Kecoh baru-baru ini dengan isu penghinaan Rasulullah s.a.w. yang dilakukan oleh beberapa orang bukan Muslim yang menjadi perbualan hangat di dalam sosial media. Para komentar juga memberikan buah pandang mereka yang bernas dan adakalanya sarat dengan emosi yang keterlaluan. Malah ada juga yang cuba menjadi “hakim” untuk memberikan hukuman yang menurut perasaannya adalah setimpal sehingga ke arah nyawa.

Apakah penghinaan Rasulullah s.a.w. terbit sendiri daripada mereka bukan Muslim itu sendiri seolah datang dari vakuum?

Isu penghinaan ini bukanlah isu di Malaysia semata, tetapi ia menjadi isu global kini seperti contoh filem bertajuk “Fitna” oleh Geert Wilders, filem “Innocence of Muslims” yang pernah hangat pada tahun 2012, dan karikatur Rasulullah s.a.w. oleh Charlie Hebdo. Reaksi terhadap isu ini juga berbagai sehingga mencetuskan pertumpahan darah oleh perbuatan segelintir umat Islam pada ketika itu. Namun bagaimana Rasulullah s.a.w. sendiri mengatasi perkara ini jika menelusuri sirahnya? Apakah salah satu puncanya yang menyebabkan tercetusnya sehingga berlaku sebegini, melihat pada konteks Malaysia dalam isu baru-baru?

Sejarah penghinaan terhadap baginda s.a.w. ini bukanlah perkara yang baharu yang muncul dalam arus modenisasi ini. Ia sudah berlaku semenjak zaman baginda s.a.w. hidup lagi ketika diamanahkan oleh Allah untuk menyampaikan risalah yang amat berharga iaitu Islam sebagai rahmat-Nya ke atas manusia di muka bumi ini. Bahkan juga turut dialami oleh para anbiya’ sesebelum baginda s.a.w. sehingga sebahagian mereka dibunuh oleh kaum mereka sendiri.

Jika kita menelusuri perjalanan sirah agung baginda s.a.w., tidaklah terkira ujian yang begitu dahsyatnya ditimpa ke atasnya sehingga mengancam nyawanya sendiri. Penghinaan, cercaan, tohmahan, dan tuduhan dilemparkan kepada baginda s.a.w. seolah menjatuhkan maruah dan martabatnya sendiri di mata kaumnya. Kita pasti pernah dengar kisah baginda s.a.w. ditepek tahi unta oleh kaum Quraisy, dilontarkan batu sehingga berluka-lukaan dirinya, dituduh gila, digelar “Mudhamam” (yang dikeji), dikatakan dirasuki hantu, konon dikatakan gila kuasa, dan berbagai laginya.

Namun apakah reaksi ratanya yang dipamerkan Rasulullah s.a.w. kepada mereka-mereka ini?

Kesabaran besertakan ketakwaan kepada Allah. Kesabaran dalam berpesankan kebenaran dan mempamerkan akhlak yang terpuji berbanding yang dikeji. Walau pernah ditawarkan para malaikat untuk menghancurkan Taif dengan bukit di kawasan tersebut, namun Rasulullah s.a.w. atas sayangnya kepada umat manusia, baginda memaafkan mereka. Kemaafan baginda s.a.w. di atas kejahilan mereka sendiri mencerminan yang Islam amatlah mementingkan kemuliaan akhlak yang mencetuskan peradaban yang tinggi. Oleh sebab itulah Rasulullah s.a.w. diutuskan untuk menyempurnakan akhlak peribadi manusia, demi menyampaikan Islam sebagai “rahmatan lil ‘alamin”.

Daripada riwayat sirah agung ini, reaksi kita sebagai seorang Muslim bertanggungjawab memberikan pencerahan tentang keindahan Islam, seperti maknanya “damai”. Cukuplah fitnah yang didorongkan oleh segelintir umat Islam yang mencemarkan Islam sehingga merosakkan keseluruhan imej Islam dan umatnya. Ibarat “kerana nila setitik rosak sebelanga”, tidak usah kita sendiri terlibat bersama golongan pencemar ini yang didasari atas kejahilan ilmunya sendiri. Walaupun kemarahan kita terhadap mereka yang menghina itu adakalanya membuak perasaannya, namun haruslah disedari sentimen emosi itu mampu mendorong kita membawa ke arah sikap “ghuluw” (melampau) dalam memutuskan tindakan yang tidak rasional.

Hal inilah terjadi ketika berlakunya serangan di pejabat Charlie Hebdo atas isu karikatur Rasulullah s.a.w. sehingga melibatkan mereka yang tidak bersalah, sebagai contohnya. Sedarilah jua bahawa sikap “ghuluw” itu juga amatlah ditentang oleh Islam. Bukanlah bererti kemarahan itu tidak ada dalam kamus Islam, namun haruslah disandarkan atas rasionaliti dan kemanusiaan. Muslim yang kuat bukanlah Muslim yang kuat fizikal atau membawakan sepanduk di bawah sinaran mentari yang begitu panas, tetapi mereka yang mampu mengawal kemarahannya, kerana marah itu mampu mencetuskan manusia ke arah kebinasaan dirinya dan masyarakat sekelilingnya.

Isu penghinaan Rasulullah s.a.w. yang kian berleluasa kini mendedahkan betapa lemahnya diri kita dengan tidak mencerminkan sikap dan perwatakan kita yang dianjurkan dalam Islam. Krisis kepercayaan bukan Muslim terhadap kita sebagai seorang Muslim ini harus diamati sedalamnya hingga ke akarnya.

Ya! Bukanlah mereka harus dipersalahkan tetapi diri kita sendiri yang gagal mempamerkan Islam yang sebenarnya! Haruslah juga diamati akan punca penghinaan itu berlaku, yang tidak lain tidak bukan diri kita tidak berperilaku seperti Rasulullah s.a.w. tonjolkan. Bahkan kita sendiri secara tidak langsung sudah berpaling daripada akhlak baginda s.a.w. (jauhkanlah diri kita daripada sikap sedemikian).

Walaupun kita kini majoritinya Muslim, berbeza dengan zaman baginda s.a.w., yang mudah melaksanakan cara hidup Islami, namun tidaklah harus dijadikan faktor majoriti sebagai justifikasi untuk menindaskan mereka yang bukan Muslim sehingga menjadi kurang hormat dan angkuh.

Daripada sikap kita sendiri, Islam dan Rasulullah s.a.w. sebagai bahan jenaka kepada mereka bukan Muslim secara tidak sedarnya. Kerana Muslim adalah produk Islam! Mereka menyaksikan Islam daripada perilaku Muslim kerana itulah cara mereka fahami. Jika buruknya Muslim maka tercemarlah imej Islam itu, jika baiknya Muslim itu maka cantiklah Islam itu. Bahkan juga Allah berpesan kepada kita menerusi Surah al-An’am ayat 108, dengan mengambil manfaat daripada ayat ini untuk Rasulullah s.a.w.

“Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.”

Hal ini tidaklah datang daripada vakuum berkenaan punca penghinaan Rasulullah s.a.w. yang terbit daripada diri kita sendiri. Penghinaan terhadapnya adalah ketidakpengetahuan dan kejahilan mereka sendiri mengenai baginda s.a.w., dan diri kita sendiri harus memperjelas kepada mereka.

Haruslah juga kita insaf akan diri kita akan faham keindahan Islam itu. Bukanlah lagi retorik yang dicanangkan yang manis dibibir semata yang saling tidak tumpah seperti retorik para politikus! Islam adalah peradaban yang hidup ditonjolkan pada perwatakan, sikap, tingkahlaku dan akhlak besertakan fikiran yang memerdekakan jiwa yang meronta dalam kegelapan. Hidupkanlah sepertimana Aisyah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. adalah al-Quran yang berjalan.

Maka renungilah perilaku kita terhadap mereka yang bukan Muslim. Ketepikanlah politik yang merancukan lagi memecahbelahkan. Haruslah kita bertanggungjawab apa yang kita laksanakan kerana setiap Muslim adalah dai yang menyampaikan Islam dengan caranya sendiri (bukan milik dai muda, imam muda, dan ustaz semata).

Fasa ini bukanlah fasa menjadikan seorang Muslim bertindak dengan sewenangnya di atas keislamannya, tetapi fasa ujian buat umat Islam untuk mempamerkan dirinya sebagai Muslim dikala dipandang remeh di mata dunia. Jangan lagi membenarkan kata-kata mereka yang mengatakan Islam adalah agama militan dan agresif melatah tak berpunca, yang sememangnya berdiri di atas premis yang salah. Buktikan Islam adalah rahmah, bukan lagi sebagai “penghukum”!

Diri ini mengakhirkan bicara ini dengan memetik kata Syed Muhammad Naquib al-Attas di dalam “Risalah untuk Kaum Muslimin” beliau, pada muka surat 5 dan 6.

“Islām itu – iaitu pada hakikat batinnya – dengan kesuciannya, dan kemurniannya, dan keluhurannya, dan keagungannya, tetap sama Islām jua; tiada tersentuh oleh pencabulan masa dan kekaburan atau perubahan seperti yang telah berlaku pada agama dan falsafah-falsafah lain. Oleh kerana Islām itu hakikat yang sebenarnya maka tiadalah dapat dia dipalsukan atau dirobah-ganti dan ditokok-tambah oleh akal insani atau oleh gejala-gejala peredaran masa dan sejarah. Akan tetapi justeru pada hakikatnya zahirnya Islām itu ditayangkan kepada dunia oleh para penganutnya Kaum Muslimin; dan Kaum Muslimin tiada senantiasa suci dan murni dan luhur dan agung. Maka kita ini ibarat rupa zahir yang kononnya membayangkan hakikat batin Islām itu; kita ini umpama cermin bidal tamsil yang menangkap sinaran mentari Islām yang terang benderang itu. Akan tetapi andai kata cermin ini kelam dikabuti debu atau kacanya tiada diasah halus jernih maka sesungguhnya sia-sia cermin berdaya membayangkan mentari itu, dan hanyalah yang dibayangkannya itu yang kelam dan samar-samar jua. Maka yang jahil di antara manusia akan melihat dan menganggap bahawa bukanlah cermin itu yang kotor atau kacanya yang kasar berkarat, akan tetapi bahawa mentari hakikat yang dibayangkan oleh cermin itulah yang kelam dan kotor dan penuh dengan cacat dan nods kekurangan sifat-sifat kesucian dan kemurnian dan keluhuran dan keagungan sejati. Alangkah palsumya tanggapan demikian itu! Namun begitu tanggapan seperti itu memang nyata ada dan berjaya mengecutkan hati Muslimin yang lemah dan menggoncangkan imannya.”

Oleh: Fhadrul Irwan

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.