in

Perbualan Dua Jam

Pelawaanku untuk bersembang dengan rakanku, Izzah, disambut baik olehnya. Malah, dia sendiri yang mahu menelefon. Boleh free call, katanya.

Perbualan kami betul-betul selama dua jam. Panggilan terhenti tiba-tiba hanya kerana tetapan untuk telefonnya sebegitu rupa. Faktor kesihatan, katanya. Jika tidak, mungkin sahaja perbualan itu berlanjutan lebih lama dek pakej free call yang ada. Itulah dua ciri teknologi yang saling mengimbangi antara satu sama lain.

Sudah berbulan-bulan kami tidak bertemu. Aku masih berpegang bahawasanya pada zaman semua-orang-tahu-semua-orang-buat-apa, kita masih wajar bertanya khabar. Daripada bertanya khabar soal pengajianku, sehinggalah ke soal perniagaannya, banyak yang kami bualkan. Biasalah, apabila bertanya khabar, jawapan masing-masing adalah baik-baik sahaja. Khabar sebenar kita hanyalah terjawab dalam perbualan yang menyusul.

Isu bendera putih? Isu bodoh-bodoh? Tentu sahajalah kami bualkan. Rumusan kami mudah sahaja. Bendera putih adalah mekanisme mudah untuk mendapatkan bantuan. “Bodoh-bodoh” itu pula bergantung pada cara kita pandang maksudnya. Habis cerita.

Namun, ada perkara lain yang kami bualkan yang sukar untuk diberi rumusan mudah. Perkara yang membelenggu fikiran kami saban hari, tetapi seperti tiada penyelesaian dan kesudahan. Soal kerencaman kehidupan. Soal mencari posisi dan peranan diri di dunia ini. Soal kehidupan yang bermakna dan bermanfaat.

Perbualan kami pergi ke arah perkara itu apabila rakanku memberitahu yang dia baru sahaja berpeluang untuk menderma darah buat kali pertama.

“Bagus betul dapat derma darah, dapat beri kebaikan yang berpanjangan”, bisik hati aku. Aku sendiri pernah mencuba dahulu, tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana tidak cukup berat badan. Awal-awal lagi aku diberitahu tidak boleh menderma darah setelah aku berdiri di atas penimbang.

Jadi, apa pula manfaat yang aku boleh berikan?

Kami masing-masing bersetuju yang kemuncak kehidupan kita di dunia ini adalah untuk mengabdikan diri dan beribadah kepada Allah. Selain merujuk kepada ibadah wajib dan sunat yang kita semua sudah maklum dan jelas akan dalil-dalilnya, ibadah yang berbentuk umum itu pula masih terbuka kepada ruang interpretasi dan penerokaan oleh diri masing-masing.

Dan pada ruang itulah, diri ini punya konflik.

Kita boleh melihat kehidupan ini dari perspektif watak-watak dalam cerita. Katanya, kita semua adalah watak utama dalam kehidupan masing-masing. Tetapi, tipulah untuk sentiasa merasakan sebegitu. Banyak waktu, diri ini dirasakan hanyalah sebagai watak sampingan dalam cerita orang lain. Sepertinya, kehidupan diri ini diabadikan untuk memenuhi keperluan orang lain semata-mata. Kerana yang lebih jelas akan matlamat hidupnya adalah orang lain. Yang lebih mengerti bagaimana untuk mencapai matlamat itu juga adalah orang lain. Oleh sebab itu, diri ini hanyalah pengisi tempat dalam cerita orang lain supaya dapat dijayakan matlamat tersebut. Matlamat orang lain, bukan matlamat sendiri. Itulah watak sampingan.

Mengapa rasa sedemikian?

Kerana diri ini sepertinya tiada kisah sendiri. Hidup dengan mengikut kisah orang lain. Mana mungkin diri ini boleh menjadi watak utama dalam kisah orang lain.

Ia adalah satu metafora. Untuk memudahkan pemahaman pada perkara serumit dan sesulit mencari makna diri dalam kehidupan sendiri. Mencari tempat duduk sendiri dalam dunia ini.

Bahasa mudahnya, untuk apa aku bangun pagi hari ini? Apa yang harus aku lakukan? Dan sebelum tidur pula, dapatlah dibuat rumusan apa yang telah dikerjakan pada siang harinya yang menyumbang kepada pencapaian matlamat tersebut.

Bukankah aku seorang pelajar? Aku belajar. Itulah yang aku lakukan saban hari.

Jawapan yang tidak lagi memuaskan hati aku sejak kebelakangan ini. Aku mahu lebih dari sekadar itu. Aku lihat posisi aku sekarang ini hanyalah untuk diri aku. Apa pula manfaatnya kepada orang lain?

Hal ini mungkin bertitik-tolak daripada situasi pandemik yang kita sedang alami ketika ini. Peluang untuk melakukan sesuatu yang memberi impak positif kepada lebih ramai orang sebenarnya sangat banyak dan muncul ibarat cendawan yang tumbuh setelah hujan. Musibah sememangnya membuka ruang untuk kita bangun melakukan sesuatu kebaikan.

Apabila usia semakin menginjak, cara pandang kehidupan juga berubah. Beberapa matlamat yang ditetapkan dalam kehidupan juga mengalami perubahan. Apa yang memberi kepuasan dan makna kepada diri juga berubah.

Diri ini mahu menjadi watak utama dalam kisah sendiri. Kisah kehidupan yang meletakkan diri ini sebagai pendukung terpenting segala cita-cita dan matlamat yang ditetapkan dalam kehidupan. Kisah kehidupan yang berlegar pada memberi makna dan impak kepada bukan sahaja diri sendiri, tetapi orang sekeliling. Apalah maknanya diri ini jika selamanya hidup mengikut kisah orang lain. Dan apalah maknanya diri ini sekiranya tidak berguna sesen pun kepada sesiapa?

Pada hujung perbualan, kami mengingati kembali apa yang pernah dibualkan dalam kereta beberapa bulan dahulu tentang memanfaatkan setiap peristiwa dan pengalaman yang kita lalui, bukan semata-mata untuk diri sendiri tetapi juga untuk orang lain. Sekecil-kecil peristiwa yang kita biasa tidak endahkan yang berlaku saban hari sebenarnya bukanlah satu peristiwa rawak yang baru sahaja berlaku. Melainkan ada sisi pengajaran yang boleh diambil untuk dibuat pedoman dalam kehidupan.

Mungkin kerana itulah, terhasilnya tulisan ini. Walaupun tidak dapat disanggah yang bahan bualan kami itu sering sahaja mengambil tempat dalam kotak pemikiran diri ini. Itulah yang selalu aku fikirkan. Mungkin pada hujung perbualan itu, kami masih belum menemukan rumusan kepada apa yang dibincangkan. Namun sekurang-kurangnya, ia diabadikan dalam bentuk tulisan ini buat peringatan kepada diri sendiri pada masa hadapan agar melihat semula sejauh mana diri ini telah pergi.

Apabila berada dalam satu tempoh yang lama yang mana aku sendiri merasakan aku langsung tidak bergerak, tidak maju ke hadapan. Entahlah, aku merasakan sebegini sejak zaman kita semua masih belum kenal apa itu virus korona. Sehinggalah sekarang ketika vaksin untuk penyakit itu pun telah wujud. Dunia ini sendiri sudah banyak berubah dalam tempoh yang singkat, dan aku…?

Mungkin sebab itu juga, aku lebih senang menjauh. Perintah penjarakan sosial ketika ini aku dapat manfaatkan daripada bertemu sesiapa, daripada perlu berhadapan untuk menjawab soalan yang menjadi adat orang bertanya, “Buat apa sekarang?”.

Ya Allah

Aku lemah

Sekali lagi aku rebah

Aku minta dipapah

Dibawa pulang ke rumah

Untuk hilangkan lelah

Jika datang lagi musibah

Harap aku lebih gagah

Dengan bantuanMu aku tabah

Kami mungkin hanya sempat berbual selama dua jam sahaja. Tetapi perbualan dengan hati kecil ini bersendirian masih tetap berlangsung.

Disediakan oleh,

S.H.

Mengapa Perlu Jatuh cinta Dengan ‘Booktrovert’?  

3 Cara Rasulullah Menghadapi Ketakutan dan Kebimbangan