Home Artikel Umum Politik yang Mengilmiyahkan Kebohongan

Politik yang Mengilmiyahkan Kebohongan

Jika dalam perang tipu daya diperbolehkan, jangan pula menganggap bahawa medan tempur politik adalah sejuzuk daripada perang untuk menghalalkan tipu daya. Walaupun sikap itu sangat berleluasa. “tidak ada musuh dan kawan yang akan kekal sejati dalam politik”. Hari ini kita berkawan, tidur berbantal lengan rakan juang, esok dah berantakan dah bercakaran sehingga calar balar, ungkit mengungkit, berperang yang jarang bergencatan. Kita masih mendamba, bermimpi akan lahirnya nuansa politik yang mengutuk kebencian, melawan pengkhinatan, bermaruah, mempertahankan prinsip.

Membaca Karya Politik tidak seberahi menatap bagaimana karya itu mengalasi watak-watak pelakunya. Saya sering ulangi dalam banyak forum, sebagai pemerhati kita boleh menggodam, membantai, membelasah orang politik secara lisan dan tulisan. Tetapi, sikap hormat dan meninggikan mereka tetap ada. Setidak-tidaknya atas satu alasan – keberanian. Ya mereka berani menghadapi sepak terajang dalam dunia realiti. Mereka berani menguruskan teori dan beraksi di lapangan amali. Mereka memindahkan teks ke dalam konteks. Menghadapi bagaimana pahit manisnya berhadap-hadapan dengan kawan dan lawan. Pemerhati yang marah-marah seperti kita boleh sahaja menembak seberapa banyak di dalam gelap, kemudian berpangku lengan, mendabik dada bahawa kitalah yang paling handal dan tahu bagaimana mencatur lalu lintas kebekuan lakon layar pementasan politik itu serba serbinya. Tapi, hebat manusia politik, serangan hendap di dalam gelap itu oleh para pembenci dihadapi oleh mereka di tengah terang. Tanpa berselindung. Caci maki, kata-kata kesat, ugutan dan ancaman di hadapi dengan berkubu di tengah-tengah terang. Saya tabik.

Tetapi, sebagai rakyat yang punya hak, setidak-tidaknya satu – bersuara. Apakah patut bungkam dan diam melihat, berdasarkan pertimbangan yang mungkin sesetengah orang melihatnya cetek, dangkal dan tidak popular melihat kebejatan moral yang melintasi pancaindera yang sejahtera dibiarkan dan dipertanya? Jika ada yang mengambil sikap itu, maka saya mohon berbeza.

 

Berkuasa 1000 tahun

Jika orang politik dipanjangkan usia, berkuasalah sampai 1000 tahun pun. Hiduplah bergentayangan di atas selang seli keperitan dan kecekalan rakyat. Tetapi, syaratnya sembunyikan segala tipu daya untuk berkuasa itu. Jangan ada sezarah pun yang dapat dilirik, diintai, dihidu oleh pancaindera rakyat. Tetapi, jika bukan sekadar tipu daya itu disembunyi, malah terang-terang dipentaskan, maka layaklah saya fakir yang hina ini untuk bertanya, dan merasa teraniya. Kami tidak punya kuasa dan suara yang garau. Hanya pena kontot ini yang diharap dapat menarikan kalam, melukiskan resah.

 

Adat Kalah

Dalam berpolitik yang penuh seni segala penipuan dan tipu daya ini satu perkara yang sedari awal harus orang politik patut bersedia adalah – untuk kalah. Kerana menang akan diuruskan oleh ramai penyorak, manakala kalah barulah sebenar-benarnya menguji batin, jiwa dan ketahanan juang. Jika baru kalah beberapa waktu, sedangkan telah berkuasa katakan 1000 tahun tetapi kita tidak sanggup menghadapi kesunyian tanpa nama, jawatan dan harta rakyat berlimpah ruah, lalu sanggup memintal jalan, mengintai tingkap, pintu belakang atau alang rumah untuk merompak masuk ke rumah rakyat, maka pesan kami di mana letaknya maruah? Dan kita dapat lihat, percaturan melarikan mandat rakyat itu dibuat dalam sunyi, berdiam-diam sehingga ketahuan juga oleh ramai kita.

 

Di Jual Tidak dimakan Beli

Ada sebuah kekayaan yang saya percayai sebagai harga yang menandakan ketinggian peribadi seseorang itu atau kelemahannya, iaitulah maruah. Dalam bekerja dia berusaha keras melunaskan tanggungjawab, beban tugas dengan saksama. Dia bergantung hidup pada usaha dan kemampuan dirinya, bukan melalui jalan pintas, membodek, mengampu, merasuah bos untuk naik memanjat nama dan pangkat. Orang itu bermaruah. Lebih bermaruah daripada manusia yang memperhias tubuhnya laksana orang yang beradab, menjaga pakaiannya supaya menampakkan diri terpuji, tapi hidup berpantang membeli. Hanya menjual maruah dengan harga yang sangat rendah, berpakat, berbahagi-bahagi, bertemasya meraikan pembelotan dan mengilmiyahkan kebohongan semata-mata untuk naik ke takhta dan kuasa.

Maruah itulah dijual tidak dimakan beli. Kepada orang yang berakhlak dan budiman, maruahnya itu tidak akan terbeli oleh harta segunung intan. Dia bekerja dan bertindak menurut lunas yang dia yakini, membangunkan sebuah budaya politik yang melawan kebencian, taksub dan perpuakan, melihat lawan dan kawan sebagai rakan pesaing politik yang dibezakan hanya oleh satu – nilai, hujjah, dan hasil kerja. Bukan pada rupa dan warna baju dan warna kepercayaan. Kita boleh bekerja dalam kemajmukan, menjadikan ia medan yang sangat baik untuk menyampaikan mesej apa yang kita yakini dan Imani dalam hidup – dakwah, islah, atau nilai sejagat. Pentas ini terbuka untuk bersaing berdasarkan merit. Jalani ia dengan wadah yang betul.

 

Dahan Politik

Kita patut bersimpati kepada manusia yang meletakkan tali pergantungannya dalam hidup yang dipenuhi gelombang ini pada dahan politik. Keselamatan, kesejahteraan hidupnya di dunia dan akhirat digantung pada dahan politik. Jika ini ditanamkan dalam ‘itiqad hidupnya, kemalangan apakah yang telah menimpa?

Sepatutnya yang perlu kita gantungkan adalah kekuatan jati diri kita yang sebenar-benarnya. Tanpa perlu memomokkan sehingga setakut-takutnya kemerdekaan kita akan tercabut hanyasanya melalui politik. Ini sebuah kesilapan yang patut diinsafi. Jika tuan takutkan syaitan, kuatkan iman. Jika takutkan gagal, berusahalah keras, rajin belajar. Jika takut miskin, rajinlah berbuat usaha dan memberi (orang yang banyak memberi tidak akan miskin). Mana mungkin takutkan gagal, dibunuh peperiksaan itu.

 

Rakyat Kebanyakan

Saya cumalah rakyat kebanyakan. Tidak pernah barang sekali mengisi borang keahlian parti politik. Bahkan menghadiri program politik jauh sekali, sering saya hindari. Apalagi mengisi tempat sebagai pembesar kerajaan. Cumalah seorang rakyat biasa. Pembaca budiman boleh sahkan, siasatlah. Saya tidak pernah tertarik berparti. Parti saya adalah persaudaraan ; atas ukhwah islamiyyah dan kemanusiaan, dengan panduan nilai agama yang saya imani. Menyebarkan rahmah melalui bakti. Saya bercakap hanya sekadar pandangan orang bono yang tidak memakai mana-mana mazhab politik, tetapi setia menjadi pembaca dan pemerhati. Saya hormati rakan-rakan yang berpartisipasi dalam politik. Mereka ada kekuatan yang tidak ada kepada para penggodam yang hanya tahu mencarut, memaki dan menghamun orang politik kononnya semuanya salah. Saya tidak begitu. Saya cuma minta dengan baik, marilah tegakkan budaya politik yang sihat dan bersih. Menang dan kalah secara bermaruah. Menghapuskan kebencian dan sengketa, jangan memakai dogma dalam lisan dan tulisan untuk memupuk ketakutan rakyat, supaya mereka bergantung harap dan tuan-tuan politik mendapat untung kerusi dan kuasa.

Cukuplah api sentimen warna kulit dan dogma itu dikebumikan dalam lahad yang menjadi peringatan. Jangan dikambus lagi. Tidak kiralah daripada blok kerajaan atau pembangkang. Janganlah tuan berfikir dengan melaga-lagakan rakyat tuan akan menjadi penguasa mutlak sampai 1000 tahun. Kerosakannya lebih hebat. Kita dianjurkan oleh agama untuk dialog, bincang dan berdebat dengan mereka yang berseberangan, bukan dengan meniup-niup api kebencian. Melawan tipu daya yang terang lagi bercahaya. Menang atau kalah, hidup kekal bermaruah.

 

Oleh: Muhamad Hanapi b. Jamaludin, Rakyat Bono (biasa).

Related Post

Leave a Reply

Copy link
Powered by Social Snap