Pengenalan dan kesan perkahwinan kanak-kanak di bawah umur

Apakah yang dimaksudkan dengan perkahwinan kanak-kanak atau perkahwinan di bawah umur?

The United Nation Children’s Fund (UNICEF) mendefinasikannya sebagai

“a formal marriage or informal union before eighteen years old.”

Satu lagi definisi diberikan oleh Inter-African Committee (IAC) pada tahun 1993 iaitu

any marriage carried out below the age of 18 years, before the girl is physically, physiologically and psychologically ready to shoulder the responsibilities of marriage.” 

Dapatlah dikatakan bahawa maksud perkahwinan di bawah umur atau perkahwinan kanak-kanak ialah perkahwinan di mana pihak yang terlibat adalah di bawah umur lapan belas tahun.

Perkahwinan yang melibatkan kanak-kanak sebenarnya bukanlah satu perkara  baharu di Malaysia. Melalui pendedahan media sosial, isu ini pernah menggemparkan negara pada tahun 2018 apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia sebelas tahun yang merupakan rakyat Thailand dilaporkan berkahwin dengan seorang lelaki berusia empat puluh satu tahun dari Gua Musang, Kelantan atas faktor kemiskinan keluarga. Perkahwinan tersebut dijalankan di Thailand.

Pendedahan ini menimbulkan pelbagai polemik di kalangan masyarakat. Banyak aspek pro dan kontra diperdebatkan pada masa itu. Bagi yang menyokong perkahwinan bawah umur, khususnya di kalangan orang Islam, sering merujuk kepada perkahwinan Rasulullah SAW dengan Aishah r.a yang dikatakan berumur enam tahun sebagai justifikasi. 

Walaupun justifikasi, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat banyak kesan negatif daripada perkahwinan bawah umur sebegini. Perkahwinan ini akan mendatangkan kesukaran kepada kanak-kanak untuk meneruskan pendidikan dan seterusnya memperolehi peluang pekerjaan yang baik pada masa depan.

Kanak-kanak yang memasuki alam perkahwinan secara statistik telah dibuktikan akan mengalami masalah untuk meneruskan pendidikan meraka atas faktor keterikatan kepada keluarga, lebih-lebih lagi jika mengandung dan melahirkan anak. 

Kanak-kanak perempuan yang berkahwin ini juga terdedah kepada pelbagai komplikasi kesihatan hasil dari kehamilan di awal usia. Berdasarkan rekod World Health Organization (WHO), komplikasi semasa kehamilan adalah menyumbang faktor kedua terbanyak kepada kematian remaja bawah umur, iaitu anta umur 15 hingga 19 di peringkat global.

Perkahwinan ini juga menjadi faktor seseorang kanak-kanak terdedah kepada penderaan fizikal dan seksual. Semua kesan ini harus kita ambil perhatian yang serius, demi kesejahteraan dan kebaikan kanak-kanak itu sendiri. 

Definisi “Kanak-kanak” menurut undang-undang Malaysia

Siapakah yang dimaksudkan sebagai “kanak-kanak” menurut peruntukan undang-undang di Malaysia?

Seksyen 2(1) Akta kanak-Kanak 2001 [Akta 611] antara lain mendefinisikan “kanak-kanak” ialah seseorang yang berumur di bawah lapan belas (18) tahun. Definisi ini juga selaras dengan Convention on the Rights of the Child (CRC) yang diratifikasi oleh Malaysia dengan beberapa pengecualian (reservations). Article 1 CRC menyatakan “for the purposes of the present Convention, a child means every human being below the age of eighteen years unless under the law applicable to the child, majority is attained earlier.”

Berdasarkan peruntukan undang-undang ini, nyata kepada kita bahawa di Malaysia, seseorang yang umurnya di bawah lapan belas tahun adalah dianggap sebagai seorang “kanak-kanak” atau dengan kata lain, masih di bawah umur menurut undang-undang.

Kita mungkin keliru dengan beberapa istilah lain yang lebih rapat dengan kita seperti remaja dan seumpamanya. Lebih-lebih lagi dalam konteks hukum hakam Islam, seseorang yang telah mencapai aqil baliqh dianggap telah mampu menerima tanggungjawab daripada aspek ibadah seperti solat, puasa dan seumpamanya. Banyak amal ibadah dalam Islam menetapkan aqil baliqh dan kesempurnaan akal sebagai salah satu syarat yang menentukan sah atau tidak satu-satu ibadah termasuklah pernikahan.  

Perkahwinan kanak-kanak Islam menurut undang-undang keluarga Islam di Malaysia

Semua undang-undang keluarga Islam di Malaysia memperuntukkan umur minimum untuk berkahwin bagi lelaki ialah lapan belas (18) tahun dan enem belas tahun untuk perempuan. Namun begitu, perkahwinan di bawah umur di atas masih boleh dijalankan sekiranya mendapat kebenaran Hakim Syarie dalam keadaan tertentu dalam setiap permohonan. 

Sebagai contoh, Seksyen 8 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 [Akta 303] memperuntukkan bahawa “tiada suatu perkahwinan boleh diakadnikahkan di bawah Akta ini jika lelaki itu berumur kurang daripada lapan belas tahun atau perempuan itu berumur kurang daripada enam belas tahun kecuali jika Hakim Syarie telah memberi kebenaran secara bertulis dalam hal keadaan tertentu.”

Berdasarkan peruntukan ini, kanak-kanak perempuan Islam bawah umur lapan belas tahun boleh berkahwin tanpa memerlukan keizinan Hakim Syarie. Tapi harus diingat, kanak-kanak perempuan itu mesti berumur lebih dari enam belas tahun. Jika umur kurang dari enam belas tahun, masih boleh berkahwin dengan keizinan Hakim Syarie.

Berdasarkan peruntukan ini sahaja, jelas kepada kita bahawa perkahwinan kanak-kanak di Malaysia bagi orang Islam adalah dibolehkan dalam keadaan tertentu setelah mendapat kebenaran bertulis oleh Hakim Syarie. Apakah yang termasuk dalam keadaan tertentu itu?

Berdasarkan dapatan daripada beberapa soal selidik, antara sebab berlakunya perkahwinan yang melibatkan kedua pasangan atau salah seorang daripada pasangan ialah seorang yang di bawah umur antaranya  ialah;

  • Pemohon tidak berminat untuk meneruskan persekolahan dan mahu terus berkahwin atas dasar suka sama suka.
  • Pemohon tidak mahu berkawan dengan pasangan terlalu lama hingga menyebabkan berlakunya maksiat, mempunyai pasangan berkemampuan untuk menjaganya, telah terlanjur atau mengandung, masalah keluarga, tekanan ekonomi dan pergaulan bebas yang sukar dikawal dan sebagainya.

Berdasarkan peruntukan undang-undang di atas yang terpakai kepada orang Islam, jelas bahawa umur minimum untuk berkahwin telah ditetapkan.

Perkahwinan di bawah umur minimum tetap dibenarkan dalam keadaan tertentu yang akan diputuskan oleh Hakim Syarie, berdasarkan fakta dan keperluan setiap permohonan.

Memang terdapat gesaan untuk mengharamkan terus perkahwinan bawah umur ini di kalangan orang Islam. Tetapi cadangan ini memerlukan banyak penelitian, lebih-lebih lagi ianya melibatkan hukum agama yang tidak boleh disentuh sewenang-wenangnya oleh kerajaan.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), jumlah permohonan perkahwinan bawah umur sentiasa mengalami peningkatan setiap tahun dan bagi tahun 2017, terdapat sebanyak 5362 permohonan. 

Apa yang boleh dipertimbangkan ialah, cadangan untuk menambah baik prosedur permohonan perkahwinan bawah umur sedia ada. Had umur minimum perkahwinan sedia ada bagi orang Islam dan kuasa Hakim Syarie membenarkan perkahwinan bawah umur dikekalkan dengan prosedurnya diperketatkan. Had umur minimum sedia ada juga boleh dicadangkan untuk dipertingkatkan .

Antara faktor yang perlu diperhalusi bagi setiap permohonan perkahwinan bawah umur ialah; perkahwinan atas kerelaan sendiri, mendapat persetujuan ibubapa/penjaga, latar belakang pemohon, kemaslahatan pemohon dari pelbagai aspek, kesihatan seksualiti atau reproduktif, kefahaman tehadap makna perkahwinan dan sekufu. 

Perkahwinan kanak-kanak orang bukan Islam di Malaysia

Akta yang berkaitan ialah Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 [Akta 164]. Seksyen 10 Akta ini memperuntukkan “Mana-mana perkahwinan yang berupa sebagai diupacarakan di Malaysia adalah tidak sah jika pada tarikh perkahwinan itu salah satu daripada pihak-pihak berumur di bawah lapan belas tahun melainkan jika, bagi seseorang perempuan yang telah genap umur enam belas tahun, pengupacaraan perkahwinan itu telah dibenarkan oleh suatu lesen yang diberi oleh Ketua Menteri di bawah subseksyen 21(2).”

Dari peruntukan ini juga jelas bahawa umur minimum untuk berkahwin bagi lelaki bukan Islam ialah lapan belas  tahun. Manakala genap enam belas tahun bagi perempuan, sama seperti had minimum umur berkahwin bagi orang Islam.

Apa yang membezakannya ialah, jika ingin melangsungkan perkahwinan bawah umur seperti yang telah ditetapkan iaitu lapan belas tahun, lesen kebenaran hendaklah diperolehi dari Ketua Menteri di bawah Seksyen 21(2) Akta sama.

Seksyen ini menyatakan, “Ketua Menteri boleh menurut budi bicaranya, memberikan suatu lesen di bawah seksyen ini membenarkan pengupacaraan sesuatu perkahwinan walaupun pihak perempuan kepada perkahwinan itu berumur di bawah lapan belas tahun, tetapi dalam apa-apa hal pun tidak boleh memberikan lesen itu sebelum perempuan itu berumur genap enam belas tahun.” 

Daripada peruntukan di atas, dapat diringkaskan bahawa perkahwinan bukan Islam boleh dijalankan dengan lesen oleh Ketua Menteri jika pasangan adalah berumur sekurangnya lapan belas tahun dan bagi perempuan, hendaklah mesti genap enam belas tahun. Perkahwinan adalah tidak boleh dilakukan bagi perempuan di bawah umur enam belas tahun. Pasangan bukan Islam yang berumur bawah dua puluh satu tahun yang ingin berkahwin memerlukan persetujuan bertulis dari ibu bapa, dan seumpamanya berdasarkan peruntukan seksyen 21 (1) Akta yang sama.

Berdasarkan penjelasan di atas, dapatlah dikatakan bahawa Akta 164 lebih ketat dalam soal perkahwinan kanak-kanak di bawah umur bagi pasangan bukan Islam. Kanak-kanak perempuan yang belum mencapai umur genap enam belas tahun tidak dibenarkan berkahwin. Perkahwinan yang dijalankan mengikut adat juga adalah dikawal selia Akta ini seperti dinyakan dalam seksyen 4. 

Polisi kerajaan terkini berkaitan perkahwinan kanak-kanak

Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur dilancarkan pada 16 Januari 2020 bagi menangani punca perkahwinan bawah umur di peringkat akar umbi. Timbalan Perdana Menteri pada waktu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata pelan ini merangkumi tujuh objektif, 17 strategi dan 58 program dan sudah dirangka sepanjang pelaksanaannya dalam tempoh lima tahun akan datang iaitu sehingga tahun 2025. 

Berdasarkan Laporan Akhbar Berita Harian pada tarikh tersebut, enam punca perkahwinan bawah umur adalah kemiskinan; kekurangan atau ketiadaan akses kepada Pendidikan Kesihatan Reproduktif; kekurangan akses kepada pendidikan; kelonggaran undang-undang yang memperuntukkan permohonan berkahwin di bawah 18 tahun; stigma masyarakat bahawa perkahwinan pilihan terbaik menyelesaikan masalah dan kekurangan penyelarasan data perkahwinan dan perceraian bawah umur.

Punca ini akan ditangani melalui perubahan dasar, penambahbaikan perundangan dan pelaksanaan program serta aktiviti kesedaran.

Timbalan Perdana Menteri juga menjelaskan, program yang dirangka ini bertujuan meningkatkan kesedaran, mengubah persepsi serta stigma yang sering dikaitkan dengan isu perkahwinan bawah umur dalam kalangan masyarakat. 

Antara langkah dalam  program ini ialah dengan menaikkan had umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun bagi kanak-kanak perempuan dan menyediakan perkhidmatan kesihatan reproduktif diri yang mesra kanak-kanak.

Selain itu, melalui pelan berkenaan ia turut menawarkan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) dan kemahiran kepada kanak-kanak atau belia yang tercicir daripada pendidikan serta memantapkan data perkahwinan dan perceraian bagi orang Islam dan bukan Islam termasuk di bawah umur 18 tahun.

Pelan itu akan dipantau keberkesanannya melalui penubuhan Jawatankuasa Pemandu Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur di Malaysia yang mana keahliannya akan dipilih daripada pihak berkepentingan sesuai mengikut peranan masing-masing.

Di bawah pelan ini juga, empat peruntukan undang-undang berkaitan perlu dipertimbangkan semula. Undang-undang itu adalah Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 [Akta 303] serta Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam di negeri-negeri, Seksyen 10 Akta Membaharui  (Perkahwinan dan Perceraian)1976 [Akta 164], undang-undang Adat Sabah dan Sarawak serta hal ehwal pentadbiran adat Orang Asli di bawah Aka Orang Asli 1954 [Akta 134].

Diharapkan agar pelan ini diteruskan oleh kerajaan semasa sehingga mencapai objektifnya pada masa yang dirancang. Tindakan mengharamkan terus perkahwinan bawah umur di Malaysia sama ada melibatkan orang Islam atau bukan Islam bukanlah sesuatu yang mudah berdasarkan banyak faktor seperti agama dan sosio-budaya masyarakat pelbagai kaum termasuk  suku kaum pribumi di Sabah dan Sarawak.

Apa yang perlu dipentingkan ialah, kebajikan kanak-kanak haruslah diberi pertimbangan utama bagi memastikan setiap dari mereka mendapat peluang yang sewajarnya untuk meningkatkan potensi diri dan mencapai kejayaan dalam kehidupan, tanpa menafikan kepentingan insitusi perkahwinan yang sejahtera apabila tiba waktu yang sesuai. 

Kesimpulan

Jika perkahwinan di bawah umur ini diharamkan secara terus dan dibuat dengan tergesa-gesa, ianya akan melanggar prinsip keadilan dan kemanusiaan. Kita akan menafikan hak dan pilihan setiap individu untuk berkahwin.

Pendekatan drastik sebegini juga sebenarnya akan merumitkan lagi keadaan bagi pasangan terlanjur dan ingin mengesahkan hubungan di sisi undang-undang. Nasib yang sama turut menimpa pasangan yang menerima kelahiran anak luar nikah kerana larangan perkahwinan bawah umur lantas tidak diiktiraf sebagai unit keluarga yang sah. Belum dikira lagi konflik yang akan timbul dari aspek agama, adat dan budaya rakyat Malaysia yang rencam dengan kepelbagaian.

Perundangan sedia ada sama ada bagi orang Islam dan orang bukan Islam di Malaysia pada asasnya telah memadai dengan meletakkan had umur minimum untuk berkahwin. Dalam keadaan perkahwinan perlu juga dijalankan bagi kanak-kanak di bawah umur ditetapkan, kebenaran Hakim Syarie dan Ketua Menteri adalah diperlukan.

Cara menangani perkara ini secara berhemah ialah dengan menambah baik daripada aspek prosedur dan mengetatkan syarat permohonan perkahwinan bawah umur. Langkah ini bagi memastikan dalam keadaan kes yang sangat memerlukan sahaja, permohonan boleh diluluskan. Sudah semestinya dengan mengambil kira aspek kepentingan kanak-kanak itu sendiri berbanding kepentingan yang lain.

Usaha menyeluruh dengan kerjasama pelbagai pihak di peringkat persekutuan mahupun negeri, kerajaan ataupun badan bukan kerajaan, isu perkahwinan bawah umur dapat ditangani dengan baik dan rasional tanpa dipengaruhi oleh emosi serta sebarang perasaan prejudis terhadap pelbagai pihak yang terlibat dalam isu ini.

Disediakan oleh,

Haslamizan Maliki

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.