Tajam mata orang kampung ketika lalu lalang memerhati gelagat dua beranak ini bercerita. Zahrah dan ayahnya sedang hanyut dalam perbualan, ayahnya mula membuka cerita yang lain.

“Zahrah kau bernasib baik,” kata ayahnya. 

Ada orang lain di luar sana kurang bernasib baik. Bertahun-tahun tidak bersama keluarga walaupun darah daging sendiri.

“Kenapa ayah?” Soal Zahrah ringkas.

“Kerana berbeza sempadan negara dan tempat tinggal mereka, orang sini selalu gelarkan ‘tidak ada surat’.”Jawab ayahnya.

Perbualan itu tiba-tiba sahaja berlalu tanpa jawapan balas.

Persoalan tentang nasib mereka terngiang-ngiang sepanjang meniti hari. Karenah birokrasi bukan mudah untuk ditembusi. Apatah lagi mengurus status kewarganegaraan.  sukar bagi mereka tinggal sebumbung bersama ahli keluarga yang lain.

Hatta, dibayar dengan wang beribu dan jarak berbatu sekalipun. Entah, sangat susah dan terlalu panjang proses mendiami sesebuah negara itu. Tetapi itu hanyalah tinggal persoalan. Soal status kewarganegaraan yang sering dibual-bualkan di bibir masyarakat sehingga ke hari ini tidak menemui kata putus. 

“Tiada benci yang kekal. Begitu juga tiada sakit yang kekal. fizikal, mental dan emosi sering bekerja keras berjalan seiring dan sempurna. Adakalanya jalan itu menemui kegagalan, kerana berbeza haluan yang dipilih oleh seorang yang bergelar ayah. 

Ibunya telah lama meninggalkan mereka sejak zahrah di bangku sekolah lagi. Bangun awal pagi, bermain di waktu petang merupakan rutin harian ketika Zahrah masih kanak-kanak. Tidak terjangkau oleh fikiran bagaimana rupa kehidupan mereka di masa akan datang.

Di usia yang kecil lagi zahrah bebas bermain ke sana dan ke sini. Bermain guli dan menangkap anak ikan dalam takungan air paya bakau di belakang rumahnya. Aktiviti itu menjadi kebiasaan kanak-kanak kecil ketika zamannya. Mengenal Alif Ba Ta lebih awal sebelum mengenal huruf ABC. Begitulah prinsip ayahnya sangat menekankan ajaran agama untuk anak perempuannya itu. 

“Perjalanan hidup yang mendatar kadangkala memberi tamparan angka negatif yang seakan-akan tidak mempunyai gunanya. Tetapi angka turun dan naik itu mempunyai nilai tambah dan tolaknya sendiri. Nilai yang berbaki itulah merupakan nilai yang patut disyukuri oleh Zahrah.”

Ayahnya sanggup membesarkan Zahrah walau tanpa seorang wanita di samping seorang suami dan anak. Dia yakin kekuatan untuk menjaga anak perlu hadir dalam dirinya. Kerja memasak, mengasuh, melipat kain bukanlah tugas hakiki seseorang yang bergelar wanita sahaja. Malah lelaki juga mampu membuat kerja-kerja yang sering dikaitkan dengan golongan “feminin” itu. Dia yakin anak yang diasuhnya itu akan menabur bakti di tanah kelahirannya sendiri nanti. 

“Zahrah sangat bersyukur ayah, ayah sanggup jaga Zahrah walaupun tiada ibu di sisi.” Kata Zahrah dengan nada sayu.

Mungkin bagi orang lain, hal kecil itu hanya dipandang sebelah mata sahaja. Tapi tidak bagi Zahrah. Ketika di sekolah dia sering dilontarkan dengan persoalan tentang keluarganya. Hal-hal kecil itulah yang akan memberi impak yang besar dalam hidupnya.

Begitulah ketakutan yang dialaminya, takut berjumpa dengan rakan-rakannya. Adakalnya jiwa kecilnya meronta membandingkan nasibnya dengan rakannya yang lain. Kata-kata ayahnya seperti menutup luka-luka itu. nasihat ayahnya menjadi sumber kekuatan.

Memahami satu analogi yang mudah, melihat anak kecil di jalanan berkaki ayam. Adakah itu perkara yang biasa dilihat? Apa yang akan kamu lakukan? Tersenyum dan terus beredar?

Ada mata yang melihat dengan jiwa  maka wujud rasa kasihan. Ramai yang simpati tapi tidak ramai yang empati. Ada juga yang hanya melihat dengan mata sahaja lalu melunaskan tugasan yang harus diselesaikan sebelum waktu pejabat tamat. Begitulah nasib Zahrah dipandang orang lain. Ada tapi tidak dipandang. 

“Adakalanya kita dipandang kerana ada sesuatu dan kita dibuang kerana tidak ada sesuatu itu, sesuatu itu adalah harta, darjat dan keturunan.”

Tanah airku bagi Zahrah adalah tanah kelahirannya. Tempat aku tumpah darah merupakan tempat aku diarah dan dimarah, di sini juga tanah aku akan bertemu tanah. Entah apa yang harus aku jawab terhadap persoalan mereka itu. Soal hak? Hak apa yang sudah lama dipandang hanya sebelah mata? Panjang keluhan Zahrah mendengar cerita ayahnya itu. 

Dia bersyukur kerana dapat menikmati pendidikan dalam masa yang sama banyak lagi anak-anak yang keciciran di luar sana memerlukan perhatian. Pendidikan itu milik semua.

Tambah ayahnya lagi, ada yang mempunyai ruang pendidikan tetapi tidak habis pula persekolahannya. Ada yang tidak mendapat akses kepada pendidikan kerana masalah dokumen dan kewangan. Tetapi membuak-buak semangat mereka untuk belajar. Begitulah perbezaan pandangan dan peluang seseorang terhadap ilmu itu. Masing-masing punya kaca mata yang berbeza.

Pendidikan adalah satu alat pembebasan. Bebas daripada apa? Pendidikan ini membebaskan persoalan kenapa aku tidak seperti mereka? Pendidikan ini membebaskan persoalan bagaimana aku boleh bertahan hidup selama ada di sini? Paling penting pendidikan membebaskan persoalan sudah cukup menjadi manusiakah aku?

Pembebasan terhadap hak yang telah lama dipenjarakan hingga bungkam melutut orang lain menagihnya. Semoga dengan pendidikan dapat membuka mulut-mulut itu. 

Gelora jiwa juga bakal menemui ketenangan. Segala penderitaan ini juga pasti ada kebahagiaan yang singgah walaupun sebentar. Tetapi tetap pernah hadir dan memberi rasa. Sama ada ia akan sembuh atau sakit itu akan pergi selama-lamanya bersama jasad yang tidak bernyawa lagi. Cukuplah dengan sekelumit rasa kemanusiaan itu dapat menumbuhkan bunga raya yang cukup lima kelopaknya sehingga ia diangkat sebagai bunga kebangsaan dan kebanggaan negara ini. 

Nukilan,

Nurfarahin Azmi

Tuaran, Sabah

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.