Saya masih ingat akan perkara yang membuatkan saya tertarik untuk membaca karya Nirnama. Watak utamanya yang pendiam, tidak banyak bercakap dan kebanyakan dialog dibantu oleh teman kembaranya; Sang Nadim, menjentik rasa ingin tahu akan cara penulis membawa watak utama sepanjang cerita, lebih-lebih lagi karya ini merupakan satu karya berdiri sendiri penulis yang paling tebal buat masa ini.

Klik untuk tempah buku!

Mengenang diamnya watak utama ini, saya tersenyum sendirian mengimbas memori kecil pada zaman universiti saya yang kebanyakan sahabat rapat saya dalam diam juga, menyukai lelaki yang pendiam. Bagi mereka, lelaki yang pendiam ini misteri. Misterinya mereka menjadikan mereka lain daripada yang lain; unik dan punya cara tersendiri. Mungkin sahaja saya sedang memahami perasaan mereka, tertarik dengan lelaki yang pendiam?

Kemisterian watak utama ditambah pula dengan tajuk karya ini; Nirnama sendiri sudah membuatkan rasa ingin tahu saya sebagai pembaca mendesak dengan begitu kuat. Syukurlah, saya, pacal yang hina ini diberi peluang untuk menikmati karya misteri ini sebagai pembaca awal. Jutaan terima kasih saya rakamkan kepada penulis atas ruang, peluang dan kepercayaan yang diberikan. Saya kongsikan beberapa daya tarikan yang terdapat dalam karya ini dan refleksi saya sedikit sebanyak usai membaca karya misteri ini sebagai pembaca awal.

Saya mulakan dengan refleksi peribadi saya dahulu. Apabila kita membaca apa-apa karya, baik fiksyen atau bukan fiksyen, pasti kita akan cuba mengaitkan kisah atau pengajaran yang terdapat dalam buku tersebut dengan realiti kehidupan diri kita. Sekiranya pembaca membaca lima bab awal karya Nirnama ini di Wattpad, pasti mereka dapat merasai betapa hancur dan luluhnya hati watak utama melihatkan kampung halamannya musnah dengan begitu teruk asbab dikatakan kesalahannya sendiri.

Saya mengikuti perkembangan watak utama ini, meskipun karya ini karya fiksyen, saya terpujuk dengan cara halus penulis bahawa proses penyembuhan memerlukan masa. Kadang kita mahu remuknya emosi kita segera dirawat, kesumatnya dendam kita segera dilunas dan hibanya air mata kita segera diseka agar kita dapat maju dalam kehidupan dengan cepat. Agar beban emosi yang kita pikul selama ini dapat kita leraikan, agar duka nestapa yang mencengkam diri kita pergi dengan segera dan agar segala mimpi-mimpi buruk, bisikan-bisikan halus dan bunyi-bunyi dalam diri terhapus, tidak lagi mengganggu keharmonian hidup yang kita dambakan.

Melalui karya ini, proses penyembuhan Nirnama mengambil masa yang cukup lama. Kadang kita kata, masa itu menyembuhkan. Dan benarlah, sememangnya masa itu satu ubat untuk hati yang terluka. Kita perlukan masa sebagai ubat, dan sudah tentu Allah sebagai penyembuh. Melalui ubat masa, Allah kurniakan kita ketenangan agar dapat menjemput kewarasan dalam pemikiran, meredakan gocakan hati kita yang ibarat usai dilanda ribut taufan yang maha dahsyat, membina semula satu demi satu kepercayaan yang selama ini teruji, didirikan semula tiang harapan dan keimanan serta diilhamkan kepada kita dengan cara pemikiran yang lebih jernih yang sentiasa mengajak kembali kepada Tuhan.

Semua ini sudah tentu selain ubat masa, persekitaran dan sistem sokongan yang banyak membantu, usaha serta kemahuan untuk keluar daripada buih dunia hidup kita sendiri, ialah doa yang bukan sekali dipanjatkan kepada Yang Maha Mendengar, Maha Mengetahui, Maha Menyembuh dan Maha Mengabulkan. Moga kita berubah bukan dengan acuan cara kita sendiri, namun  dengan bimbingan hidayah dan taufik-Nya, agar sekiranya mungkin kita tergelincir sekali lagi atau buat kesekian kali, kita akan terus gagahkan diri untuk bangkit kembali dengan meminjam kekuatan daripada Yang Maha Kuat.

Menelusuri karya Nirnama ini, kita bukan sahaja melihat kebangkitan kekuatan dalaman dan luaran watak utama yang meneladani tok gurunya, malah kita akan diajak untuk bangkit bersama dan memaksimum segala potensi diri pada tahap yang tertinggi. Menyerlahkan potensi diri untuk kebaikan diri dan manfaat orang ramai. Diamnya watak utama bukan diam yang enggan bersuara, membiarkan orang jahat berleluasa, namun dalam diamnya menyahut hadis bukan pula dengan mencegah kemungkaran dengan selemah-lemah iman, namun dengan lisan dan tangan yang ada pada dirinya.

Refleksi peribadi saya yang seterusnya adalah pada latar peristiwa dan suasana yang digambarkan oleh penulis melalui dua watak hitam iaitu Jagat Suci dan Putera Serapi. Babak yang dibawakan penulis melalui dua watak antagonis ini benar-benar menghidupkan dan menjadikan kita seolah-olah berada bersama di tempat tersebut.

Babak yang diketengahkan benar-benar menguji keimanan kita sebagai umat akhir zaman, menyaksikan sihir yang menyembuhkan penyakit yang melarat, haruman dan kekacakan yang memukau, sentuhan yang menukarkan barang menjadi harta bernilai benar-benar akan menggugat akidah dan menyentak prinsip dalam diri untuk kembali menilai diri; bermuhasabah apakah kita bersedia menghadapi fitnah akhir zaman yang ada kini dan semakin dekat serta besar dari hari ke hari?

Jika kita menyelak kisah Nabi Musa dan Firaun, kita akan bertanya pada diri, adakah kita akan memihak kepada Nabi Musa atau Firaun? Maka dalam kisah fiksyen Nirnama ini akan membuatkan kita berfikir, benarkah kita akan memihak kepada kebenaran apabila kebatilan seolah terlihat bagai yang benar? Kedua-dua kisah yang dibawa melalui kedua-dua watak ini menjadi satu titik tolak untuk saya mendengar kupasan ringkas dan lanjut mengenai sihir melalui segmen Ibrah di akaun IKIM.fm di YouTube, berkenaan Malaikat Harut dan Marut yang disampaikan oleh Ustaz Syaari Abdul Rahman.

Sebagai pembaca awal yang mengikuti kebanyakan karya tuan penulis, memulakan pembacaan karya Nirnama ini benar-benar memeranjatkan saya. Boleh digambarkan ibarat sekiranya saya seorang guru Bahasa Melayu yang begitu terkejut dan teruja melihat kemajuan besar dan cemerlang anak murid apabila memulakan pembacaan karya tanpa nama ini.

Saya melihat kemajuan penulis dari sudut bahasa khususnya bermula dari karya Hikayat Sateria-Sateria Sejati Empat dan membaca bab pertama karya Nirnama sudah cukup mengujakan. Laras bahasa yang mudah namun nilai estetika yang cukup tinggi. Rencaman peribahasa yang digunakan sesuai dengan konteks menyerikan pembacaan, menambah pengetahuan, dihiasi keindahan serangkap pantun pada awal setiap bab yang membawa makna tersirat bagi babak yang tersurat. Terasa bangga dan semangat jati darah anak Melayu menyerap dalam diri menikmati keindahan Bahasa Melayu yang diangkat tinggi martabatnya baik pada naratif mahupun dialog. 

Kemahiran penulis dalam menggunakan pelbagai teknik penulisan serta disulami unsur yang bervariasi menjadikan pembacaaan karya ini cukup rencah rasanya. Kritikan demi kritikan sosial yang diketengahkan penulis melalui karya ini kadang menjadikan senyum kecil saya tersungging, kerana dalam masa yang sama otak ligat berfikir akan isu semasa yang sedang berlaku; adakah penulis ingin mengkritik seseorang atau satu realiti peristiwa melalui babak khusus ini?

Seterusnya, watak dan peristiwa yang dinukilkan kadang memanggil memori pada zaman kanak-kanak mengenai pembacaan mitos dan lagenda Melayu. Kreativiti penulis dalam menggarap dan menyusun kepelbagaian mitos, lagenda dan unsur sejarah Tanah Melayu dalam bentuk fiksyen menghiburkan dan dalam masa yang sama memberikan pengajaran dengan makna yang tersendiri.

Mengatasi semua itu, sudah tentu nilai Islam yang dibawa penulis menawarkan solusi, membawa cara fikir yang jernih dan meraih kesederhanaan iaitu keseimbangan dalam hidup setelah kita memberikan yang terbaik dalam setiap sesuatu. Cara menata hati yang seringkali berbolak-balik, menepis tepi penyakit-penyakit hati yang mahu bertandang tetap dalam atma dan persoalan-persoalan kecil mahupun besar dalam kehidupan penulis rungkaikan dalam karya Nirnama.

Karya Nirnama ini menawarkan Islam sebagai penyelesaian, mengajak pembaca merangka minda syariah dalam melihat setiap isu serta membumikan teori pada praktikaliti, memerdekakan Islam daripada penjara ritual ibadah semata-mata dengan menjadikan seluruh kehidupan sebagai ibadah kepada Tuhan dengan prinsip shariah itu sendirilah kehidupan.

Secara peribadi, saya melihat kepekaan penulis dalam menilai semula dan sentiasa menambah baik kualiti karya-karya beliau dari masa ke masa. Penulis mengambil kira dengan serius kritikan membina, cadangan bernas dan pandangan para pembaca dan orang ramai mengenai karya-karya beliau.

Saya sendiri melihat kelainan dan nilai tambah yang diusahakan penulis dalam kemunculan karya beliau yang terkini baik dari segi persembahan fizikal naskhah buku tersebut dan juga kualiti konten naskhah itu sendiri. Begitu banyak ilustrasi yang disertakan bersama dalam karya Nirnama kali ini dan secara umumnya, saya akui ilustrasi tersebut sudah tentu mahal harganya melihat kualiti lukisan yang begitu teliti, kemas dan lebih menghidupkan pembacaan; benar-benar mewujudkan visual yang begitu kuat dalam minda.

Dari segi kualiti konten, penulis meraikan pendapat, pandangan dan cadangan pembaca-pembaca awal yang dipilih serta memastikan kesalahan tatabahasa, ejaan dan istilah diminimumkan sebaik mungkin dan saya sendiri akui, yang selebihnya merupakan kelemahan saya sebagai antara pembaca awal karya ini sendiri apabila gagal membantu dalam mengurangkan kesalahan dari sudut kesalahan ejaan khususnya.

Melalui karya Nirnama ini, penulis bukan sahaja menampilkan kualiti karya sebagai nilai yang dibayar oleh pembaca, namun mengikuti perkembangan karier penulis, penulis sendiri membumikan teori penulis dalam karya kepada diri penulis sendiri; disiplin diri yang tinggi, sentiasa mengislah diri dari semasa ke semasa dan sentiasa memberikan yang terbaik dalam setiap sesuatu yang diusahakan.

Saya sendiri terharu melihat kejayaan terkini penulis yang bakal menghampiri 10,000 naskhah tempahan dan insya-Allah lebih banyak lagi pada masa akan datang, mengingati ayat yang seringkali memujuk watak-watak dalam karyanya sendiri saat mereka lemah semangat, tidak berdaya meneruskan obor perjuangan bahawa Allah sesekali tidak akan memungkiri janji-Nya. Allah sentiasa bersama mereka yang sabar; kuat berusaha secara konsisten, memanjatkan untaian doa dari hati dan pada penghujungnya; meletakkan tawakal yang tinggi kepada Ilahi.

Mendepani pandemik yang begitu menyiat hati dalam dunia realiti hari ini, saya akhiri perkongsian saya bersama satu doa yang selalu penulis sertakan dalam kebanyakan karya beliau. Doa yang begitu indah, begitu menyentuh hati setiap kali saya membaca rangkap doa ini dalam situasi yang digambarkan penulis dalam karya-karyanya dan saya kira sangat cocok bagi situasi kita semua, menguatkan kesatuan kita semua dalam mendepani mehnah tribulasi yang menuntut perpaduan sesama kita sendiri: 

Ya Allah, Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihi-Mu,

Bertemu untuk mematuhi perintah-Mu,

Bersatu memikul beban dakwah-Mu,

Hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulat dan menyokong syariat-Mu,

Maka eratkanlah Ya Allah akan ikatannya,

Kekalkanlah kemesraan antara hati-hati ini pada jalannya,

Penuhkanlah hati ini dengan cahaya Rabbani-Mu yang tidak kunjung malap,

Lapangkanlah hati ini dengan limpahan keimanan dan keindahan tawakal kepada-Mu,

Hidup suburkanlah hati-hati ini dengan makrifah-Mu,

Jika Engkau mentakdirkan kematian maka matikanlah pemilik hati ini sebagai para syuhada

dalam perjuangan agama-Mu.

Engkaulah sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong.

Ya Allah, perkenankanlah permintaan ini.

Disediakan oleh,

Nur Balqis binti Mohd Badawi

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.