Berapa banyak cerita biadab yang sudah didiamkan dan akhirnya merenggut keadilan? Pernahkah kau menghitungnya? Ada satu cerita biadab yang perlu kau dengarkan;

Saban hari kebobrokan merenggut tanah kampung ini! Saban hari mereka datang dengan berkemeja kemas. Bertali leher. Rambut yang disikat ke belakang. Bersepatu kulit. Berkaca mata. Terlihat indah bukan? Tapi hairannya orang-orang di kampung ini menggelar mereka sebagai para ba-bi. Kenapa? Inilah cerita yang perlu kau hadamkan;

Khabarnya ini sudah bulan kedua belas para ba-bi itu bergantian berdatangan ke tanah ini. Setiap kali mereka datang, hasratnya cuma satu, iaitu ingin melamar tanah-tanah ladang kami. Pampasannya lumayan besar, beratus riban. Tapi aku dan orang-orang kampung sudah membulatkan tekad untuk menolak lamaran itu sejak hari pertama dulu.

“Celaka! Tunggu kalian!” Dan mereka pun pulang dengan hatinya yang berselimutkan dendam.

Sejak hari itu mereka tidak pernah mengalah. Tidak pernah! Orang-orang kampung ini memang cerdik. Gelaran ba-bi itu diambil sempena binatang yang rakus. Apa sahaja yang tersisa, pasti dilahapnya sehingga licin. Dan jika makanannya habis, kononnya ia akan memuntahkan makanan dari dalam perutnya itu, lalu memakannya semula. Para ba-bi itu pun samalah, barangkali ribuan hektar tanah ladang sudah dimilikinya, namun ia masih belum cukup untuk memuaskan kerakusan mereka itu. Dan aku tidak tahu kalau binatang yang digelarkan kepada mereka itu betul-betul wujud.

Selang beberapa minggu, tiga buah lori yang dipenuhi muatan makanan telah mengunjungi kampung kami;

“Ambillah, ini untuk kalian. Semuanya untuk kalian. Jangan segan-silu.”

Dan anak-anak kami menyambutnya dengan keriangan dan sorakan riuh. Sejujurnya, inilah pertama kali kami melihat makanan yang dibungkus dengan begitu kemas dan cantik. Di kampung ini, cuma tanah-tanah ladang inilah yang mengais perut kerempeng kami. Ya, sekurang-kurangnya untuk terus bertahan hidup. Adapun makanan berbungkus kemas sebegitu, mencicipinya sekali pun tidak pernah. Sekejap kami mengamati bungkusan itu, ada pula pelekat logo yang tidak kami kenali. Semacam sebuah bendera. Kata mereka, itu ialah logo kemasyhuran. Itulah logo yang memimpin negara makmur ini.

Tidaklah kami berfikir panjang, makanan itu semuanya habis kami jamah. Selepas itu, salah seorang daripada mereka datang menghampiri kami sambil membawa sehelai kertas.

“Sedap bukan? Mari, turunkanlah tandatanganmu, setiap minggu akan kami kirimkan makanan yang lebih banyak dan beraneka lagi.” Dan orang-orang kampung bersorak dengan riuhnya.

Mujurlah Tok Penghulu kami tidak tergesa-gesa. Dia memanggil anak perempuannya yang cilik itu untuk membacakan isi kertas yang dihulur tadi;

“…. dengan ini, kami bersetuju untuk menjual tanah..”

Tiba-tiba sorakan riuh berubah menjadi gertakan deras! Orang-orang kampung mengusir mereka. Mereka pun pulang. Memang celaka! Rupa-rupanya mereka itu sudah diupah oleh para ba-bi yang sama juga. Memang kami tidak bersekolah tinggi, tetapi kami juga tahu apa itu umpan. Lupakah kalian? Kami juga jaguh dalam memancing. Kemudian aku teringatkan gelaran ba-bi itu lagi. Kata orang kampung, binatang itu membawa penyakit. Cacing-cacing yang bersarang di perutnya itu suka berhijrah ke manusia, dan menyebabkan pelbagai penyakit. Mereka itu juga samalah, penuh penyakit cintakan dunia; rakus, tamak dan buta manusiawi. Dan aku tidak tahu kalau binatang yang digelarkan kepada mereka itu betul-betul wujud.

Beberapa bulan kemudian, kampung kami dikunjungi dengan orang-orang yang kelihatan warak. Semuanya bersongkok.

“Khabarkanlah masalahmu kepada kami, dengan izin-Nya akan kami bantu.”

Nada ucapan mereka yang sangat lembut dan mengharukan itu segera menambat hati orang-orang kampung. Lantas Tok Penghulu yang sudah jatuh hati dengan perwatakan mereka itu segera menyampaikan permasalahan besar orang-orang di  kampung ini.

“Kami selalu kelaparan. Lihatlah, perut-perut kami semuanya kerempeng. Anak-anak kami ramai, mereka sejak kecil sudah dilatih berpuasa dengan perutnya yang diikat dengan batu. Bantulah kami..”

Dengan mata yang bersinar-sinar, kami menunggu jawapan daripada mereka yang warak itu. Lalu mereka pun mengelus-elus janggutnya, lalu mengangkat telunjuknya ke langit. Mata kami mengekori telunjuknya dan semuanya melemparkan pandangannya ke langit secara serentak.

“Berdoalah. Di sanalah sebaik-baik pengharapan.”

“Kami tidak pernah meninggalkan doa, bahkan kami lah yang paling taat dalam berdoa.”

“Kalau begitu, barangkali kalian perlu mengorbankan sesuatu. Tanah ladang ini misalnya. Tuhan akan menggantikannya dengan yang lebih baik.” Dan kami segera menyedari bahawa ada sesuatu yang tidak beres. Rupa-rupanya, para manusia bersongkok ini pun berasal dari negara para ba-bi di sana. Mereka juga diusir! Mendengar perkataan tanah ladang saja, orang-orang kampung akan bertukar liar. Kami hampir-hampir tertipu lagi, dan rupa-rupanya pada zaman ini semua orang boleh bersongkok dan berdusta atas nama wahyu. Semudah itu!

Dan aku teringatkan lagi gelaran ba-bi itu. Orang-orang kampung mengatakan binatang itu aneh, ia tidak memiliki leher. Ya, sama jugalah dengan mereka itu, cuma mereka memiliki leher yang mati. Leher yang berfungsi untuk menyetir kepala supaya menundukkan pandangannya ke bawah itu tidak lagi berfungsi. Akhirnya mereka tidak lagi melihat kami orang-orang di kelas bawah yang kelaparan ini. Pandangannya sudah dikaburi dengan kerakusannya! Dan aku tidak tahu kalau binatang yang digelarkan kepada mereka itu betul-betul wujud.

Sampai bila-bila pun, kami tidak akan menjual tanah ladang ini. Itulah pendirian! Itulah keutuhan peribadi! Tanah ladang ini merupakan mukjizat Tuhan yang sudah memungkinkan kami untuk terus hidup. Tanah ladang ini ialah ibu kami. Lalu para ba-bi itu menyangka mereka boleh mendapatkannya dengan mudah. Mimpi!

Beberapa bulan pun berlalu, kami berfikiran bahawa para ba-bi itu tidak lagi berminat untuk mendapatkan tanah ladang ini. Tiba-tiba, sekelip mata saja kampung kami ditenggelami banjir! Sekelip mata semuanya musnah; rumah, tanaman dan juga beberapa nyawa tetua yang tidak sempat menyelamatkan diri. Ah, juga harapan! Semuanya berkecai. Selepas itu, tahulah kami bahawa empangan yang selama ini tekun menadah hujan di pergunungan sana sudah musnah. Itulah punca banjir besar ini. Dan tidak beberapa lama, para ba-bi itu datang, kononnya sebagai penyelamat. Mereka merapat lagi dengan sehelai kertas. Katanya, mereka akan memindahkan kami ke bangunan konkrit bertingkat yang lebih aman.

Helah, rupa-rupanya semua ini angkara mereka. Sekilas, kami sudah tahu bahawa mereka itulah yang sebenarnya memusnahkan empangan itu. Namun sampai di sini jugalah kudrat kami. Apakah daya dan dalil yang boleh bentangkan? Sifar! Dan kami semuanya menurunkan tandatangan dengan perasaan yang hancur. Para ba-bi itu tersenyum sinis.

Ah! Aku hampir terlupa dengan satu lagi sifat binatang yang digelarkan kepada mereka itu; kotor! Mereka itu pun sangat licik dan kotor! Segala kekotoran menempel pada hati mereka. Dan aku tidak tahu kalau binatang yang digelarkan kepada mereka itu betul-betul wujud.

– Tamat –

Disediakan oleh,

Ilham Yusuf

Seorang pengarang muda berasal dari Sabah yang aktif menulis cerpen di akhbar dan majalah tempatan. Pada usia 24 tahun, Ilham Yusuf sudah menerbitkan buku kumpulan cerpen pertamanya yang berjudul Mimpi-Mimpi Kebebasan.

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.