Di kawasan belakang bangunan fakulti sains kesihatan. Pukul enam setengah petang.

Amar menolak lembut pintu common room pelajar yang terletak bersebelahan exam hall fakulti mereka. 

Bilik itu kelihatan kosong. 

“Penatnya hari ni, kelas dari pagi sampai petang.” Keluh Amar perlahan.

Ruangan bilik ini yang luas sesuai untuk mana-mana pelajar datang untuk melakukan perbincangan, mesyuarat atau sekadar melepaskan lelah dan berehat sebentar selepas tamat kelas mereka pada sesi petang. 

Menariknya ruangan bilik ini  mempunyai dua pendingin hawa. Sangat nyaman. Dan juga terdapat banyak meja bulat yang dikelilingi  kerusi-kerusi untuk pelajar duduk. Cukup sempurna untuk berehat di sini. 

Baru sahaja Amar hendak duduk meletakkan beg di meja paling hadapan sekali, dia mengalihkan pandangannya ke meja yang terletak di belakang sekali. Sangkaan bahawa bilik itu kosong ternyata silap kerana dia dapat melihat seorang pelajar lelaki di belakang. Kedua-dua pendingin hawa telahpun dipasang.

Kelihatan sahabatnya, Irfan sedang duduk jauh termenung. Berseorangan.

 “Sampai Kanada dah agaknya dia termenung tu.” Getus hati Amar. 

 Amar melangkah keluar perlahan selepas meletakkan begnya di atas salah satu meja dan menghala ke vending machine yang terletak bersebelahan common room itu.

Selepas itu, Amar masuk semula dan terus mendekati sahabatnya, Irfan yang masih tidak menyedari kehadirannya di situ. Amar mengambil keputusan untuk menegur sahabatnya dari lamunan yang panjang.

“Fann! Haa termenung apa jauh-jauh tu, teringat jodoh ke? Hahaha!” Sapa Amar dari belakang, ceria.

“Eh? Oh Am kauuuu hahahaha. Tiada apa-apa. Kelas kau dah habis ,eh?” Soal Irfan yang agak terkejut dengan sapaan secara mengejut sahabatnya tadi.

“Haha ya. Betul ke tak ada apa-apa? Kau ingat aku baru kenal kau semalam? Jarang waktu-waktu macam ni kau singgah bangunan fakulti ni. Lagi-lagi tempat macam ni. Kelas kau dah habis kan pagi tadi?” Terang Amar melihat sahabatnya itu.

By the way, nah air kopi ni. Aku terlebih beli pula tadi. Kau suka kopi ni kan?” Tambah Amar.

“Hmmm, tak berjaya aku tipu kau, eh?” Soal Irfan sambil mengambil tin Wonda Coffee yang dibeli oleh Amar sebentar tadi.

“Haha, walaupun kita berlainan fakulti, aku dah hafal jadual kau. Kadang-kadang aku yang remind esok kau kelas apa semua tu, kan?” Terang Amar.

“Haha, hmmm…entahlah, aku penat.” Irfan menjelaskan. Air kopinya kemudian dihirup perlahan sambil pandangan matanya diredupkan dan dihalakan ke tengah meja.

“Penat?” Amar mengalihkan wajahnya ke arah sahabatnya sambil membuka tin air teh segeranya.

“Yep. Entahlah, Am. Aku penat kejar expectation orang. Orang yang tidak hargai kita, orang yang mudah ambil keputusan untuk menghakimi keputusan kita. Tanpa mereka sedar, banyak yang kita sendiri korbankan secara peribadi untuk mereka.” Irfan menerangkan panjang lebar. Air kopi tadi kembali diteguk perlahan.

Amar sekadar mengangguk perlahan. 

“Banyak rupanya yang sahabat aku sedang lalui ni.” Perlahan Amar bermonolog sambil memandang sahabatnya itu.

“Aku…..aku penat hidup macam ni, Am.” Irfan menambah perlahan.

“Hmmmm… tough juga pengalaman kau sekarang ni, Fan. Aku tak tahu apa dah jadi tapi yang aku tahu orang-orang tu tak patut layan kau macam tu and kau berhak dapat layanan yang lagi baik dari semua itu. Aku kenal kau. Aku tahu apa kau buat. Masa untuk kau sendiri pun kau guna untuk orang lain. Sejujurnya, aku pun pelik apa sebenarnya yang jadi motivasi diri kau untuk terus buat macam tu. Seolah-olah kau dah wakafkan diri kau untuk orang lain, Fan.” Amar menambah kemudian kembali meneguk airnya perlahan.

“Aku tak tahu, Am. Aku..aku dah hilang semua motivasi aku, Am……aku mula rasa aku ni tak ada fungsi langsung…..langsung tak mampu….untuk bagi…manfaat.” Irfan menjelaskan apa yang dirasa olehnya sejak akhir-akhir ni. Matanya dipejam sambil kedua-dua tangannya ditekup ke muka.

Bahu Irfan dipegang perlahan. “Fan, aku ada kat sini. Kawan-kawan kau semua kenal kau dan tahu apa yang kau buat. Kau sangat cemerlang dan aktif kot. Sana-sini kau pergi walaupun kau masih sedang belajar.” Amar menjelaskan kepada sahabatnya.

“Aku..aku ingat lagi apa kau cakap mula-mula kat aku sewaktu kita mula-mula kenal dalam sesi orientasi siswa dulu. Kau ingat lagi?” Soal Amar kepada sahabatnya.

“Apa dia?” Kali ini, Irfan pula yang menyoal.

“Jangan terlalu lama kejar perhatian insan. Nanti kita akan penat. Tujuan utama kita hidup ni adalah untuk buktikan yang kita ni mampu jadi yang terbaik di depan penilaian Tuhan. Perhatian Tuhan itulah objektif kita, itulah keutamaan kita, bukan insan. Daripada Irfan Malik, tahun 2018. Siap citation lagi aku bagi ni, Fuh.” Amar menjawab panjang lebar.

“Aku….Aku tahu tu….aku…tahu…” Balas Irfan perlahan sambil mutiara-mutiara jernih kelihatan laju mengalir di pipinya.

Amar tahu dia sewajarnya membiarkan sahaja sahabatnya. Amar terus menepuk belakang sahabatnya dengan perlahan sambil membiarkan masa berlalu dengan esakan kecil sahabatnya.

“Terlalu banyak yang dilalui oleh kau rupanya, sahabat. Aku doakan agar segalanya dipermudahkan untuk kau, Fan. Allah uji sebab kau mampu. Allah uji sebab Dia tahu kau perlu.” Amar bermonolog dalam hatinya lagi. Matanya diredupkan ke arah sahabatnya tadi.

“Jom, malam ni aku belanja makan.” Amar memberikan cadangan setelah beberapa minit dibiarkan sahaja sahabatnya tadi melepaskan segalanya.

Irfan terus diam.

“Ada satu kedai menu western sebelah Secret Recipe tu kau dah lama nak rasa, kan? Aku nampak Whatsapp story kau sebelum ni. Kau tulis kau nak makan kat situ tapi tak ada orang nak belanja. Jomlah, bosan kalau aku pergi sana makan seorang diri sahaja. Nanti orang ingat aku ni sendu dan tak berkawan dengan orang. Jom teman aku.” Amar menambah cadangannya tadi.

“Hishhh, malunya aku keluar air mata depan kau. Hilang macho aku.” Irfan seakan akan kembali ditarik ke realiti semula dan segera mengesat air mata dengan jaket kampusnya. 

“Kedai tu, kita nak pergi sekarang ke?” Irfan tambah sambil menyoal. Air tin tadi segera diteguk sehingga habis.

“Amboi, ingat percuma kee? Kau kena teman aku selesaikan urusan aku dekat pusat pelajar dahulu. Lepastu kita pergi makan. Jom kemas barang kau semua ni.” Amar menjawab selamba.

“Hmm, yelah..by the way Am.. thanks.” Kata Irfan sambil mula mengemaskan barang-barang di atas mejanya.

Thanks? Sebab apa?” Amar menyoal sahabatnya kerana agak keliru.

“Thanks sebab jadi sahabat aku.” Balas Irfan ringkas.

“Buat drama korea pula mamat ni. Apa fungsi aku sebagai sahabat kau kalau bukan untuk ada bila-bila kau perlu, kan?” Amar kembali menyoal sahabatnya.

“Dah, jom naik motorsikal aku. Aku ade helmet lebih.” Amar terus menambah sebelum sahabatnya sempat menjawab.

Lampu dan pendingin hawa segera dimatikan.

Pintu ditutup perlahan dan kedua-dua sahabat tadi bergerak keluar.

Nukilan: Anwar Mohd Nor

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.