk membuat dan berkongsi apa-apa sahaja bentuk hantaran. Mark Zuckerberg, pengasas Facebook, pernah mengeluarkan kenyataan,

When we started Facebook, we built it around a few simple ideas. People want to share and stay connected with their friends and the people around them. When you have control over what you share, you want to share more. When you share more, the world becomes more open and connected.”

23 Weird Things You Didn't Know About Mark Zuckerberg
Mark Zuckerberg

Memetik kata-kata beliau pada tahun 2010 itu, kita boleh katakan yang Facebook bermula sebagai satu platform yang naif. Namun, apabila manusia dengan seribu satu personaliti dan kerenah menggunakan Facebook dengan seribu satu motivasi dan cara, hal ini menyebabkan idea asal pengasasnya menjadi lebih kompleks. Facebook masih lagi berpaksikan pada idea to share and stay connected, namun lambakan hantaran yang dikongsi sudah pasti mengundang seribu satu situasi dan ragam. Hal ini turut berlaku di platform media sosial yang lain.

Kita harus mengakui bahawa ramai daripada kita yang menjadikan media sosial sebagai sumber utama untuk mendapatkan berita terkini dan maklumat penting, selain sebagai sumber hiburan. Banyak hantaran di media sosial yang sememangnya menyampaikan maklumat yang sahih dan bermanfaat. Ada juga hantaran yang dikongsi boleh dianggap sebagai hiburan semata-mata dan tidak membawa apa-apa implikasi buruk. Namun, apabila hantaran yang dikongsi itu melibatkan soal pelanggaran norma masyarakat atau ketidakpatuhan undang-undang, ia tidak akan kekal di alam maya tetapi membawa kepada implikasi yang selanjutnya di alam realiti. Itulah penangan kuasa tular media sosial.

Mengapa manusia membuat hantaran dan berkongsi di media sosial?

Platform media sosial boleh datang dan pergi. Tetapi keinginan manusia untuk berkongsi tetap kekal wujud. Dengan membuat hantaran, kita sebenarnya sedang mempengaruhi tanggapan yang dibuat oleh manusia lain terhadap kita. Ia satu bentuk alat untuk membentuk cara pandang manusia lain terhadap kita. Kita cenderung untuk mengurus tingkah laku kita di alam maya dan menunjukkan persona diri yang tertentu melalui bentuk hantaran yang dikongsi.

Pada 31 Oktober 2006, pengasas bersama Facebook iaitu Chris Hughes mengeluarkan kenyataan, “Starting today, there are links to share on Facebook planted all across the Internet, from the articles at Time to the videos at Photobucket. Look for links like this all over the Web, making it easy for you to share.” 

Facebook, serta platform media sosial yang lain, sememangnya direka bentuk bagi memudahkan dan menggalakkan perkongsian hantaran berlaku. Malah, istilah kongsi, atau sharing, sengaja diguna pakai untuk membentuk satu imaginasi sosial yang manusia sebenarnya saling berhubungan. Dan hal ini berkait rapat dengan fitrah manusia itu sendiri yang memerlukan hubungan sosial untuk hidup dengan sejahtera. Maka, salah satu tuntutan dalam mengekalkan hubungan sosial yang baik adalah perlu berlakunya proses timbal balik (reciprocity). Media menggalakkan kita untuk memberi reaksi positif seperti berkongsi dan menekan butang Like pada hantaran dan ini sememangnya tepat dengan keinginan semula jadi manusia untuk merasa diri dihargai.

Kuasa tular media sosial

Apabila kita melihat satu-satu informasi, otak kita sebenarnya sudah pun mula memberi reaksi terhadap rangsangan (informasi yang dilihat) tersebut, memproses data, dan menilai adakah ia akan menjadi informasi yang menarik dan berguna dari sudut pandang manusia lain.

Biasa berlaku di Twitter apabila pengguna memberitahu bahawa ciapan semula (retweet) tidak bererti yang mereka menyokong sesuatu ciapan (tweet) yang dibuat. Hal ini kurang tepat kerana ciapan semula tetap menunjukkan yang ciapan tersebut penting, tanpa mengira pengguna tersebut bersetuju atau tidak dengan ciapan tersebut. Oleh sebab itu, amat mudah bagi sesuatu perkara, walaupun yang tidak bersifat positif, menjadi tular. Pengguna mungkin tidak menyokong atau bersetuju dengan hantaran yang dibuat, tetapi berkongsi hantaran tersebut, atas apa motivasi sekali pun, tetap akan menarik perhatian pengguna lain untuk melihatnya.

Updated] 23 social media tips for marketers & free checklist - Talkwalker

Hantaran yang paling kerap dikongsi biasanya berbentuk hantaran yang menimbulkan reaksi emosi seperti kejutan dan keseronokan. Malah, hantaran yang menjijikkan dan menimbulkan rasa meluat juga kerap kali dikongsi di media sosial. Hantaran sebegini termasuk apa-apa gambar atau video yang memaparkan kebejatan akhlak dan sosial. Maka, pelbagai tingkah laku yang menyimpang dan tidak diterima oleh norma masyarakat akan muncul dengan mudah di skrin. Ia dapat dilihat oleh pelbagai lapisan dan latar belakang manusia yang sudah pasti mengundang seribu satu interpretasi dan reaksi.

Refleksi diri dalam menggunakan media sosial

Melalui media sosial, kita mempunyai ruang untuk menukarkan satu aktiviti yang asalnya bersifat peribadi iaitu merekod aktiviti harian kepada satu aktiviti yang bersifat awam dan diketahui ramai. Maka, kita terdedah dengan kemungkinan berlakunya hantaran yang menyerlahkan sisi kebejatan dalam diri. Kita boleh melihat fenomena di media sosial ini sekurang-kurangnya dari dua perspektif. Pertama, dari sudut pandang pengguna yang mencipta hantaran tersebut. Kedua, dari sudut pandang pengguna yang berkongsi semula atau memberi reaksi kepada hantaran yang dicipta oleh pengguna yang lain. Kedua-dua pihak sama-sama mempunyai tanggungjawab dan peranan yang perlu dimainkan ketika menggunakan media sosial.

Islam mendidik manusia agar berakhlak dengan akhlak yang mulia. Malah, Nabi Muhammad SAW sendiri pernah bersabda,

Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak”

– Riwayat Ahmad (8952).

Berakhlak dengan akhlak yang mulia tidak terbatas sekadar di alam realiti semata-mata, tetapi tetap juga terpakai di alam maya.

Namun, menjadi fitrah manusia yang tidak pernah sunyi daripada melakukan kesalahan. Ada kalanya kesalahan tersebut memang tidak disengajakan akibat kejahilan. Namun, ada juga kesalahan yang sengaja dilakukan dan disebarkan sehingga terjadi kebejatan akhlak dan sosial. Pada zaman sekarang, kebejatan lebih mudah tersebar dan diketahui oleh manusia lain, sama ada oleh sebab diri sendiri yang ataupun manusia lain. Kebejatan yang berlaku secara tertutup dan ketika bersendirian sekali pun tidak akan kekal keadaannya begitu apabila manusia memilih untuk berkongsi perkara tersebut di media sosial.

Islam mendidik manusia agar tidak membuka aib manusia lain. Abu Hurairah meriwayatkan sebuah hadis daripada Nabi Muhammad SAW:

Sesiapa yang menutup aib orang Muslim, Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat

– Riwayat Ibn Majah (2544).

Kita bukan sahaja ditegah membuka aib manusia lain, malah kita juga dilarang sama sekali mengintip kesalahan sesama kita. Allah telah berfirman dalam Surah Al-Hujurat, ayat 12:

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima Taubat, lagi Maha Mengasihani.

Ini bermakna kita dilarang melawat akaun media sosial mana-mana manusia dengan niat mahu mencari di celah mana telah berlaku kebejatan. Namun, sudah tentulah juga dek kuasa tular media sosial, kebejatan tersebut akan muncul dengan mudah di skrin kita kerana ia telah pun keluar dari ruang peribadi. Maka, tiada istilah mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban manusia lain dalam konteks ini. Pendekatan yang berbeza haruslah diambil bagi menyelesaikan situasi sebegini.

Sebagai penutup, eloklah jika kita sama-sama dapat menghayati maksud daripada dua hadis Nabi Muhammad SAW di bawah.


Jika kamu tidak mempunyai rasa malu, lakukanlah apa sahaja yang kamu mahu.

– Riwayat al-Bukhari (3296)

Sesungguhnya Allah SWT Maha Pemurah, Maha Kekal dan Maha Penutup. Dia menyukai sifat malu dan menutup aib.

– Riwayat al-Nasaie (406)

Rujukan:

Hermida, A. (2014). Tell everyone: Why we share and why it matters. Doubleday Canada.

Kennedy, J. (2020). Digital media, sharing and everyday life. Routledge.

Disediakan oleh,

Syamim Binti Hashim

Menguntum Malaysia di Hati

“Janganlah Mencari-cari Alasan untuk Menyakiti Wanita.”