in

LoveLove

Rosak Wanita, Rosaklah Negara

Wanita solehah adalah sebaik-baik perhiasan dunia”

Islam meletakkan wanita sebagai makhluk paling mulia yang harus dijaga dengan baik dan lemah lembut. Allah SWT menciptakan wanita dengan keindahan dari hujung kaki sehingga hujung rambutnya. Wanita adalah anggota terpenting dalam kolompok masyarakat kerana wanita adalah kunci kepada ummah.

Wanita merupakan institusi pertama yang membangun dan mendidik generasi muda. Tanggungjawab besar yang dipikul kaum wanita menentukan kualiti generasi muda sama ada terlahirnya generasi yang baik dan sempurna ataupun generasi yang kurang baik dan rosak yang menjadi kepincangan dalam pembentukan generasi masa depan.

“Jika perempuannya baik maka baiklah negara, dan jika mereka bobrok,  maka bobrok pulalah negara.”

Buya Hamka Berbicara Tentang Perempuan Hal.15

Islam amat memuliakan wanita sama ada sebagai anak, isteri, ataupun ibu. Wanita diletakkan pada kedudukan yang sepatutnya dan diberikan hak-hak yang sejajar dengan kudrat, naluri, tabiat dan susunan fisiologi tubuh mereka.

Seorang Mufti yang bernama Syaikh Muhammad Thahir ‘Asyur, seorang ulama kontemporari berkata,

“Agama Islam sangat memperhatikan kebaikan dan urusan kaum wanita kerana wanita adalah separuh daripada ummah dan pendidik pertama dalam pendidikan jiwa.”

Menurut beliau lagi,

“Islam adalah agama yang berasaskan syariat dan peraturan. Islam datang untuk memperbaiki keadaan kaum wanita, mengangkat darjat mereka agar umat memiliki persiapan untuk mencapai kemajuan dan memimpin dunia.” ( Al-Tahrir wa al Tanwir : 2/400-401)

Umpama permata yang tidak ternilai harganya dan tersimpan dengan baik, begitulah Islam meletakkan wanita sebagai makhluk yang mulia yang perlu dipelihara, jauh dari noda yang boleh merosakkan peribadi mereka.

Oleh sebab itu, Islam menggariskan pelbagai hukum yang ditetapkan oleh Allah SWT sebagai garis panduan agar wanita dapat menjalankan tugas mereka dengan sempurna sebagai wanita pendidik yang membimbing ahli keluarga dan masyarakat umum.

Di sisi Islam,wanita tidak dipandang hina atau ditindas dan direndahkan martabatnya kerana wanita mempunyai hak tersendiri, hikmah yang besar di sebalik syariat yang ditetapkan oleh Allah SWT. Betapa besar pengorbanan setiap wanita, di saat wanita melahirkan satu nyawa ke dunia ini, Allah SWT memberikan ganjaran yang berikan setimpal dengan jasa mereka. Bahkan Allah SWT memberikan pelbagai kelebihan kepada wanita sesuai dengan fitrah mereka.

Rasulullah SAW juga mewasiatkan kepada umat islam agar menghargai dan memuliakan wanita :

“Aku wasiatkan kepada kalian untuk berbuat baik kepada para wanita” (HR. Muslim : 3729)

“Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap isterinya, dan aku adalah yang paling baik terhadap isteriku.” (HR. Tirmidzi dishahihkan oleh Syaikh Al-Albani dalam Ash-Shahihah : 285)

Dr. Abdul Qadir Syaibah berkata :

“Begitulah dalam undang-undang islam, wanita dihormati tidak boleh di wariskan, tidak halal ditahan dengan paksa, kaum lelaki diperintahkan untuk berbuat baik kepada mereka, para suami dituntut untuk memperlakukan mereka dengan makruf serta sabar dengan akhlak mereka.” ( Huquq al Mar’ah fi al islam : 10-11)

Syariat Islam tidak menghalalkan manusia berbuat sesuatu yang memudaratkan mereka, dan tidak pula mengharamkan sesuatu yang memberi manfaat kepada mereka.

Kepincangan dalam intitusi kekeluargaan hari ini adalah berpunca daripada kelemahan individu itu sendiri. Sebahagian daripada mereka tidak mempraktikkan dan memahami ajaran Islam yang sebenarnya, ataupun tidak berakhlak seperti yang dituntut dalam Islam. Justeru itu, kesilapan bukanlah terletak pada syariat Islam melainkan kesilapan daripada setiap individu dalam mempraktikkannya.

Allah SWT memuliakan kaum lelaki dengan mengangkat sebahagiaan mereka menjadi utusan-Nya. Namun, Allah SWT juga mengabadikan kisah para wanita mulia dalam kitab suci Al-Quran sebagai satu penghormatan dan kemuliaan bagi mereka. Dan Allah SWT juga menjanjikan syurga buat para wanita yang tekun menjaga kehormatan diri memasuki syurga dari pintu-pintu mana yang ia suka. 

Demikianlah kelebihan seorang wanita Islam. Sekiranya dia melakukan perkara-perkara yang membawa kepada jalan-jalan yang diredai Allah SWT. Setiap pengorbanan, penat lelah di dunia beroleh nikmat yang tidak terhingga di akhirat kelak.

Disediakan oleh,

Aishah Nerina

Hasrat Seorang Ibu

Mencari Tuhan di Dasar Laut