Antara cabaran besar yang dihadapi umat Islam semasa era pemerintahan Khalifah Abu Bakar (632 Masihi – 634 Masihi) adalah pemberontakan golongan murtad, nabi palsu dan  menolak kewajipan membayar zakat di seluruh Semenanjung Tanah Arab. Antaranya ialah Tulaihah bin Khuwailid dan Sajjah binti Al-Harith.

Khalifah Abu Bakar membentuk 11 pasukan melancarkan serangan kilat dalam menangani pemberontakan yang berselerak.

Musailamah Al-Kazzab pula adalah orang yang mengaku sebagai nabi palsu dari Bani Hanifah yang memiliki puluhan ribu bala tentera berpangkalan di Yamamah. Tenteranya terdiri daripada mereka yang baru menerima Islam kemudian murtad akibat jahil dalam agama dan semangat kesukuan yang terlalu menebal.

Musailamah pernah menemui Nabi SAW bertujuan mahu dirinya dilantik menjadi ketua tetapi Nabi SAW enggan. Musailamah pernah berkahwin dengan Sajjah binti Al-Harith yang juga mengaku sebagai nabi palsu dengan mas kahwinnya adalah menafikan kewajipan solat Isyak & Subuh tetapi perkahwinan mereka tak lama.

Ikrimah bin Abu Jahal dan Syurahbil bin Hasanah memimpin ekspedisi tentera untuk memerangi Musailamah tapi menemui kegagalan. Kemudian Khalifah Abu Bakar mengarahkan Khalid Al-Walid membantu pasukan Islam di Yamamah, Khalid menyusun semula pasukan dengan menempatkan Syurahbil bin Hasanah di barisan hadapan, Zaid bin Al-Khattab di barisan tengah, ‘Utbah & Syuja’ pula di kanan dan kiri pasukan manakala Usamah bin Zaid memimpin pasukan berkuda.

Pertempuran sengit pun berlaku dan pasukan Islam hampir dikalahkan bala tentera Musailamah tetapi dengan keimanan, cintakan mati syahid serta semangat juang yang tinggi, pasukan Islam berjaya mengasak musuh hingga mereka berundur ke dalam kota yang digelar Taman Kematian. Khalid mengajak Musailamah bertarung satu lawan satu tapi si musuh Allah melarikan diri. Al-Bara’ bin Malik secara sukarela meminta tentera Islam melontarnya ke dalam kota dan beliau berjaya membuka pintu kota setelah menewaskan tentangan daripada musuh.

Maka pasukan Islam terus menggempur musuh yang berada di dalam kota dan akhirnya Musailamah dibunuh oleh Wahsyi, sahabat yang dulu pernah membunuh Saidina Hamzah dalam Perang Uhud (sebelum Wahsyi menerima Islam). Dikatakan Wahsyi membunuh Musailamah menggunakan lembing yang sama digunakan semasa membunuh Saidina Hamzah.

Diriwayatkan lebih 600 orang sahabat syahid dalam peperangan ini, antaranya ialah Zaid bin Al-Khattab, Salim Maula Abi Huzaifah dan Abu Dujanah. Walaupun tentera Islam memperoleh kemenangan, tetapi antara kesan peperangan ini ialah ramai para huffaz al-Quran yang syahid sehingga menimbulkan kerisauan kepada Saidina Umar. Pada masa itu, al-Quran belum lagi disimpan pada satu tempat, sebaliknya disimpan secara hafalan para sahabat, ditulis di atas kulit, tulang haiwan, batu dan pelepah tamar.

Khalifah Abu Bakar pada mulanya tidak menerima cadangan Saidina Umar tetapi selepas itu beliau mengarahkan Zaid bin Thabit untuk mengumpul al-Quran dalam satu naskhah. Zaid membentuk pasukan untuk melaksanakan arahan khalifah dan proses pengumpulan al-Quran dijalankan dengan sangat ketat. Abdullah bin Mas’ud bertindak sebagai penyelia atau rujukan semasa proses ini dijalankan.

Sesungguhnya kita banyak terhutang budi kepada Nabi SAW dan para Sahabat. Moga Allah himpunkan kita semua bersama para nabi, para sahabat dan orang-orang soleh di syurga nanti, Aamiin.

Sumber : Inspirasi dari buku Fiqh Siasah Khulafa’ Ar-Rasyidin : Khalifah Abu Bakar & sumber-sumber lain.

#mohdnoornotasirah
#mohdnoor 


Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.