Al-Quran merupakan sumber utama dan pertama dalam syariat Islam, diikuti dengan sunnah Rasulullah s.a.w. Sejarah penurunan al Quran yang bermula di sebuah tempat yang mulia di tanah Arab iaitu Mekah dan diturunkan kepada seorang lelaki agung yang bernama Nabi Muhammad s.a.w. Al-Quran yang mulia ini diturunkan secara berperingkat selama 23 tahun dan bukan secara sekaligus. 

Antara faedah al-Quran diturunkan secara berperingkat dalam waktu yang lama adalah :

  1. Mengelakkan Rasulullah s.a.w merasa terbeban dengan perkara yang baru.
  2. Bukti kekuasaan Allah s.w.t.
  3. Ayatnya turun sesuai mengikut waktu kejadian yang berlaku.
  4. Memberikan waktu untuk penerimanya menghafal ayat yang turun dahulu.

Namun begitu, para orientalis (pengkaji dunia Timur dan Arab dari Barat) dan musuh-musuh Islam memandang perkara ini dengan pandangan yang berbeza. Mereka sentiasa mencari peluang dan ruang untuk menyerang agama Islam dan menimbulkan syak wasangka kepada orang Islam terhadap keaslian agama mereka sendiri.

Dalam hal ini, mereka mendakwa bahawa al-Quran itu bukan kalam Ilahi sebaliknya ciptaan manusia semata-mata kerana penulisannya bermula beberapa tahun setelah kewafatan baginda Nabi s.a.w.

Segala puji bagi Allah s.w.t yang sentiasa mengadakan penjaga-penjaga bagi agamanya. Penjaga ini adalah para ulama’ dan awliya’ yang berjaya mematahkan serangan para musuh dengan ilmu mereka. Hal ini sesuai dengan janji-Nya di dalam Quran yang berbunyi:

إِنَّا نَحۡنُ نَزَّلۡنَا ٱلذِّكۡرَ وَإِنَّا لَهُۥ لَحَـٰفِظُونَ

“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan pasti Kami (pula) yang memeliharanya.” [Surah Al-Hijr 9]

Para ulama’ berhujah untuk menerangkan bahawa al-Quran sebenarnya sudah mula ditulis sejak zaman Nabi Muhammad s.a.w lagi bahkan berterusan sehingga zaman selepasnya. Apakah buktinya? Mari kita lihat.

1) Zaman Nabi Muhammad s.a.w

Sebuah riwayat daripada Saidina Zaid bin Thabit r.a berbunyi:

“ Kami, semasa di zaman Rasulullah s.a.w, menulis al-Qur’an pada kulit. ”

Memandangkan zaman itu kelengkapan menulis sukar didapati dan kaum Arab juga buta huruf, ayat-ayat suci ini banyak ditulis di atas lembaran, pelepah-pelepah kurma, tulang haiwan, kulit-kulit haiwan, batu-batu dan sebagainya. 

Tidak dinafikan, terdapat juga para sahabat r.a yang tidak menulis kerana bergantung sepenuhnya dengan hafalan mereka dan merasa tidak berhajat kepada mushaf. Namun,terdapat sebahagian mereka yang menulisnya mengikut kemampuan mereka. Mengikut catatan para ulama, ayat-ayat ini ditulis secara berasingan dan terpisah kerana ada antara mereka yang keluar berperang dan tiada di samping Nabi s.a.w ketika wahyu seterusnya turun. 

Apabila mereka pulang, mereka menulis wahyu yang baru dan tertinggal wahyu yang sebelumnya. Walau bagaimanapun, masih ramai lagi para sahabat r.a pada zaman itu yang menulis wahyu dan sempat menyalinnya. Oleh itu, antara ciri-ciri penulisan wahyu semasa zaman Nabi Muhammad s.a.w adalah:

  1. Tidak terkumpul dalam satu mushaf.
  2. Berada dalam catatan individu sahaja iaitu di atas lembaran, pelepah dan sebagainya.
  3. Ayat dan Surah masih belum tersusun, namun sudah diperincikan susunannya oleh Rasulullah s.a.w
  4. Ayat-ayat tidak ditulis dalam lahjah Quraisy lagi bahkan mengikut lahjah masing-masing.

2) Zaman Saidina Abu Bakar r.a

Setelah kewafatan baginda s.a.w, Saidina Abu Bakar r.a telah diuji dengan banyaknya peperangan yang menentang golongan enggan membayar zakat, orang-orang murtad, golongan yang mengakui Nabi dan sebagainya. Contohnya, Perang Yamamah antara muslimin dan golongan murtad telah mengorbankan sejumlah 700 orang penghafaz Qur’an.

Melihat keadaan ini, Saidina Umar r.a risau akan kehilangan al-Quran dalam masyarakat kerana syahidnya para penghafaz ini. Beliau menyuarakan pendapatnya kepada Saidina Abu Bakar r.a agar mengumpulkan semua catatan al-Quran yang terpisah-pisah ini di dalam satu mashaf. 

Saidina Abu Bakar r.a. kemudiannya memerintahkan seorang penulis wahyu yang masih muda dan diakui kekuatan hafalannya untuk melakukan kerja-kerja pengumpulan dan penyalinan semula al-Quran. Beliau adalah Saidina Zaid bin Thabit al-Ansari r.a. Setelah dipujuk,  beliau bersetuju untuk melakukannya walaupun masih penat setelah pulang dari peperangan yang sengit. Beliau meletakkan syarat untuk tidak menerima ayat yang diriwayatkan secara aahad (seorang perawi) dan tidak menerima ayat yang dihafal semata-semata tanpa bukti bertulis.

 Oleh itu, ciri-ciri al-Quran yang tertulis pada zaman ini adalah:

  1. Wahyu yang masih belum dinasakh bacaannya.
  2. Ayat yang dihafal ramai  (manakala jika tulisan itu dari riwayat aahad,  maka mestilah dihafal oleh ramai orang untuk diterima.)
  3. Sudah terkumpul dalam satu mashaf, namun tulisan-tulisan oleh individu masih disimpan oleh penulisnya.
  4. Ayatnya tersusun seperti hari ini, namun surah belum disusun.

3) Zaman Saidina Uthman r.a

Setelah Saidina Zaid r.a menyiapkan kerjanya, mashaf tersebut berada dalam jagaan Saidina Abu Bakar r.a. Kemudian, ia berpindah kepada Saidina Umar r.a. Setelah beliau wafat, mashaf itu diberikan kepada anak perempuannya yang juga seorang Ummahatul Mukminin, iaitu Saidatina Hafsah r.a.

Ketika zaman pemerintahan Saidina Uthman r.a sekitar tahun 24 Hijrah, pemerintahan Islam sudah pun meluas dan mula berkembang ke negara-negara bukan Arab. Pada waktu itu juga, al Quran diajar kepada orang ramai menggunakan lahjah mereka sendiri. Kesannya, timbul perbalahan antara qabilah sehingga tahap mengkafirkan satu sama lain kerana perbezaan cara bacaan al Quran.

Apabil perkara ini sampai kepada pengetahuan Saidina Uthman r.a, beliau dapat merasakan sesuatu yang besar bakal berlaku jika dibiarkan. Katanya: “ Jika kalian yang dekat dengan aku berikhtilaf kerana perkara ini, aku khuatir perbalahannya lebih besar bagi mereka yang tinggal jauh dari aku.” Ternyata telahan seorang pemimpin yang berpandangan jauh ini benar. 

Pada akhir tahun 24 Hijrah dan awal tahun 25 Hijrah, sejarah  mencatatkan peristiwa pembukaan Azerbaijan dan Armenia. Ketika itu, Saidina Huzaifah al-Yamani melihat ikhtilaf yang berlaku dalam bacaan al-Quran antara muslimin membawa kepada permusuhan sesama mereka. Dengan segera, beliau terus menyuarakan kebimbangannya kepada Saidina Uthman r.a.

Saidina Uthman r.a. terus meminta mashaf Saidatina Hafsah r.a. dan mengarahkan Saidina Zaid bin Thabit, Abdullah bin Zubair, Sai’id bin al’As dan Abdullah bin al-Haris untuk menyalin semula mashaf al Quran itu. Ketika inilah beliau mengatakan:

“Jika kalian mendapati percanggahan (antara bacaan), tulislah Quran dengan lahjah Quraisy kerana Quran diturunkan dengan bahasa mereka.”

Selepas bermesyuarat bersama para sahabat, beliau mengarahkan untuk membakar mana-mana catatan al Quran yang berada dalam simpanan individu. Pada awalnya, perkara ini membangkitkan kemarahan umat Islam yang tidak memahami sebabnya namun berjaya ditenangkan oleh Saidina Ali r.a. Setelah itu, Saidina Uthman r.a. menyebarkannya ke seluruh pelosok negara Islam dan menetapkan supaya menggunakan satu mashaf sahaja.

Antara sebab pendorong Saidina Uthman r.a membakar mashaf-mashaf lain selain yang disalin semula itu adalah untuk mengelakkan berlakunya perdebatan dan perbalahan antara kaum muslimin. Kesimpulannya, kita dapat melihat ciri-ciri mashaf pada zaman ini adalah:

  1. Tertulis dengan lahjah Quraisy seperti hari ini.
  2. Penyalinan dijalankan secara ketat (menyalin yang mutawatir dari Nabi Muhammad s.a.w sahaja.)
  3. Susunan ayat dan surah seperti hari ini.
  4. Tiada titik dan baris lagi.

Berdasarkan perkara di atas, kita dapat melihat bahawa segalanya sudah tercatat di dalam sejarah dan dakwaan para orientalis itu adalah dakwaan buta semata-mata. Kita juga haruslah menyedari kezuhudan generasi sahabat r.a. terdahulu yang bertungkus-lumus untuk menjaga kesucian al-Quran hingga sampai kepada kita pada hari ini. Saya akhiri artikel ini dengan sebuah soalan :

“Apa lagi alasan untuk kita kurang membaca al-Quran?”

Disediakan oleh,

Nik Humaira

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.