in

LoveLove

Muslimah, Semakin Berilmu Semakin Sederhana Penampilannya

One single line drawing of young happy muslimah on Islamic cloth carrying a purse ready to hangout. Pretty Asian women model in hijab fashion concept continuous line draw design vector illustration

Perkataan tabarruj (berhias) menurut bahasa ialah mempertontonkan kecantikan, wajah dan segala perhiasannya kepada lelaki yang bukan mahram serta segala perkara yang dapat membangkitkan syahwat para lelaki, termasuk berjalan dengan sombong dan bergaya indah. Manakala pengertian tabarruj menurut syariat adalah mempertontonkan perkara yang diharamkan oleh Allah SWT, iaitu mempertontonkan perhiasan dan kecantikannya. Pendapat lain mengatakan bahawa tabarruj ialah berjalan dengan lenggak-lenggok. (Tafsir at Thabari. 22/4)

Ada pendapat yang menyatakan bahawa tabarruj ialah bersolek dan mempercantikkan diri dengan niat untuk dipertontonkan kepada lelaki yang bukan mahramnya. Bahkan kerudung yang menutup kepala wanita jika dibuat dengan warna yang menjolok mata dan bentuk yang menarik perhatian ajnabi juga termasuk tabarruj jahiliah. (Al hijab, al mawardi halaman 132)

Sebagai seorang muslimah yang menjaga maruah dirinya, jauhilah perbuatan-perbuatan tabarruj. Di dalam Islam, kita tidak dilarang untuk berpakaian baru, kemas dan indah malah amat dianjurkan membersihkan dan memperindahkan penampilan diri. Akan tetapi, terdapat batas-batas yang mesti dipatuhi oleh muslimah supaya ia tidak jatuh dalam dosa tabarruj. Berhias secara sederhana, kemas dan bersih. Jangan mengenakan pakaian yang menyebabkan ramai lelaki terkesima memandang anda. 

Selain itu, memakai minyak wangi secara berlebihan juga merupakan salah satu bentuk tabarruj. Adakah perempuan muslimah itu berdosa memakai wangi-wangian? Bagaimana jika tercium bau yang tidak enak daripada dirinya?

Rasulullah s.a.w telah menjawab persoalan ini khusus untuk Muslimah, baginda s.a.w bersabda, “Wewangian lelaki ialah yang jelas baunya dan tersembunyi warnanya. Sementara wangi-wangian wanita pula ialah yang jelas warnanya dan tersembunyi baunya.” (Hadis Riwayat At Tirmidzi)

Hadis ini menjelaskan bahawa wanita dibolehkan untuk memakai wangi-wangian tetapi dengan bau yang tidak melampau dan tidak tercium dari jarak yang jauh oleh orang-orang terutamanya para lelaki. Gunakan minyak wangi sekadar yang perlu, bau yang tidak terlalu kuat, sekadar untuk menghilangkan bau yang tidak sedap pada tubuh badan kita.

Disamping itu, muslimah juga hendaklah menjauhi perbuatan berjalan lenggang-lenggok dengan sengaja untuk menarik perhatian orang lain. Perbuatan ini sudah tentu mengundang syahwat para lelaki hingga mereka boleh terbayang bentuk tubuh badan wanita. Naudzubillah min zalik!

Oleh itu, saya ingin menasihati para muslimah agar tidak terlepas pandang akan perkara-perkara tabarruj ini. Saya pernah terbaca di Facebook, “andai seorang wanita itu tahu bagaimana mata para lelaki ini memandang wanita, pasti para wanita tidak segan-silu untuk menutup seluruh auratnya.”

Suara wanita bukanlah aurat namun jika dengan sengaja mengeluarkan suara yang mendayu-dayu dan manja apabila berbicara dengan lelaki bukan mahram maka ini juga termasuk perbuatan tabarruj dan hukumnya jatuh haram.

Allah SWT melarang perbuatan ini dalam firmanNya, “….maka janganlah kamu berbicara dengan lembut manja kerana boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya, dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik, sesuai dan sopan.” (Surah al Ahzab ayat 32)

Sebaiknya berbicaralah dengan nada suara yang biasa-biasa sahaja.

Perempuan amat dikenali sebagai makhluk yang suka akan kecantikan dan hiasan kerana itu merupakan fitrah yang telah diciptakan oleh Allah SWT. Walau bagaimanapun, perempuan muslimah mestilah cakna ketika berhias di luar rumah. Simpanlah kecantikan hanya untuk suami dan sebaik-baiknya berhiaslah dan berwangi-wangian ketika berada di dalam rumah untuk suami.

Terdapat banyak lagi bentuk tabarruj jahiliah moden yang harus dijauhi oleh kaum muslimah. Cukuplah beberapa contoh yang dinyatakan di atas sebagai peringatan dan pengajaran kerana ada segelintir muslimah yang kurang cakna dan terleka akan dosa-dosa tersebut.

“Dunia adalah perhiasan, sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita solehah.” (Hadis Riwayat Muslim)

Maka jadilah wanita solehah itu, yang berpenampilan sederhana, berkualiti amalannya, bermanfaat ilmunya dan menyejukkan hati dan mata.

Nukilan,

Meirose


Hantar karya anda di emel [email protected]

Hikmah Bulan Ramadan Sebagai Bulan Terapi Jiwa

Meneladani Maryam dalam Menjaga Kesucian Diri