Mungkin sebahagian kita pernah mendengar mengenai pertukaran nama asal seseorang yang memeluk Islam kepada nama Islam dan nama bapa kepada Abdullah atau bin/binti Abdullah. Hal ini menyebabkan sebahagian masyarakat kita beranggapan apabila seseorang memeluk Islam dia perlu menukar nama asalnya dan juga nama bapa kandungnya. Sebagai contoh, Chin Mei Ling dengan rela hati memeluk Islam lalu namanya ditukar menjadi Mei Ling binti Abdullah atau ditambah nama dalam Bahasa Arab menjadi Nur Milah binti Abdullah.

Perkara ini telah berlaku sejak sekian lama sehinggakan menjadi kebiasaan atau budaya apabila seseorang memeluk Islam nama ditukar kepada nama Islam yang berbunyi bahasa Arab dan nama bapa ditukar kepada Abdullah.

Persoalannya, adakah perlu menukar nama asal menjadi nama Islam? Adakah perlu nama bapa kandung ditukar kepada Abdullah?

Ramai di kalangan masyarakat kita pada hari ini beranggapan bahawa nama Islam adalah nama dalam bahasa Arab walaupun pada hakikatnya nama Islam adalah nama yang mempunyai makna yang baik. Ia tidak semestinya dalam bahasa Arab sahaja, dalam bahasa apa pun boleh digunakan asalkan mempunyai makna yang baik. Contohnya, seorang pendakwah yang dihormati di Malaysia Bernama Lim Jooi Soon. Beliau berbangsa Cina dan mengekalkan nama asalnya selepas memeluk Islam. Selagi mana nama asal seseorang itu tidak mempunyai makna yang buruk maka boleh dikekalkan.

Tidak ada kewajiban untuk menukar nama apabila memeluk Islam melainkan nama itu membawa maksud yang tidak baik. Sebagai contoh, Imam Al Bukhari merekodkan dalam kitabnya mengenai sebuah hadis Nabi Muhammad SAW:

عَن أبي هُرَيْرَة أَن زَيْنَب كَانَ اسْمهَا برة فَقيل تزكي نَفسهَا فسماها رَسُول الله صلى الله عَلَيْهِ وَسلم
Maksudnya: Daripada Abu Hurairah. Bahawasanya pada asalnya nama Zainab ialah Barrah, maka dikatakan kepadanya “engkau memuji diri sendiri” maka Rasulullah SAW pun menukarkan namanya kepada Zainab.

Nama orang yang menganut Islam sekiranya namanya itu mengandungi maksud yang tidak baik maka perlu ditukar kepada nama yang mengandungi makna baik, seperti Nabi Muhammad SAW menukar nama Barrah kepada Zainab kerana nama Barrah itu tidak elok.

Mengenai penukaran nama bapa kandung kepada Abdullah, realitinya hal ini bukan daripada ajaran Islam tetapi merupakan budaya tempatan di Malaysia dan kesalahan ini perlu diperbetulkan.

Anutan agama seseorang itu sudah pasti tidak akan mengubah nasab keturunannya. Apabila seorang Cina atau India menganut agama Islam, bapa atau keturunannya tetap sama.
Kepercayaan seseorang itu boleh berubah akan tetapi keturunan tidak akan boleh diubah.
Sepatutnya dikekalkan nama bapa atau keturunan walaupun maknanya mungkin tidak elok. Dalam Kitab Riyadhus Solihin ada menyebutkan mengenai nama seorang sahabat Nabi Muhammad iaitu Amirul Mukminin Umar bin al-Khattab bin Nufail bin Abdul Al-Uzza.

Abdul Al-Uzza membawa maksud hamba kepada sembahan berhala bernama Uzza.
Dalam konteks ini, kita dapat memahami bahawa nama bapa atau keturunan itu dikekalkan walaupun mempunyai makna yang tidak baik. Ajaran Islam melarang keras untuk mengubah nasab atau mengubah nama bapa dan keturunan. Sabda Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas dalam kitab Sunan Ibn Majah:

مَنِ انْتَسَبَ إِلَى غَيْرِ أَبِيهِ , أَوْ تَوَلَّى غَيْرَ مَوَالِيهِ ، فَعَلَيْهِ لَعْنَةُ اللهِ وَالْمَلاَئِكَةِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ
Maksudnya: ” Sesiapa yang memanggil seseorang dengan selain nama ayahnya atau selain dari maulanya maka ke atasnya laknat Allah, para malaikat dan manusia seluruhnya:”

Islam tidak mengajar manusia untuk memutuskan hubungan kekeluargaan. Malah Islam amat menjaga hubungan antara keluarga walaupun berbeza kepercayaan.


Disediakan oleh: Marcellus Mourine


Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.