Apakah penghujungnya?

Mungkin pendahuluan buku ini menjadi senaskhah tulisan yang paling rumit untuk saya coret.

Lazimnya, saya menulis dalam keadaan saya tahu daripada apa sesuatu bermula, dan di mana noktah akhir yang disasarkan sebagai perhentian. Jelas dari hujung rambut hingga ke hujung kaki namun, kembara di sebuah negeri bernama Finland ini penuh onak dan duri.

Sebanyak mana pun ia saya ungkapkan dalam bab demi bab, ungkapan itu hanyalah menceritakan sebahagian daripada apa yang saya mampu ceritakan untuk teladan bersama. Seumpama puncak sebongkah ais yang terapung di sepi Artik, apa yang dilihat mata, hanyalah satu persepuluh daripada keseluruhan bongkah ais yang terendam menurut Undang-undang Apungan Archimedes.

Jadi, ingin saya pesankan kepada pembaca, apa yang terungkap dalam naskhah ini, itulah yang dapat saya nukilkan pada kadar upaya semasa. Perjalanan masih jauh, dan saya sendiri tidak pasti di mana penghujungnya.

Saya hidup dengan persoalan.

Persoalan mendorong saya berjalan.

Berpindah daripada satu bidang ke bidang lain, langsai bukan dengan senaskhah tesis tetapi dengan jawapan dan lahirnya soalan baharu. Ada kalanya perjalanan itu berbau siri kegagalan tetapi ada masanya saya fikir saya masih komited dengan tujuan utama saya berjalan iaitu mencari jawapan kepada persoalan.

Persoalan paling besar lahir di persimpangan besar kehidupan peribadi saya. Sekitar tahun 2010-2015, saya berhadapan dengan dilema paling besar yang pernah saya tempuhi. Sebahagiannya saya nukilkan dalam buku Menalar Makna Diri: Kembara Menjejak Imam Birgivi. Manakala sebahagian yang lain ialah …

“saya terasing di halaman sendiri”.

Teringat kata guru saya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), “Hasrizal, kamu lahir pada zaman yang salah dan menginginkan sesuatu yang tiada pada realiti hari ini. Mungkin lama selepas kamu tiada nanti, barulah kamu akan difahami!”

Kata-katanya itu membuatkan saya termenung saban hari.

Ada sesetengah orang berkata, “Hasrizal itu emosional, tidak habis-habis melayan perasaan. Tidak berpijak di bumi yang nyata.”

Saya tidak dapat menafikannya. Perasaan itu ialah perasaan yang menjadikan saya seperti yang anda kenal selama ini. Demi mencari keseimbangan, saya cuba berfikir dengan hati dan berperasaan dengan akal. Jadi saya fikir, Allah tidak simpati jika saya kata saya mangsa di halaman itu:

إِنَّ الَّذِينَ تَوَفَّاهُمُ الَْلَئِكَةُ ظَالِِي أَنفُسِهِمْ قَالُوا فِيمَ كُنتُمْ قَالُوا كُنَّا

مُسْتضَْعَفِينَ فِ الْرَْضِ قَالُوا أَلَْ تَكُنْ أَرْضُ الَّلِ وَاسِعَةً فَتُهَاجِرُوا

فِيهَا فَأُولَٰئِكَ مَأْوَاهُمْ جَهَنَّمُ وَسَاءَتْ مَصِيرًا –

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri, mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata, “Apakah yang kamu telah lakukan?” Mereka menjawab, “Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi.”

Malaikat bertanya lagi, “Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?” Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka Jahanam, dan neraka Jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.” (al-Nisa’, 4:97)

Bumi Allah itu luas.

Hijrah itu pilihan.

Semasa ayah mertua yang begitu uzur di perbaringan kami maklumkan tentang hijrah ke Finland, beliau berduka cita.

“Kamu nak tinggalkan aku?” tanyanya di sisi anakandanya, isteri saya, bersama kami sekeluarga. Beliau tidak mahu kami meninggalkannya. Justeru beliau tinggalkan kami. Tinggal beberapa hari saya hendak berangkat ke Finland, ayah mertua yang dikasihi, Haji Ahmad Nasarudin telah kembali ke rahmatullah dalam linangan air mata semua.

Saat itu, saya sedang membatukan perasaan.

Berdiam diri di sisi pusara, dan fikiran berkecamuk mengenang bonda saya di rumah pula.

Adakah betul aku akan berkelana sekali lagi?

Selepas pelukan perpisahan 1993 di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang, janji 4 tahun berubah menjadi 11 tahun!

Bonda telah sangat uzur. Ingatannya pun semakin kelam.

15 September 2016, saya peluk bonda seerat-eratnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Saya cium tangan bonda yang pernah mendukung dan membelai kepala saya. Saya cium pipi bonda yang penuh kedut menyimpan pelbagai kisah dan perasaan. Apakah perpisahan ini perpisahan selamanya?

Saya tidak tahu rahsia Allah tetapi peluk cium saya, si anak yang hampir seluruh hidupnya berkelana mencari jawapan kepada persoalan demi persoalan, saya leraikan peluk cium bonda dengan hati berbisik ungkapan syair Abu al-Tayyib al-Mutanabbi:

“Pada kala perpisahan, jangan diucap selamat tinggal, tetapi ucaplah hingga bertemu lagi.Seandainya tidak di bumi Tuhan, mudah-mudahan di syurga-Nya nanti.”

Itulah tarikh terakhir saya menatap wajah bonda, mencium tangan dan memeluk tubuhnya pada permulaan perjalanan kembara ke Finland.

Bonda kembali ke rahmatullah pada 30 Julai 2018, dalam tangisan sepi saya di bawah pohon birch di Oulu Finland, bersama rintihan.

Ampunkan anakanda, yang masih berkelana mencari jawapan kepada persoalan demi persoalan.

Jiwa saya luluh dengan pemergian bonda. Terasa bagai diragut separuh nyawa namun, itulah harga yang terpaksa saya bayar demi perjalanan.

Perjalanan yang saya sendiri tidak pasti apa dan di mana penghujungnya.

Perjalanan yang saya coret dalam naskhah ini, tujuannya agar sepi di negeri asing ini, tersimpan erat dalam kenangan.

Saya lahir pada zaman yang salah. Saya menginginkan sesuatu yang tiada dalam realiti hari ini.

Tetapi izinkan perjalanan ini menjadi benih yang semoga tumbuh secara perlahan, dan esok-esok menjadi pohon berteduh buat generasi akan datang.

Semoga Allah merahmati keluarga kami dalam kelana ini.

Isteri tercinta, Muna.

Anakanda Saif, Naurah, Imad dan Muiz.

Keluarga di tanah air yang sentiasa kami rindu

Sahabat yang jauh di mata namun, masih dekat dalam hati.

Anak murid yang kini semakin dewasa.

Guru-guruku penyuluh jalan.

Pembaca budiman yang memberi nyawa kepada penulisan.

Dan kedua-dua orang tua dan mertuaku.

Hingga bertemu kembali,

Di negeri abadi.

Hasrizal,

Oulu, Finland,

20 April 2020


Dapatkan pra tempah buku terbaru Ustaz Hasrizal Abdul Jamil di https://www.jtbooks.my/

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.