in

LoveLove CryCry

Pada Hari Aku Meluahkannya

Pada petang Jumaat itu, aku lakukan sesuatu yang aku tangguh sejak sekian lama. Aku membuat janji temu untuk mengadakan sesi dengan kaunselorku.

Jauh di sudut hati, aku tahu aku ada masalah. Tetapi sengaja aku tidak peduli. Sengaja aku berpura-pura yang aku baik-baik sahaja. Aku lari. Aku cari ruang lain untuk aku kekal waras. Aku buat aktiviti lain sebagai escapism.

Aku tidak mahu hadap masalah aku. Setiap kali aku cuba berhadapan dengan masalah itu, semakin aku rasa sakit. Perasaan yang tidak enak datang bertubi-tubi. Lari dari masalah juga tidaklah menyembuhkan. Hanya kesakitan yang tidak dirasai walau hakikatnya ia tetap menular dalam diri.

Pada sesi kaunseling dahulu, Kaunselor aku sendiri pernah menyebut yang beliau dapat rasakan ada sesuatu perkara yang aku masih pendam tidak nyatakan. Dalam hati, aku mengiakan.

Ibaratnya, aku tidak betul-betul mengosongkan cawan aku. Masih ada baki di dalam. Ada waktu juga, aku rasa cawan aku yang sudah retak menanti pecah. Semakin berkurang isinya bukan kerana dituang buang atau diteguk menghilangkan dahaga. Tetapi tumpah bersepah menanti sesiapa untuk mengelapnya.

Aku ada memberitahu yang sudah lama aku tangguh daripada bertemu dengan beliau. Aku masih mahu menafikan realiti. Beliau membalas, tidak perlu untuk fokus pada apa yang sudah terjadi. Fokus sekarang adalah pada apa yang akan berlaku di hadapan nanti.

Semua kesilapan

Dan pengalaman

Dibawa sebagai bekalan

Agar dibuat pengajaran

Bukan menambah beban

Pada hati dan fikiran

Tidak pernah lagi aku menangis ketika bertemu kaunselor. Kali ini, aku sudah tidak dapat tahan lagi. Soalan beliau kena tepat pada perkara yang aku cuba lari selama ini. Pada perkara yang selama ini aku mahu tipu ramai individu, tetapi tidak mampu untuk menipu diri aku sendiri. Pada perkara yang selama ini aku sedaya upaya elak daripada memberi jawapan, tetapi kali ini aku harus menjawab dengan jujur.

Beliau beri ruang untuk aku menangis.

Tenang aku hanya pada zahirnya. Kusut fikiranku, tidak sedikit pun kelihatan pada mata yang memandang atau kedengaran pada telinga yang mendengar. Benarlah, yang punya masalah besar juga masih mampu tersenyum dan ketawa. 

Ditakdirkan pada hari yang sama juga, aku terima e-mel dengan tajuk “Apa khabar emosi dan mental kalian?” daripada pengurus projek untuk sebuah NGO yang mana aku merupakan salah seorang sukarelawannya. E-mel bertanyakan hal kesejahteraan kami. Satu perkara aku amat hargai adalah pihak pengurusan NGO ini sangat mengambil berat keadaan sukarelawannya, walaupun fokus projek adalah kepada kanak-kanak.

Kami diberi ruang untuk meluahkan apa sahaja yang terbuku di hati. Aku membuat pengakuan. Aku sertai projek ini tatkala there is something in my life falling apart. Dalam keadaan aku rasakan aku seorang loser kerana tidak mampu untuk menyelesaikan masalah yang aku hadapi. Dan projek ini sebagai satu ruang untuk aku escape. Tidak dinafikan, aku minat dengan aktiviti kesukarelawanan dan tidak mustahil aku tetap akan sertai projek ini jika kehidupan aku baik-baik sahaja. Sebetulnya, yang dibantu dalam projek ini adalah aku. Aku mahu jadi manusia yang lebih baik untuk bantu individu lain, pada masa sama, aku cuba bantu diri aku sendiri.

Aku menceritakan kepada kaunselorku bagaimana aku jadikan projek ini sebagai arah untuk aku lari sejauh mungkin daripada masalah aku sendiri. Kaunselorku sendiri tahu aku ada terlibat dengan satu NGO lain dalam aktiviti yang lebih kurang serupa. Daripada menjadikan aktiviti sebegini sebagai satu distraction daripada menyelesaikan masalah, jadikanlah ia sebagai retreat, a little pick me up. Aku hanya perlu strukturkan semula jadual kehidupan aku.

Beberapa minggu lepas, aku menonton filem Inside Out untuk kali kedua. Jika kali pertama dahulu, aku menontonnya ketika berada di antara titik tertinggi dalam kehidupan. Sepanjang menontonnya aku ketawa kerana dialog-dialognya yang amat menarik. Kali ini, aku menontonnya saat aku benar-benar rasa sedang berada di titik terbawah dalam kehidupan. Aku menangis melihat satu demi satu personality island Riley runtuh. Aku merasakan hal yang sama juga sedang berlaku kepada diriku.

“Riley needs to be happy”. Di situlah sedikit kesilapan Joy. Tidak dinafikan kita semua mahu berada dalam keadaan gembira. Kita tidak merancang hari ini untuk berasa sedih. Seperti aku tidak fikir yang aku akan menangis ketika sesi kali ini.

Kesedihan itu ada fungsinya.

Seperti mana dalam Inside Out, Joy memanggil Sadness dan memberitahu yang masalah Riley kali ini hanya boleh diselesaikan oleh Sadness.

“Crying helps me slow down and obsess over the weight of life’s problems.” kata Sadness.

Tatkala aku menangis, aku lebih sedar betapa berat masalah yang aku cuba nafikan selama ini. Masalah yang dipendam sendirian. Kesedaran akan hal itu adalah satu langkah awal untuk membetulkan kembali apa yang tidak kena. Masalah itu sudah terzahir, ada mata yang memandang dan telinga yang mendengar. Paling penting, ada tangan yang menghulurkan bantuan.

Sampai bila aku mahu menafikan aku punya masalah besar yang sedang memakan diri. Ketika aku boleh sahaja berselindung di sebalik gurau senda aku sendiri. Mendengar diri sendiri ketawa, tertipu yang aku baik-baik sahaja.

Aku sendiri tidak pasti jika aku boleh kekal bangkit. Jika aku bersemangat untuk bangun pagi hari esok. Boleh jadi aku kecundang sekali lagi malam ini juga. Mungkin kerana itu, aku memerlukan sesi berkala dengan kaunselorku yang dianggap sebagai accountability partner.

Untuk bangkit itu payah

Untuk kekal bangkit itu lelah

Mungkin kerana juga itu aku benar-benar menghargai nilai bertanya. Nilai mengambil berat perihal sesama kita. Soalan kaunselorku dan e-mel daripada pengurus projek hadir pada waktu aku perlukan ruang untuk meluahkan apa yang tersimpan. Tidaklah masalah akan selesai hanya kerana meluahkannya, tetapi memendamnya diam-diam dalam diri hanya meletakkan diri ini dalam ilusi.

Menafikan realiti, bagaimana mahu tenang?

Apa yang disebut oleh kaunselorku berkenaan deep breathing, self-love, dan self-care itu bukanlah perkara baharu yang tidak pernah aku dengar atau tahu. Tetapi adalah satu perkara lain untuk benar-benar faham dan bertindak seperti apa yang difahami. Lebih-lebih lagi ketika sedang berada pada titik terbawah dalam kehidupan. Saat yang kritikal, tetapi ketika itulah kefahaman tersebut diuji. 

Adakah aku benar-benar melakukan apa yang perlu untuk mengeluarkan diri ini daripada masalah? Adakah aku menyiapkan diri aku supaya berada dalam keadaan baik tatkala aku harus menghadapi ujian yang Tuhan beri kepadaku?

Tolong beriku ruang

Juga satu peluang

Sehingga aku beroleh tenang

Sampai masa, aku akan kembali terbang

Disediakan oleh,

S.H.

Buya Hamka Menyingkap Rahsia Agung Bagaimana Manusia Mengenal Tuhan

Bagaimana untuk Menjadi Seorang Muslim yang “Mindfulness” ?