Ashurbanipal (juga disebut sebagai Assurbanipal dan Asurbanipal) merupakan seorang raja dari kerajaan Assyria yang memerintah pada 668 sehingga 627 BC. Pusat pemerintahannya adalah di Nineveh yang sekarang adalah Iraq. Nineveh merupakan pusat pemerintahan kerajaan Assyria yang merupakan empayar terbesar di dalam sejarah manusia. Ia meliputi seluruh kawasan Mediterranean ke Babylon. 

Bapa Ashurbanipal bernama Raja Esarhaddon. Beliau merupakan seorang raja yang sangat berkuasa dan paling berkuasa di dunia ketika itu. Beliau merupakan antara waris termuda keturunan raja yang mengasaskan dinasti Assyria. Raja Esarhaddon telah melantik Ashurbanipal menjadi putera raja Assyria pada Mei 672 manakala abang tirinya, Shamash-shum-ukin pula dilantik sebagai putera raja Babylon. Walaupun lahir dari keturunan yang sama, namun hubungan kedua-dua putera raja ini agak dingin dan ia berlarutan selepas kematian bapa mereka. 

Menjadi seorang putera raja ditambah dengan kesihatan Raja Esarhaddon yang semakin merosot, Ashurbanipal mempersiapkan dirinya untuk menggantikan bapanya. Beliau mendalami ilmu peperangan termasuk memanah, menunggang kuda dan segala kelengkapan sebagai seorang raja yang bakal memerintah empayar yang terbesar di dunia. Selain daripada ilmu peperangan, Ashurbanipal tidak terkecuali dalam mempersiapkan dirinya dengan ilmu pendidikan kesusasteraan. 

Oleh itu, Raja Esarhaddon telah melantik Balasi, seorang guru dan jurutulis terbaik di dalam kerajaan Assyria untuk mengajarkan Ashurbanipal ilmu mengenai seni penulisan dan kesusasteraan tinggi. Perlu diketahui bahawa pada masa itu, sistem tulisan dan kertas seperti yang ada kini masih belum wujud. Hanya mereka yang berkemahiran dan terpilih mampu menguasai ilmu penulisan di atas kepingan tablet yang diperbuat daripada tanah liat. 

Di dalam dinasti ini, jurutulis (scribes) pula dianggap sebagai golongan yang lebih berkuasa daripada raja. Ini kerana mereka mampu membaca dan menulis risalah ketuhanan yang melibatkan ramalan dan gambaran mengenai masa hadapan. Mereka akan menentukan segala tindakan yang akan diambil oleh raja melalui petanda-petanda yang dibaca oleh mereka. Sekiranya terdapat perkara yang tidak diingini berlaku kepada raja, mereka akan dipersalahkan. 

Hasil daripada didikan Balasi, Ashurbanipal menjadi seorang putera raja yang sangat hebat. Ashurbanipal berjaya menguasai segala ilmu kesusasteraan, penulisan dan ramalan-ramalan ketuhanan. Hal ini menjadikan beliau sebagai raja pertama di dalam empayar Assyria yang berjaya menguasai kesemua ilmu ini serentak. Selepas kematian Raja Esarhaddon dalam perjalanan ke Mesir, Ashurbanipal diangkat sebagai Raja Empayar Assyria yang baru pada 668 BC. Beliau menggunakan gelaran “Raja Semesta Alam” (King of the Universe).

Selepas mengambil alih pemerintahan bapanya, Ashurbanipal tidak meneruskan tradisi pemerintahan bapanya untuk turun ke medan perang. Sebaliknya perluasan kuasa empayar dilakukan secara kawalan melalui pemusatan pemerintahan di Nineveh. Ashurbanipal merupakan seorang raja yang taasub dengan bahan bacaan. Jika dibandingkan dengan zaman sekarang, beliau mungkin boleh dikategorikan sebagai ‘ulat buku’. Selain daripada meluaskan kawasan jajahan pemerintahannya, Ashurbanipal juga melantik beberapa orang jurutulis yang berperanan menyalin semula teks-teks purba yang terdapat di wilayah Uruk dan Babylon untuk dibawa pulang ke Nineveh. Tindakan beliau ini mirip seperti apa yang dilakukan oleh pemerintah Islam di Andalusia ketika era Umayyah iaitu dengan menyalin semula kitab-kitab ilmu daripada Greek ke Bahasa Arab. 

Ashurbanipal beranggapan penulisan adalah satu bentuk kuasa. Kuasa tidak hanya dipamerkan kepada musuh melalui kekuatan semata-mata tetapi juga melalui bakat penulisan dan pengumpulan tablet cuneiform (tulisan pepaku). Walau bagaimanapun, untuk mendapatkan teks-teks purba yang terdapat di Babylon, terdapat halangan besar yang perlu diharungi Ashurbanipal iaitu abang tirinya yang merupakan pemerintah di Babylon. Lebih merumitkan, kedua-dua wilayah Babylon dan Nineveh telah terheret di dalam krisis yang berpanjangan berikutan tindakan datuk mereka mengalihkan  patung Tuhan Marduk ke Nineveh. 

Abang tirinya, Shamash-shum-ukin tidak mengiktiraf Ashurbanipal sebagai raja yang sah. Namun Ashurbanipal tidak menggunakan kekerasan untuk mendapatkan apa yang diinginkannya. Sebagai alternatif, Ashurbanipal menggunakan orang tengah atau perantaraan untuk mendapatkan teks-teks purba dari Babylon dan sekitar wilayah Uruk. Walau bagaimanapun, hubungan yang tegang antara kedua-dua kerajaan ini akhirnya membawa kepada peperangan saudara. Ashurbanipal berjaya mengalahkan abangnya dan mengawal ketat wilayah Babylon.

Uniknya, Ashurbanipal tidak menghukum abangnya dan tawanan-tawanan perang Babylon dengan membunuh mereka. Sebaliknya, Ashurbanipal menggunakan kesempatan ini untuk mengumpul semua tablet lama yang terdapat di Babylon termasuk yang di dalam simpanan abangnya sendiri. Beliau juga membawa jurutulis Babylon secara paksaan bagi tujuan menyalin semula teks-teks tersebut. Ashurbanipal menyedari bahawa penulisan sangat berguna di dalam peperangan jangka panjang, pentadbiran dan transaksi ekonomi. 

Setelah berjaya memperolehi kesemua material yang diperlukan, Ashurbanipal membina sebuah perpustakaan yang besar dan baru di istananya di Nineveh. Perpustakaan baru ini dibina bagi melindungi tablet yang diperbuat daripada tanah liat itu untuk tidak mudah rosak dan tahan lebih lama. Ini kerana tablet yang diperbuat daripada tanah liat itu mudah rosak sekiranya Nineveh dilanda banjir. 

Ashurbanipal (Sumber: British Museum)

Perpustakaan yang dibina oleh Ashurbanipal ini mengandungi banyak tablet cuneiform (sejenis tulisan pepaku zaman purba). Buat pertama kalinya, Ashurbanipal menyusun koleksi tabletnya dengan cara yang sistematik. Setiap tablet yang di kumpul diklasifikasikan secara teliti dan setiap bilik mempunyai inventori koleksi tablet yang disimpan. Selain itu, Ashurbanipal mengasingkan tabletnya mengikut bidang seperti dokumen sejarah, teks ketuhanan dan ramalan, kalendar nasib  dan komentar mengenai bidang astrologi. Antara risalah yang sangat digemari beliau ialah Epic of Gilgamesh, sebuah epik zaman purba yang ditulis pada 2100 B.C.E. Secara khusus, Ashurbanipal telah membina sebuah perpustakaan yang mempunyai sistem pengurusan maklumat yang sangat tersusun seperti yang terdapat di zaman moden. 

Tidak lama selepas kematian Ashurbanipal, empayar Assyria tumbang dan keseluruhan wilayah Nineveh telah dimusnahkan. Perpustakaan yang menjadi kemegahan Ashurbanipal dibakar dan segala simpanan dan material yang diperbuat daripada kayu dan lilin musnah. Namun, menariknya, tablet yang diperbuat daripada tanah liat terselamat kerana tanah liat hanya akan rosak sekiranya dikenakan suhu yang sangat panas atau air. Tablet-tablet ini terbenam di dalam tanah selama lebih beberapa ribu tahun.

Akhirnya, pada tahun 1845, seorang diplomat dan ahli arkeologi Britain bernama Sir Austen Henry Layard telah menemui tinggalan perpustakaan ini yang tertanam di Mosul, Iraq. Beliau menjumpai kesan peninggalan sebuah bandar yang diperbuat daripada tanah liat termasuk dinding yang luas, bilik-bilik termasuk ukiran kepala manusia berbadan singa. Selain ukiran di dinding, beliau juga menemui kepingan-kepingan tablet tanah liat yang mengandungi tulisan kuno. Penemuan ini telah merintis jalan kepada pengkajian yang lebih besar terhadap dinasti Assyria. Layard membawa tablet-tablet tersebut ke London untuk dianalisa. Peninggalan sejarah ini kini disimpan di Muzium British di London. 

Menariknya, dalam salah satu kepingan tablet itu terkandung doa dan harapan Ashurbanipal mengenai masa hadapan:

Saya, Ashurbanipal, Raja Alam Semesta….menulis di atas tablet Kebijaksanaan Nabu…Saya meletakkannya…untuk masa hadapan di dalam perpustakaan.”

Mesejnya jelas, tulisan dan buku tidak akan mati dalam sejarah hidup manusia. Tulislah!


Mohammad Firdaus bin Zainal merupakan seorang penulis di Telagabiru, Hijjaz Records Publishing dan Ana Muslim. Merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan dari Universiti Sains Malaysia. Pernah berkhidmat di Bahagian Staf Perisikan Pertahanan, Kementerian Pertahanan Malaysia dan Eksekutif Senior Copywriter di sebuah syarikat swasta. Kini aktif menghasilkan karya non-fiksyen merangkumi bidang sejarah, tamadun Islam, Medieval dan Sains Politik. Antara karya yang telah dihasilkan dan masih dalam proses penerbitan ialah LGBT: Islam Bukan Fiksyen (Telagabiru Sdn, Bhd.), Muhammad Bukan Pendusta: Membongkar Fitnah dan Pembohongan Atas Nama Nabi Muhammad s.a.w (Hijjaz Records Publishing), Membongkar Manipulasi Israk Mikraj di alam Karya Agung Dunia Divine Comedy (Hijjaz Records Publishing), Al Quran & Manusia Melawan (PTS Sdn Bhd) dan Siri Ana Solehah (Ana Muslim). 

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.