Saga Hero: Satu Pengenalan

Hilal Asyraf berulang kali menyatakan hasrat beliau untuk membina sebuah universe adiwira ala-ala Marvel Cinematic Universe; dan beliau benar-benar serius dengan apa yang beliau inginkan. Hasilnya, di saat artikel ini sedang ditulis, saat seluruh dunia masih demam Avengers: End Game, filem penutup bagi saga Infinity Gauntlet; peminat-peminat siri Hero oleh Hilal Asyraf pula masih belum hilang keterujaan mereka terhadap novel Membunuh Muhammad. Adakah ini sebuah kebetulan atau Hilal Asyraf dan Kevin Feige sebenarnya sudah sama-sama berpakat untuk menerbitkan karya penutup (End Game bagi Kevin dan Membunuh Muhammad bagi Hilal) saga epik mereka pada tarikh yang hampir sama?

Seperti filem Avengers, setiap adiwira di dalam universe Hero diperkenalkan secara solo terlebih dahulu sebelum digabungkan bersama di bawah sebuah kesimpulan. Saga Hero menampilkan 5 buah novel: Hero, Pemburu, Suri Hati Encik Pembunuh, Samurai Melayu dan Membunuh Muhammad. Setiap novel ini menampilkan watak utama yang berbeza dengan konflik peribadi masing-masing. Namun, setiap konflik tersebut mengheret mereka ke konflik yang jauh lebih besar melibatkan Malaysia dan kuasa-kuasa besar dunia yang akhirnya disimpulkan di dalam Membunuh Muhammad.

Siri Hero bermula dengan kisah adiwira Amir Faheem, seorang pemuda yang hidupnya jauh dari syariat Islam, terpaksa menyarung Hyper Exosuit Reinforcement Operator (HERO) setelah tragedi kemalangan meragut nyawa kedua-dua ibu bapanya didedahkan mempunyai kaitan dengan konspirasi organisasi gelap. (Ah, Tony Stark juga bermula sebagai lelaki yang hidupnya berrfoya-foya sebelum menggalas tanggungjawab selaku Ironman, “I love you 3000”).

Kemudian, novel Pemburu pula menyusul – Bakri, seorang manusia super yang organnya telah diubahsuai untuk memberi kekuatan lebih kepada fizikal dan kognitif, bezanya dengan The Incredible Hulk adalah Bakri tidak perlu mengamuk terlebih dahulu sebelum mampu menggunakan kuasanya, dan Bakri juga tak perlu bertukar menjadi raksasa hijau agam yang hanya berseluar pendek.

Siri Hero semakin berkembang dengan kemunculan “Izrail Dunia Gelap”, Faisal – seorang pembunuh upahan dengan skil tembakan tepat yang sudah menumbangkan 900 nyawa sepanjang tempoh aktifnya bersama organisasinya. Saya tidak pasti sama ada pistol Faisal atau busur Hawkeye lebih hebat, tetapi yang pasti, apabila mereka sudah menetapkan sasaran, tembakan mereka tak pernah tersasar.

Novel Samurai Melayu tiba dengan watak Mus’ab, seorang ejen samurai dari Organisasi Ryuken sekaligus melengkapkan keanggotaan kumpulan adiwira Malaysia ini. yang Samurai ini dihantar khusus ke Malaysia untuk menjalankan operasi gelap tetapi cahaya hidayah memeluk hatinya, lantas menggerakkan dirinya untuk berpaling tadah daripada Ryuken dan berjuang untuk Malaysia, dan khususnya Islam.

Membunuh Muhammad adalah kemuncak pertempuran antara haq dan batil, setelah Syaitan Bertopeng (Hero), Kesatuan Pemburu (Pemburu), Organisasi Hitam (Suri Hati Encik Pembunuh) dan sebahagian besar operasi Ryuken berjaya dilumpuhkan oleh kumpulan adiwira kita. Dengan saki baki sumber yang ada, Nobu (Ryuken) tidak berputus asa untuk merealisasikan cita-cita jahatnya dan membunuh Muhammad SAW! Inteligen Kerajaan Malaysia tak berdiam dan menghantar pasukan adiwira – Hero, Pemburu, Izrail Dunia Gelap dan Samurai Melayu untuk menghalang Nobu. Agak menarik bila filem Avengers: End Game juga mengetengahkan konsep pengembaraan masa di dalam filem mereka. Lantas, persamaan antara kedua-dua karya – novel Hilal dan filem-filem MCU – ini agak menarik jika dibahaskan. (Hilal Asyraf memang menyatakan bahawa siri Avengers sedikit sebanyak mempengaruhi idea awal beliau untuk memulakan Saga Hero)

Hilal Asyraf on Twitter: "Apa itu Saga HERO? Saga HERO terdiri dari lima  Novel yang hakikatnya bersambung. Novel-novel ini berlatarkan Malaysia di  masa hadapan, yang bermula sebagai negara korup, kemudian bangkit menjadi

Apa Yang Menarik Tentang Saga Hero Ini?

1) Satu hal yang membuatkan saya setia mengikuti karya-karya Hilal Asyraf sejak tahun 2010 sehinggalah kini adalah disebabkan stail penulisan beliau – kemas, hidup dan segar. Sebuah karya aksi hanya akan membekas di minda apabila penonton (filem) atau dalam hal ini; pembaca dihidangkan dengan persembahan yang hidup. Dan Hilal sebagai novelis berjaya menghidupkan watak-wataknya dengan bahasa-bahasa yang visual. Sebagai seorang penulis, saya diajar bahawa ayat-ayat perbuatan lebih “berkuasa dan berimpak” berbanding ayat-ayat deskripsi.

Membaca Saga Hero ini akan membuatkan kita tak senang duduk. Setiap helaian menjanjikan pengalaman penuh debaran dan aksi seolah-olah anda sedang menonton di pawagam. Memang Saga Hero ini dipengaruhi dengan elemen Avengers, tetapi percayalah, naratif yang Hilal Asyraf bawakan sama sekali berlainan dengan francais MCU itu. Ia original dan asli.

2) Malaysia penah dibanjiri dengan karya-karya Islamik suatu masa dahulu, akan tetapi lambakan karya ini kebanyakkannya mengecewakan kerana ia hanya bercerita seputar kisah cinta Islamik. Islam sekadar menjadi kosmetik yang ditampal-tampal supaya menaikkan seri novel cinta pop. Kemudian Hilal Asyraf hadir dengan karya-karya fiksyen yang melanggar arus cinta pop Islamik (peminat beliau pasti ingat betapa basahnya jiwa kita sewaktu membaca karya-karya beliau yang diterbitkan dengan Galeri Ilmu dulu – Relasi, Terasing dan Sinergi). Islam yang diwajahkan dalam karya-karya Hilal tidak membuatkan kita janggal membacanya, bagaimana konsep-konsep Islami seperti kebergantungan kepada Tuhan dan konsep sabar yang kebiasaannya klise dan bosan untuk dibaca, berjaya diolah dengan baik dan berkesan di tangan Hilal. Mana lagi boleh kita baca karya-karya aksi yang kaya dengan mesej-mesej Islam, malah kedua-duanya bersepadu dengan sempurna?

Kelemahan Saga Hero?

1) Saya berpendapat bahawa peranan kebanyakan watak wanita di dalam siri novel Hero ini tidak difungsikan dengan baik, atau sekurang-kurangnya dengan optimum. Kebanyakan heroin utama dalam saga ini hanya bertindak sebagai side character. Mereka hanya hadir sebagai pemberi semangat kepada para suami yang berjuang di medan perang. Kewujudan mereka hanyalah untuk menggambarkan bahawa para adiwira kita juga berkeluarga dan bercinta. Setiap kali babak yang melibatkan watak-watak wanita ini muncul, kebanyakkan peristiwa dan dialog yang digunakan hampir serupa. Tiada perkembangan. Mereka patut diberi peluang untuk menjadi lebih aktif dalam cerita.

Saya tidaklah bermaksud untuk memperkecilkan kepentingan mereka, tetapi saya fikir banyak lagi sisi wanita yang boleh saudara penulis terokai. Jangan merendah-rendahkan semangat juang wanita Mereka boleh menjadi singa yang mengaum di medan pertempuran. Bukankah sejarah banyak mencatatkan kehebatan tokoh-tokoh wanita memimpin ketumbukan perang menentang musuh? Lihat sahaja Keumalahayati, wanita Acheh yang memimpin armada laut menentang penjajah Portugis. Menarik jika Hilal Asyraf mampu mencipta watak adiwira wanita yang boleh menjadi ikon kepada gadis-gadis di luar sana. Saya suka dengan watak Runihara dalam Hikayat Satria-Satria, jika Hilal merancang untuk mengembangkan lagi universe Hero ini, apa kata perkenalkan watak adiwira wanita yang mampu memanipulasi elemen pula?

2) Ini bukanlah isu yang besar, tetapi saya rasa saya perlu sebutkannya. Kumpulan adiwira ini sebenarnya memerlukan sebuah nama yang khusus. Misalnya, kumpulan Avengers dipanggil dengan nama Avengers, bukannya kumpulan Ironman, Hulk atau Thor. Sebaliknya, kumpulan di dalam saga Hero ini tidak dipanggil dengan sebarang nama khusus. Mungkin kita boleh namakan mereka sebagai Adiwira, Pahlawan, Pejuang atau apa-apa nama yang bersesuaian. Dan universe ini nanti tidak dipanggil universe Hero, tetapi universe Adiwira, Pahlawan atau lain-lain.

3) Naratif dan konflik di dalam Saga Hero juga sebenarnya tidak banyak perbezaaannya antara satu sama lain. Ia menggunakan template yang serupa“Manusia jahat yang berubah menjadi Muslim baik-mahu lari dari dosa lama-terpaksa menentang organisasi jahat yang menaungi operasi gelapnya dulu-terpaksa berlawan dengan guru atau rakan-rakan seperjuangan di organisasi gelap dulu-berjumpa dengan Muslimah yang sabar mengajar watak utama dengan didikan Islam”. Hanya jalan penceritaan, watak sampingan dan beberapa bahagian sahaja yang diolah dan ditukar serba sedikit. Peminat yang sudah lama mengikuti penulisan Hilal Asyraf pasti akan rasa sedikit terganggu dan bosan, kerana sudah boleh agak ke mana arah cerita sedang menuju. Saudara penulis boleh banyakkan lagi menonton filem-filem Barat mahupun dari rakan Asia kita seperti Korea, Jepun dan China kerana mereka ada banyak filem dengan plot twist yang pecah otak!

Walaubagaimanpun, masalah pengulangan idea ini berjaya dilapik dengan skil penulisan dan gaya bahasa Hilal Asyraf yang kemas, indah dan hidup tadi. Saya cadangkan saudara penulis untuk banyakkan membaca karya-karya fiksyen dari luar negara untuk dapatkan idea-idea baru dan segar untuk projek penulisan seterusnya. Setakat pengalaman saya membaca, penulis luar ini lebih advance dan out of the box apabila kita berbicara tentang karya fiksyen.

4) Seperti kebanyakan cerita-cerita yang melibatkan hero, adiwira, pejuang; pasti akan ada satu saat di mana watak utama ini gagal mencapai sesuatu dalam keadaan yang sangat teruk, lantas menjadikan mereka lemah dan berputus asa. Kemudian, for the sake of story, pasti akan ada watak yang tampil memberi semangat supaya watak utama bangkit dari kegagalan dan berjuang untuk mengejar apa yang dicitakan. Semua karya-karya hebat di seluruh dunia tak akan terlepas dengan perkara ini (Boleh rujuk konsep Hero’s Journey yang diperkenalkan oleh Joseph Campbell).

Watak-watak di dalam Saga Hero juga tidak terlepas daripada template ini. Walaubagaimanapun, saya fikir cara mereka menerima pencerahan, atau bangkit semula daripada kegagalan terlalu klise dan tidak epik. Kebiasannya mereka akan dinasihati oleh kelaurga dan rakan supaya bersabar, ini semua aturan Tuhan, Muslim yang kuat tidak akan mengalah awal, yang not as cringey as what was written in thosse Islamic pop novels, but unfortunately was cliché.

Antara perkara yang saya belajar dalam bengkel penulisan adalah teknik “show, don’t tell”. Penulis yang baik akan membenarkan pembacanya untuk merasai pengalaman, perasaan, dilema dan konflik watak secara langsung tanpa perlu menjelaskan segalanya dengan berjela-jela. Konsep yang biasanya dikaitkan dengan penulis Rusia, Anton Chevkov, ini boleh difahami dengan penyataan berikut: “Don’t tell me the moon is shining; show me the glint of light on broken glass.”

Bukankah lebih epik jika adiwira-adiwira kita ini tersedar daripada rasa putus asa ini kerana melalui pengalaman bermakna seperti melihat burung buta yang gigih mencari sesuap rezeki (saya tak mampu memikirkan contoh yang lebih epik). Berbanding tell para pembaca yang watak utama sedang kesejukan, bukankah cerita akan menjadi visual dan lebih impak jika penulis show kepada pembaca dengan menulis, “Ahmad menaikkan kolar bajunya dan memasukkan tangannya ke dalam poket baju, memalingkan mukanya daripada angin Balkan yang semakin menggigit.”

5) Watak-watak antagonis di dalam Saga Hero perlu dikembangkan lagi. Kewujudan mereka di dalam novel-novel ini tidak lebih daripada for the sake of story. Premis utama dalam kesemua novel adalah “Perlawan haq menentang batil”. Kalau ada kumpulan adiwira di pihak baik, mestilah kena ada lawannya di pihak jahat pula.

Sayang jika watak antagonis ini tidak diterokai dengan lebih mendalam. Pasti mereka semua ada sejarah hitam dan pengalaman buruk tersendiri mengapa mereka benar-benar mahu menghancurkan Islam secara total. Setakat ini, hanya antagonis di dalam Pemburu sahaja yang saya betul-betul boleh relate dan hayati. Pemburu sudah wujud lama sejak zaman Alexander the Great – mereka adalah sebuah organisasi rahsia yang mahu perjalanan sejarah mengikut kepentingan dan naratif mereka. Maka, sepanjang lipatan sejarah, banyak tokoh-tokoh penting yang dibunuh supaya objektif mereka mahu mengawal dunia dari belakang tercapai. Justeru, kebangkitan Islam menerusi kebangkitan negara Malaysia pasca penemuan Elemen Baru telah mengganggu modus operandi kumpulan Pemburu yang mahukan dunia tunduk di bawah jari telunjuk mereka. Ini adalah antagonis yang kuat, munasabah dan menarik untuk disertakan di dalam sesebuah cerita. Pembaca boleh merasai thrill betapa twisted-nya pemikiran jahat mereka ini, lantas kemunculan adiwira yang mendapat didikan Islam memang perlu ada untuk menentang mereka. Dan kejahatan mereka ini tidak datang daripada vakum atau diletakkan dalam cerita semata-mata untuk menggerakan cerita, sebaliknya kehadiran mereka memang benar-benar signifikan dan mampu berdiri dengan sendiri.

Untuk perkara ini, saya cadangkan saudara penulis banyakkan membaca komik-komik DC. Lihat sahaja watak Joker dalam siri Batman ikonik itu. Jahat tetapi menarik!

Permulaan Kepada Sesuatu Yang Baru

Tujuan saya menulis artikel ini adalah untuk memenuhi hajat saudara Hilal Asyraf yang mahukan sebuah ulasan yang tidak sekadar mengulas semula karyanya atau hanya berbicara yang muluk-muluk sahaja, sebaliknya beliau mahukan komen dari sudut mata pengkritik supaya sebarang kelemahan-kelemahan yang ada dapat diperbaiki untuk karya-karya seterusnya. Saya terus menyatakan persetujuan sebaik sahaja beliau menyatakan hasratnya kepada saya, sementelahan pula, beliaulah orang yang sudi memberi kata pengantar untuk buku sulung saya, Aku Mahu Membaca 1000 Tahun Lagi; budi baik dibalas dengan budi bukan?

Saya berdoa agar saudara Hilal akan terus istiqamah menghasilkan karya-karya fiksyen Islami sebagai makanan aqal dan rohani buat masyarakat Malaysia. Ia adalah sebuah percubaan yang berani dan mulia; memandangkan kita semua tahu secara amnya apakah citarasa pembaca-pembaca di negara kita. Karya-karya Hilal adalah anti-thesis kepada lambakan novel cinta pop tidak memberi sebarang nilai tambah buat kehidupan (maaf saya terpaksa berlaku jujur).

Ya, kita semua boleh berseronok-seronok membaca karya fiksyen; ada yang membaca sebagai eskapisme terhadap rutin kehidupan, ada yang membaca untuk melepaskan diri daripada kesedihan ditinggalkan yang tersayang, ada yang membaca hanya sekadar dia mahu membaca. Tetapi kesemua itu akan menjadi 100% kosong dan angan sia-sia. Sebaik sahaja buku ditutup, ia habis begitu sahaja, Tiada sebarang nilai tambah dalam kehidupan.

Seperti yang dihasratkan oleh penulisnya, Saga Hero ini tidak sepatutnya menjadi seperti dadah, hanya dicari untuk bersuka-suka dan kemudian kita ketagih. Saga Hero adalah karya yang bila anda baca dan anda rasa: “Hei, kita semua sebenarnya Hero, kita semua bertanggungjawab dan punya peranan masing-masing. Habis baca novel ini nanti, aku perlu bertindak, bukan sekadar duduk-duduk sambil tersenyum kerana seronok menghabiskan cerita tadi.”

Nota kaki: Merujuk kepada judul artikel yang saya tulis di atas, “Permulaan Baru Sebuah Pengakhiran”; kita semua tahu bahawa selepas Saga Hero ini tamat, saudara Hilal akan fokus kepada penerbitan semula Trilogi Persahabatan (Terasing, Relasi, Sinergi) dan Trilogi Takdir. Walaubagaimanapun, saya masih berharap agar Saga Hero ini tidak akan habis dengan novel Membunuh Muhammad, sebaliknya bakal dikembangkan lagi dengan pengenalan kepada adiwira-adiwira baru dan antagonis yang lebih menarik. Saga Hero benar-benar mempunyai potensi tersendiri. Very movie and comic material – in Islamic way. Kalau MCU menerusi trailer terbaru Spiderman: Far From Home memberi isyarat kepada kemunculan konsep multiuniverse, kenapa tidak Saga Hero?

Oleh: Iman Danial Hakim

Sumber Gambar: Hilal Asyraf (Official)

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.