in

Resensi Buku: Setitik Darah di Bilik Bundar

 

 

Buku puisi ini merupakan karya asal Muhammad Haji Salleh yang yang diterbitkan pada tahun 2008. Muhammad Haji Salleh merupakan sasterawan negara yang tidak asing di Malaysia. Beliau meluahkan isi hati dan pengalaman hidup dalam bentuk puisi dalam buku ini semasa beliau menjadi felo penyelidik di Institut Havard-Yenching dari September 2006 hingga 2007. Puisi-puisi yang beliau hasilkan berdasarkan pengalaman sebenar beliau semasa berada di negara Amerika Syarikat.  Beliau berjaya membawa pembaca puisi mengembara ke beberapa tempat yang meninggalkan kesan yang mendalam kepadanya. Puisi yang dihasilkan oleh beliau menceritakan seribu satu suka dan duka pengembaraan beliau seperti semasa di Wakiki, ketika cuaca sejuk di Illinois dan Wisconsin, padang pasir di California,  Banjaran gunung Vancouver dan sebagainya. Puisi yang dihasilkan beliau meliputi pelbagai perspektif peribadi terhadap Amerika Syarikat yang semakin maju dan menjadi perhatian dunia. Namun, penyair juga turut menyelitkan pelbagai isu yang berlaku sebelum dan selepas negara tersebut merdeka.

Bahasa yang digunakan adalah Bahasa Melayu yang mudah dan ringkas tetapi tersirat maksudnya. Setiap baris puisi hanya terdapat beberapa perkataan sahaja. Setiap puisi yang dihasilkan hanya menggunakan satu halaman muka surat kecuali beberapa puisi yang mempunyai dua halaman muka surat. Ini memberi ruang yang luas kepada pembaca untuk berfikir dan mentafsir sesuatu peristiwa dengan mudah dan cepat. Namun demikian, terdapat banyak perkataan yang dipinjam dari bahasa Inggeris yang diselitkan di dalam buku ini. Pembaca mungkin tidak biasa dengan perkataan pinjaman seperti triglystrate, mojavem, nez perce, Cadillac, elm, sycqmore, Sicily, Tecumseh, tepee dan sebagainya. Pembaca harus mempunyai pengetahuan am dan perlu mencari maksud perkataan yang dipinjam dengan mencari maksud istilah tersebut di dalam kamus Bahasa Inggeris. 

Muhammad Haji Salleh

 

 

Selain itu penyair juga turut mengkritik dan memberi pandangan peribadi kepada beberapa insiden yang berlaku di negara Amerika Syarikat. Sebagai contoh pembaca mungkin sukar menafsirkan puisi bertajuk ‘sebuah peristiwa’ pada halaman 236. Maka, pembaca perlu mempunyai pengetahuan am mengenai sejarah Amerika Syarikat sebelum membaca buku puisi ini. Selain itu pembaca perlu juga mencari maklumat dan isu yang berlaku di negara tersebut agar pembaca dapat benar-benar faham apa yang berlaku di dalam puisi tersebut. Sebagai contoh puisi bertajuk statue of liberty mengisahkan isu perbezaan layanan bangsa berkulit putih kepada bangsa berkulit hitam.Penyair juga seolah-olah mempertikaikan simbol kebebasan disebalik statue of liberty tersebut. Pembaca perlu bijak menafsirnya kerana tajuk puisi ini begitu ironi dengan realiti.

Penyair buku ini sudah mengembara beberapa tempat yang berlainan geografinya cuaca dan budaya setempat. Untuk memudahkan pembaca untuk mengambarkan pengalaman sebenar semasa membaca buku ini, penyair menyelitkan banyak gambar berwarna yang dapat membantu pembaca menghayati puisi hasil karya Muhammad Haji Salleh ini. Sebagai contoh di muka surat 13 terdapat gambar di depan Perpustakaan Widener, Harvard. Selain itu, di muka surat 224 pula terdapat gambar Gunung Salju yang cantik. Dengan melihat gambar, pembaca lebih mudah untuk menghubungkait gambar semasa menafsir puisi dengan lebih mudah. Di muka surat yang terakhir terdapat gambar penulis semasa beliau di Montana. Secara tidak langsung pembaca dapat melihat suasana dan cuaca di Montana ketika itu dengan melihat pakaian yang dipakai oleh penulis.

Kesimpulannya, buku ini sangat menarik dan bermanfaat kepada pembaca yang meminati pengembaraan ke luar negara semasa membaca puisi. Buku setebal 387 halaman ini padat dengan ilmu baru kepada pembaca yang ingin melihat negara Amerika Syarikat dari kaca mata yang berbeza. Tajuk buku ini juga menarik dan sesuai dengan puisi yang terdapat buku ini. Pembaca perlu membaca sehinga ke halaman akhir untuk merungkai tajuk besar buku ini iaitu setitik darah di bilik bundar. Definisi tajuk buku ini akan terjawab berdasarkan tafsiran dan kefahaman pembaca itu sendiri setelah membaca kesemua puisi di dalam buku ini.


Mohd Nizam Bin Salahudin merupakan guru yang berkhidmat di Sekolah Kebangsaan Long Jekitan, daerah Baram, Sarawak. Selain itu, beliau juga mengambil bahagian dalam Resensi Buku peringkat ASEAN dan juga pembacaan Puisi Peringkat Dunia Covid-19 dianjurkan oleh Penyair Malaysia.

Leave a Reply

Loading…

Wanita Perlu Seperti Apa?

Kenapa Perlu Membaca?