Jika ditelusuri lipatan sejarah, belia muslim khususnya memainkan peranan besar dalam meletakkan Islam di puncak kegemilangan. Terdapat banyak catatan bukti yang menunjukkan kehebatan para pemuda Islam dahulu yang menggoncang dunia.

Apabila al-Quran dan hadis dijadikan kompas pemandu arah, mereka berani menyahut cabaran dalam menjadi pemuda yang produktif dan bersedia mencuba sesuatu perkara yang baru. 

Seperti terkenalnya kisah Nabi Yusuf a.s yang dirakam di dalam al-Quran, beliau dipenjarakan kerana desakan wanita yang cuba menggodanya. Namun bagi Nabi Yusuf a.s, hukuman itu lebih baik berbanding terjerumus ke lembah maksiat bahkan jiwanya lebih tenang di dalam penjara.

Terkurung di sebalik tembok kukuh, Nabi Yusuf a.s tidak pernah meratapi nasib bahkan mengajak penghuni penjara yang lain untuk tauhid kepada Allah s.w.t. Beliau juga banyak membantu merawat penyakit, mengajarkan ilmu dan memberi nasihat kepada mereka yang memerlukan agar tidak mengulangi kesilapan yang sama.

 Firman Allah dalam surah al-Qasas ayat ke-77,

Maksudnya: “Dan carilah (pahala) negeri akhirat dengan apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu, tapi janganlah kamu lupakan bahagianmu di dunia dan berbuatlah baik (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi. Sesungguhnya, Allah tidak menyukai orang yang berbuat kerosakan.”

Tuntutan seseorang menjadi seseorang yang produktif adalah sesuatu yang bersifat berterusan. Hal ini bermaksud, umat Islam khususnya belia digalakkan agar sentiasa berusaha menjadi lebih baik serta produktif dalam memperbaiki diri dan persekitaran. 

Bagaimana kita hendak mengetahui personaliti seseorang yang produktif?

Belia yang produktif ialah seorang yang berdikari. Belia produktif tidak bergantung kepada orang lain untuk mencapai apa yang diinginkan. Mereka lebih memilih untuk berhempas pulas dengan usaha sendiri. Hal ini kerana, hasil yang bakal diperoleh berkat usaha sendiri itu lebih bermakna.

Belia yang produktif mempunyai disiplin yang tinggi serta tidak mudah berputus asa. Disiplin diri sangat memainkan peranan dalam mencapai sesebuah cita-cita. Jika mental dan fizikal tidak kuat, maka usaha yang dilakukan adalah sia-sia. Ia menjadi benteng agar usaha yang dilakukan tetap berjalan serta menjadi perisai daripada sikap putus asa. Gagal sekali tidak bermakna gagal selamanya kerana masih ada beribu peluang yang boleh diambil. Hanya sahaja ingin atau enggan.

Selain itu, belia produktif juga berani menceburkan diri dalam pelbagai bidang ilmu. Walaupun bidang ilmu yang dipelajari adalah Pengajian Islam misalnya, namun seorang belia yang produktif sedia mempelajari ilmu yang baru seperti ilmu teknologi. Dengan ilmu tersebut, mereka boleh menyebarkan ilmu agama Islam kepada orang ramai dengan mencipta aplikasi untuk memudahkan orang ramai mempelajari ilmu hadis, sirah para rasul, ilmu tajwid dan sebagainya.

Usaha dalam membentuk diri menjadi seorang yang produktif pada awalnya mungkin kedengaran agak klise dan lali di telinga. Namun, perkara yang sudah lali itulah kadang-kadang kita sering terlupa dan malas untuk melakukannya.

Bagaimana pula cara untuk menjadi seseorang yang produktif menurut al-Quran?

Pertama, mewujudkan kesedaran dan memperbaiki niat. Niat adalah asas yang penting ketika melakukan sesuatu perbuatan demi menjamin usaha yang istiqamah. Kesedaran yang hadir membuat seseorang lebih termotivasi untuk melakukan sesuatu dengan lebih baik. Firman Allah s.w.t dalam surah al-Ra’d ayat ke-11,

إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا۟ مَا بِأَنفُسِهِمْ

Maksudnya:Sesungguhnya Allah tidak merubah nikmat yang telah Dia berikan kepada suatu kaum, kecuali apabila mereka sendiri yang merubah apa yang Dia perintahkan kepada mereka, lalu mereka berbuat maksiaat kepadaNya.”

Kedua, mulakan dengan melakukan sesuatu yang mudah. Biasakan untuk melakukan perkara yang mudah terlebih dahulu sebelum perkara yang lebih rumit. Selain itu, kenal pasti perkara yang perlu dilakukan mengikut keutamaan masing-masing. Dahulukan perkara yang lebih penting sebelum perkara yang tidak menuntut perhatian yang lebih. 

Firman Allah s.w.t dalam surah al-Syahr ayat ke-7,

فَإِذَا فَرَغتَ فَانصَب

Maksudnya: “Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain)”

Ketiga, tepati masa. Setiap manusia mempunyai tempoh yang sama iaitu 24 jam sehari dan tempoh tersebut perlu dimanfaatkan sebaiknya dengan perkara yang bermanfaat. Elakkan mempunyai sikap suka bertangguh kerja dan melakukan kerja sambil lewa. Firman Allah s.w.t dalam surah al-Asr ayat 1-3,

وَالعَصرِ (1) إِنَّ الإنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ (2) إلا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبرِ  (3

Maksudnya: “Demi masa (1) Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian (2) Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. (3)”

Pembentukan belia produktif adalah suatu usaha yang bermula daripada diri kita sendiri. Allah s.w.t telah menjelaskan dalam al-Quran dan hadis sebagai panduan untuk meraih kejayaan di dunia dan akhirat. Terpulang kepada diri sama ada mahu berubah menjadi lebih baik atau sebaliknya. Berkata Saidina Ali r.a: 

“Jika kamu mahu melihat masa depan sesebuah negara, maka lihatlah pemuda-pemudinya pada hari ini.”

Disediakan oleh,

Nurul Asma

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam Universiti Sultan Azlan Shah Kuala Kangsar

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.