Di ucapan United Nation Climate Change Conference UK 2021 baru-baru ini, seorang pemimpin daripada negara kita telah melakukan sesuatu perkara diluar jangkaan ramai dimana beliau menggunakan bahasa Melayu ketika memberikan ucapan di persidangan tersebut dihadapan wakil-wakil negara yang lain. Hal ini telah memberikan kejutan yang besar buat negara umumnya dan rakyat di Malaysia khususnya kerana begitu berani  menggunakan bahasa Melayu sekali gus mengangkat martabat bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa. 

Tuan Ibrahim menyampaikan kenyataan negara dalam bahasa Melayu ketika hadir pada Segmen Peringkat Tinggi di UNFCCC COP-26 di Glasgow, Scotland, 10 Nov, 2021

Perkara ini merupakan suatu perkara yang patut dibanggakan oleh seluruh rakyat kerana mempunyai pemimpin yang berani menggunakan bahasa Melayu ketika berucap dihadapan wakil-wakil dari negara lain dan tidak melakukan seperti kebiasaan umum, iaitu menggunakan bahasa Inggeris.

Perkara ini juga sepatutnya dipuji dan dibanggakan oleh seluruh rakyat Malaysia. Walaupun begitu, apabila kita melihat di media sosial dan di alam maya, mereka seolah-olah menghina keberanian pemimpin kita untuk berbahasa Melayu dalam persidangan tersebut, dengan mengatakan perkataan-perkataan yang merendahkan martabat bahasa Melayu. Paling menyedihkan, ramai dalam kalangan orang Melayu sendiri yang mengatakan hal yang sedemikian. 

Tidak dinafikan, ramai yang bersetuju dan menyokong agar bahasa Melayu digunakan ketika berucap di pentas-pentas antarabangsa, dan tidak dinafikan ramai juga yang mengejek dan merendah-rendahkan penggunaan bahasa Melayu ketika berucap di persidangan-persidangan dunia. 

Mereka mengatakan bahawa akan memberi malu buat negara kerana pemimpin tidak mengetahui untuk bercakap dalam bahasa Inggeris, jika tidak pandai berbahasa Inggeris lebih baik tidak payah berucap, boleh saja tengok teks bahasa Inggeris jika tidak fasih dalam bahasa Inggeris dan berbagai-bagai lagi kecaman yang dilemparkan oleh netizen.

Perkara yang menjadi persoalan sekarang ini, mengapa terdapat dalam kalangan rakyat di negara ini khususnya orang Melayu sendiri yang berasa malu apabila bahasa ibundanya dipertuturkan orang di peringkat antarabangsa? Berasa bahawa membawa kepada impak negatif apabila bahasa Melayu yang digunakan dan bukannya bahasa Inggeris. 

Adakah dalam dunia ini hanya tempat dan kedudukan untuk bahasa hanya dikhususkan kepada penggunaan bahasa Inggeris semata-mata? Adakah dengan fasih berbahasa Inggeris sudah menunjukkan bahawa orang itu seorang yang berilmu luas dan mulia, kerana dirinya pandai bertutur dan fasih berbahasa Inggeris? Sehinggakan apabila berucap dalam bahasa Melayu dihadapan ramai delegasi daripada pelbagai negara dianggap sebagai suatu yang hina dan memalukan?

Mereka berasa sangat malu apabila tidak pandai menuturkan bahasa Inggeris dengan baik, dengan menganggap bahawa kuno dan ketinggalan zaman apabila seseorang itu tidak pandai bertutur dalam bahasa Inggeris. Yang malu itu sendiri pun ada juga dalam kalangan orang Melayu sendiri! Risau kalau-kalau tidak pandai berbahasa Inggeris, akan dipandang orang sebagai katak dibawah tempurung padahal bahasa Inggeris itu bukanlah bahasa ibundanya. 

Tetapi, yang peliknya, apabila dia tidak pandai menuturkan bahasa Melayu dengan baik tidak pula dia malu? Salah tatabahasa, nahu dan sorofnya, tidak pula dia malu? Malah bangga apabila bahasa Melayu itu dirosakkan penggunaannya dengan dicampuradukkan bahasa tersebut dengan bahasa lain, ataupun sengaja merosakkan penggunaan bahasanya seperti perkataan yang sebetulnya ialah bersedih, tetapi yang sekarang ini dalam kalangan anak muda,  mereka telah menukar kepada perkataan mengsedih. Apa makna perkataan mengsedih itu?  Ada jumpa erti yang lain ataupun semata-mata mengikut trend semasa yang merosakkan dan menodai keaslian dan keistimewaan bahasa Melayu? Paling sadis ialah apabila orang Melayu sendiri yang merosakkan bahasa Melayu itu sendiri!

Cuba kita bawa fikiran kita, menerawang sebentar dengan melihat para pemimpin dari negara lain, yang menggunakan bahasa ibundanya tidak kira ketika berucap di persidangan-persidangan, ataupun dalam pertuturan seharian. Mereka bangga dengan diri mereka, bangsa mereka dan negara mereka kerana bahasa yang dibawa keluar daripada mulut mereka ialah bahasa ibunda mereka sendiri. 

Sebagai contoh pemimpin-pemimpin Turki, China, Jepun, Korea, Arab Saudi, Rusia dan ramai lagi. Mereka berbangga dengan bahasa yang mereka gunakan tanpa ada sedikit rasa malu dalam diri mereka kerana itulah cara mereka hendak memartabatkan bahasa mereka ke pentas antarabangsa.

Tetapi kita disini, apa gunanya pihak kerajaan menggembleng tenaga melakukan pelbagai program dengan kerjasama daripada pelbagai pihak antaranya pihak Dewan Bahasa dan Pustaka untuk mengangkat dan memartabatkan bahasa Melayu bukan sahaja dalam negara, malah ingin memartabatkan bahasa yang pernah dikenali di seantero dunia dahulu sebagai bahasa lingua franca tetapi kita sendiri yang tidak ingin menyahut usaha dan seruan kerajaan?

 Kerajaan telah melakukan pelbagai usaha untuk mengangkat bahasa ini, tetapi kalau tidak disambut baik oleh rakyat akan usaha kerajaan ini, maka jangan hairan jika generasi akan datang tidak akan tahu untuk berbahasa Melayu kerana sejak kecil mereka telah dididik untuk menggunakan bahasa Inggeris 100 peratus dalam kehidupan mereka, kerana sering dimomokkan jika tidak pandai berbahasa Inggeris, susah untuk mendapatkan pekerjaan dan sebagainya. 

Tidak mustahil juga bahasa ini satu hari nanti akan pupus jika tidak ada usaha dalam kalangan rakyat dan masyarakat awam, khususnya orang Melayu sendiri untuk memartabatkan semula bahasa warisan ini yang telah kita warisi sejak zaman-berzaman lagi.

Dimanakah jati diri kita sebagai orang Melayu dan rakyat Malaysia dalam memartabatkan dan mengangkat bahasa ini? Sejauh manakah kita sebagai rakyat Malaysia menghargai bahasa yang unik dan agung ini, yang pernah diangkat mulia suatu ketika dahulu yakni ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka sehingga digelar sebagai bahasa lingua franca. Atau kita hendak menutup mata, membisukan mulut sahaja sekiranya melihat bahasa kita dipijak-pijak dan dinodai?

 Ingatlah, kalau bukan kita yang menjaga, mengangkat dan memartabatkan bahasa kita yang tercinta ini, siapa lagi? Masyarakat perlu keluar dari kepompong hidup yang sempit, pemikiran yang jumud tentang nilai penggunaan bahasa Melayu. Tidak dinafikan memang penting untuk pandai berbahasa Inggeris, tapi dalam masa yang sama bahasa Melayu janganlah dilupakan sehingga sanggup ke tahap merendah-rendahkan.

Jangan malu untuk kita bertutur dalam bahasa Melayu kerana selamanya bahasa ini tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan. Selamanya akan ada angkatan baharu yang memperjuangkan dan lantang bersuara memartabatkan penggunaan bahasa Melayu agar bahasa ini kembali semula kegemilangannya seperti dahulu kala. Ingatlah kita kepada kata-kata hikmah Laksamana Hang Tuah, yang kata-katanya ditulis dengan tinta emas, iaitu: “Takkan Melayu Hilang Di Dunia!”.

Disediakan oleh,

MAFZA

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.