Beberapa bulan yang lalu saya mengalami masalah rintangan pembaca atau reader’s block yang amat dahsyat. Bayangkan aktiviti yang biasanya umpama menghirup oksigen, ketika itu menimbulkan rasa pening dan mual. Setiap buku yang dibuka tidak begitu menarik perhatian.

Kesannya, aktiviti membaca tergendala buat sementara. Melihat timbunan buku yang belum dibaca menimbulkan rasa kecewa. “Apa yang dah jadi pada aku sebenarnya?” saya bertanya sendiri. 

Alhamdulillah hari berganti hari, keadaan diri bertambah baik. Perlahan-lahan saya membina semula hubungan dengan buku dan membaca. Mengenang kembali saat-saat merehatkan diri daripada dunia buku, ternyata amat menyeksakan.

Apabila ada yang meluahkan pengalaman sama, saya dapat memahaminya. Oleh itu, saya kongsikan perjalanan sendiri, tentang bagaimana saya menghadapi masalah rintangan pembaca agar dapat kekal waras dalam melalui kehidupan sehari-hari.

Pertama, kenal pasti masalah dan punca utama yang menyebabkan kita hilang rasa mahu membaca. Boleh jadi ia berkaitan dengan situasi peribadi, pekerjaan, kesihatan atau perubahan-perubahan lain dalam diri.

Ketahuilah bahawa jika masalah itu adalah sementara, bermakna rintangan membaca yang dialami juga tidak lama. Apa yang sedang dilalui bukanlah salah diri dan bukan bermakna kita bukan pencinta buku sejati. Jika kita bertanya kepada ulat buku lain, kebanyakan mereka pasti pernah mengalaminya. 

Namun begitu, perlu diingat bahawa hilang minat terhadap perkara yang disukai adalah salah satu tanda stres dan masalah kesihatan mental. Oleh itu, dapatkan bantuan sewajarnya jika perlu.

Kedua, ambil masa untuk diri sendiri walau apa jua masalah yang sedang dilalui. Ketika itu, lakukan aktiviti yang kita suka seperti bersiar-siar, menikmati makanan kegemaran, menonton drama atau dokumentari berfaedah, mempelajari kemahiran baru atau sekadar meluangkan masa bersama keluarga tercinta.

Pastikan masa kita terisi. Lebih baik jika kita boleh meletakkan tempoh masa supaya tidak terlalu lama meninggalkan bacaan buku.

Ketiga, perlahankan kadar membaca. Jika sebelum ini kita mampu menghabiskan sebuah buku dalam masa sehari, mungkin kita boleh cuba perlahankan kadar membaca kini. Contohnya 1 hingga 2 muka surat sehari atau setakat mana kita boleh tahan membaca. Walaupun kelajuan berkurang, sekurang-kurangnya momentum membaca dapat dikekalkan.

Keempat, pergi ke kedai buku atau perpustakaan awam secara fizikal atau di atas talian. Situasi dunia yang diselubungi pandemik Covid-19 kini menyebabkan pergerakan kita terbatas, sama ada oleh sekatan pihak berkuasa atau kesedaran kendiri. Oleh itu, pergi ke kedai buku fizikal atau perpustakaan awam kadang-kala bukanlah pilihan bagi menaikkan semula semangat membaca.

Kita boleh beralih kepada medium atas talian, namun perlu menghadapi kekangan tidak dapat membelek buku dan bungkusan lewat tiba. Ketika inilah saya lebih memilih untuk membaca buku elektronik yang dibeli melalui peranti Kindle Amazon.

Antara kelebihan membeli buku di sini adalah kita boleh membaca sampel percuma terlebih dahulu. Beleklah seberapa banyak sampel buku, kita tidak akan dicaj. Oleh itu, cuma buku yang betul-betul menarik minat dan hendak dibaca sahaja yang akan dibeli. Selain Amazon, aplikasi Google Play Books turut menyediakan kemudahan ini.

Walau bagaimanapun, kebanyakan buku elektronik yang disediakan adalah terbitan luar negara. Namun itu sesuatu yang baik juga kerana kita tetap dapat menyokong penerbit dan penulis tempatan dengan membeli buku-buku fizikal mereka.

Kelima,bercerita tentang buku yang dibaca kepada orang lain jika kita seorang yang suka berkongsi tidak kira melalui penulisan atau percakapan. Lupakan seketika peraturan menulis ulasan buku, tulislah apa yang terlintas di fikiran dalam gaya bahasa yang kita selesa.

Jika ada sesi pertemuan komuniti buku secara maya, kita boleh cuba untuk sertai sama ada sebagai penyampai atau sekadar mendengar. Kadang-kala dengan bercakap tanpa henti lalu mendapat respon positif, boleh menaikkan semula semangat mahu membaca buku. Inilah yang terjadi kepada saya melalui sesi resensi buku Suri Membaca baru-baru ini.

Penyanyi Dolly Parton pernah berkata, “Kita tidak boleh mengarah angin, tetapi kita boleh melaraskan layar kapal”. Barangkali ujian yang mendatang adalah malar, namun banyak perkara lain yang boleh dikawal dan berubah. Ingatlah, walau apa jua rintangan yang dilalui ketika ini, kita tidak berseorangan. 

(Selain daripada yang dikongsikan di atas, tip-tip menangani reader’s block secara ringkas dan asas boleh dibaca di dalam buku Projek Bibliofil tulisan penulis.)

Disediakan oleh,

Zahrah Yunos

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.