Intan itu jika terbenam di perlimbahan sekalipun, tiada akan hilang cahayanya

Begitulah yang dirasai ketika naskah setebal 367 muka surat habis ditelaah. Resensi buku yang bertajuk Kerdipan Bintang Melayu Di Langit Turki ini, juga ingin saya mulakan dengan sepotong ayat Al-quran yang cukup bermakna. 

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (Wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu)…” (2:120)

Sesuai dengan judulnya, penulis iaitu Prof Madya Dr. Mat Rofa Ismail membawa pembaca menjelajahi sudut-sudut terpencil yang tersembunyi dalam sejarah rantau Melayu, atau mungkin sahaja sengaja disembunyikan oleh pihak-pihak tertentu. Travelog yang lengkap dengan info grafik dan gambar yang berwarna-warni ini bukan sahaja menceritakan kisah perjalanan penulis ke benua Turki, namun bakal membawa kita merentasi samudera konspirasi, meredahi badai air mata perjuangan dan kemudiannya berlabuh di tanjung kebenaran. Satu-persatu tipu muslihat penjajah dilondehkan, dengan harapan agar bangsa ini boleh menanggalkan sarung lusuh penjajah yang begitu dibanggakan sejak sekian lama.

Lalu, apa perkaitannya penjajahan Tanah Melayu dengan Empayar Uthmaniyah yang gemilang itu? Persoalan ini akan dikupas dengan mendalam di bahagian berikutnya.

Penulis memulakan cerita dengan berkongsi tujuan kembaranya ke Turki selama seminggu. Persidangan akademik yang berlangsung di bumi pertembungan antara Timur dan Barat itu memberi peluang kepada penulis untuk mendapatkan maklumat tambahan yang sahih dari sumber premier. Lawatan ke Arkib Uthmaniyyah, Perpustakaan Sulaimaniyah, dan Pusat Yayasan Kebudayaan Ilmiah Istanbul, selain bertemu dengan ilmuwan tempatan membuka jalan yang luas kepada penulis untuk mengumpulkan fakta-fakta bagi menghasilkan naskhah ini.

Bab-bab seterusnya dalam naskhah ini menceritakan hubungan yang begitu dekat antara Turki dan Alam Melayu. Persoalan-persoalan yang dibangkitkan begitu membuka mata, kerana fakta yang diketengahkan oleh penulis tidak disebut dalam mana-mana buku sejarah yang ada. Sebagai contoh, ketika pemerintahan Sultan Salim II, 40 pakar strategi perang Turki dihantar ke Acheh bagi memerangi Portugis di Melaka. Kunjungan ilmuwan yang juga tokoh Sufi Turki, Baba Dawud Al-Rumi telah merancakkan perkembangan ilmu di rantau Melayu. Kerajaan Islam Alam Melayu berada di bawah wilayah kekhalifahan induk Uthmaniyah dengan melantik sultan Melayu sebagai gabenor Uthmaniyah. Catatan Uthmaniyah merekodkan bahawa Sultan Mansor Shah digelar sebagai Mansur Pasha.

Begitu juga dengan kisah perlantikan Syeikh Ahmad Al-Fatani sebagai Ketua Ahli Jawatankuasa Penerbitan Kerajaan Uthmaniyah. Ulama Melayu ini telah mendapat kepercayaan besar dalam Empayar Uthmaniyah. Kemudian setelah beliau dilantik sebagai Ketua Editor Di Percetakan al-Miriyyah al-Kai’inat Makkah, penterjemahan kitab berbahasa Arab ke Bahasa Melayu menggunakan tulisan jawi begitu rancak sekali. Inilah sumbangan besar beliau kepada Tanah Melayu namun ia tidak didendangkan sewajarnya. Bukti lain ialah persamaan antara logo Kerajaan Uthmaniyah yang bermaksud ‘Kerajaan Uthmaniyah ditadbir dengan Taufik Rabbani, manakala simbol negeri Kelantan pula tertulis ‘Berserah Kepada Allah Kerajaan Negeri Kelantan’. Begitu juga dengan lambang bulan sabit pada bendera kedua-kedua kerajaan yang berkibar megah. Selain memegang jawatan besar dalam Empayar Uthmaniyah, Syeikh Ahmad Al-Fatani adalah penasihat kepada Sultan Mansur Kelantan. Begitulah semangat gerakan Pan-Islam sedunia Sultan Abdul Hamid mempengaruhi perjuangan Islam di Tanah Melayu.

Persoalan seterusnya yang cuba diketengahkan penulis ialah era pemodenan Turki dan pengaruhnya di Tanah Melayu. Dalam naskah ini disebut tentang Hikayat Faridah Hanom, filem Tiga Abdul, kedudukan British di Tanah Melayu dan Common Law di Malaysia. Perbincangan ini akan diteruskan dengan mengulas lanjut mengenai Hikayat Faridah Hanom dan filem Tiga Abdul yang begitu popular dalam kalangan rakyat Malaysia.

Hikayat Faridah Hanom ditulis oleh Syed Syeikh Al-Hadi yang merupakan tokoh reformasi pemikiran umat Melayu. Berlatangkan timur tengah khususnya Mesir dan Sudan, hikayat ini menceritakan tentang wanita, pendidikan, ekonomi, budaya dan percintaan antara 2 watak iaitu Faridah Hanom dan Shafik Affandi. Pada waktu itu, Mesir berada di bawah pengaruh Uthmaniyah. Nama Hanom dan Affandi itu sendiri adalah berkaitan dengan bangsawan Turki. Sultan Abdul Hamid pernah mengirimkan dua ‘Hanom’ untuk dikahwini keluarga diraja Johor, lalu melahirkan keturunan Turki-Johor di akhir era Uthmaniyah. Kisah meruntun jiwa ini berkisar tentang pertembungan golongan muda dan golongan tua yang menjadikan dua watak utama ini tersepit di antaranya. Begitulah yang di alami oleh umat Melayu di rantau ini suatu ketika dahulu apabila British mencanangkan gagasan sekularisme Mustafa Kamal Atarturk sebagai model pembaharuan yang wajar ditiru. 

Apabila berbicara tentang karya seniman agung P. Ramlee, memang tidak dinafikan beliau adalah seorang yang begitu bijaksana dalam mengadaptasi situasi semasa ke dalam karyanya. Filem Tiga Abdul sebagai contoh berlatar belakangkan masyarakat Islam Turki, berkisarkan tentang sebuah keluarga bangsawan di Kota Istanbul yang disebut sebagai Isketambola pada era kejatuhan Uthmaniyah. Filem berbentuk satira bangsawan yang sinis ini bertemakan wajah baru masyarakat Turki yang ketika itu menghadapi krisis identiti di antara Islam tulen dan ideologi barat. Sebagai contoh, tarbus tradisi dipadankan dengan pakaian bertali leher dan kot. Tiupan lilin semasa majlis hari lahir Ismet Ulam Raja disekalikan dengan nyanyian ‘Allah Selamatkan Kamu’. Sistem faraid mula diabaikan dan berlaku penindasan dalam pembahagian harta pusaka. Perkahwinan Abdul Wahub dengan pasangannya, digambarkan dalam suasana memakai busana barat. Majlis tari-menari yang bercanggah dengan syariat Islam juga sudah sebati dengan masyarakat ketika itu. Begitulah hubungan yang erat antara Uthmaniyah dan rantau Melayu ketika itu sehinggakan isu sebegini diangkat dalam kritik sosial supaya diambil iktibar bersama.

Penulis menamatkan naskhah ini dengan berkongsi pengalamannya mengembara ke beberapa kota lain yang menguatkan lagi jati dirinya di samping membantu kajian yang sedang dilakukannya. Seperti kata penulis, sejarah yang benar tidak semestinya sejarah yang rasmi. Sejarah yang rasmi tidak semestinya benar. Analisis dan kajian perlu dilakukan bagi memisahkan antara fakta yang sahih dari catatan palsu. Konklusinya, melalui naskhah ini banyak pendedahan baru yang dibuat oleh penulis dalam lembaran sejarah tanah air. Ini memberikan peluang kepada kita untuk mengorek kembali khazanah bangsa yang masih tertimbus di bawah timbunan penipuan penjajah. 

Zulaihah Karim,
Persatuan Nastia Youth Club.

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.