Setiap manusia mengimpikan untuk dipanggil menjadi tetamu Allah. Beruntung buat mereka yang berpeluang merasai menjadi tetamu-Nya. Menjadi salah seorang tetamu yang dipanggil untuk menghadap-Nya merupakan satu pengalaman yang cukup indah. 

Jujur, tidak pernah pernah terlintas untuk merasai pengalaman itu pada usia yang begitu muda. Pada hemat diri, ditanam dalam sudut hati untuk sampai jua ke sana suatu hari nanti. Mungkin selepas mendapat pekerjaan apabila tamat belajar, lalu pergi bersama keluarga. Siapa sangka, apabila Dia berkehendak, maka dipanggil oleh-Nya untuk menjadi tetamu pada usia yang muda. 

Segalanya bermula apabila seorang pak cik yang dikenali sebagai Pak Lan berkeinginan untuk menunaikan umrah selepas mendapat rezeki hasil menjual tanah pusaka arwah nenek. Dia mempelawa adik-beradiknya untuk menunaikan umrah bersama. 

Akhirnya, keputusan dibuat. Hanya kami berlima iaitu Pak Lan, Mak Cik Kiah, Mak Lang, ibu dan saya. Saya adalah yang paling muda antara kami berlima. Ketika itu, saya baru sahaja tamat menjawab Peperiksaan Sijil Persekolahan Tinggi Malaysia (STPM). Umur saya pada ketika itu adalah 20 tahun. Saya kira terlalu muda untuk saya ke sana, mungkin belum betul-betul bersedia. 

Saya ke sana dengan bermahramkan kepada pak cik sebelah ibu. Hal ini disebabkan oleh bapa saya tidak bersama-sama kami untuk menunaikan umrah. Oleh itu, pelbagai proses dan prosedur yang perlu diikuti sebelum saya dibenarkan untuk mengikuti rombongan umrah pada ketika itu. 

Saya diminta untuk menyediakan beberapa dokumen penting berkaitan diri dan ibu bapa untuk pengesahan. Saya juga diminta untuk ke pejabat dan bertemu dengan orang-orang tertentu untuk mendapatkan tanda tangan dan cop rasmi daripada Pesuruhjaya Sumpah. Alhamdulillah, saya bersyukur. Urusan saya seperti dipermudahkan oleh Allah. 

Pada masa yang sama, saya terkejut, betulkah ini? Saya dipanggil? Saya berpeluang untuk bertemu dengan Allah? Layakkah saya? Secepat ini? Ya, saya berdoa kepada Allah untuk kembali kepada-Nya. Saya berdoa kepada Allah untuk berubah kerana dosa silam. Saya ingin berhijrah dari masa remaja yang lalai, banyak melakukan dosa pada ibu bapa, rakan-rakan, orang sekeliling dan diri saya sendiri. 

Adakah Allah memakbulkan doa saya? Adakah ini petanda Allah ingin membantu saya? Saya sangat teruja dan saya juga takut. Saya pendosa, jijik, kotor dan hina. Saya malu dengan diri saya. Saya malu dengan Allah.

15 Februari 2017 hingga 22 Februari 2017

Hari yang dinanti tiba. Kami berangkat ke Madinah dari Kuala Lumpur International Airport (KLIA) pada jam 11 pagi waktu Malaysia. Kami mendapatkan khidmat daripada agensi umrah Multaqa Al Iman sebagai agensi travel kami di sana. 

Menurut agensi tersebut, penerbangan kami dari KLIA tidak dapat mendarat di lapangan terbang Jeddah kerana pada ketika itu lapangan terbang tersebut hanya menerima pendaratan kapal-kapal kecil sahaja. Hal ini disebabkan oleh lapangan terbang Jeddah sedang mengalami proses penambahbaikan. Oleh itu, penerbangan kami dari KLIA akan mendarat di lapangan terbang Madinah. Kami akan menginap di Madinah untuk satu malam, kemudian akan berangkat ke Mekah untuk menunaikan umrah pada keesokan paginya dengan menaiki bas. 

Setibanya kami di lapangan terbang Madinah, kami dibawa untuk melepasi proses pemeriksaan oleh imigresen Arab. Setelah selesai proses pemeriksaan para jemaah, kami dibawa ke hotel yang menjadi tempat untuk kami menginap. 

Cuaca di sana pada ketika itu berada dalam lingkungan 15-17 darjah. Dingin angin di rasai sehingga tulang. Ditambah pula dengan pendingin hawa hotel. Bibir bergetar sehingga menjadi kering. Sesekali terasa titisan air hangat yang keluar melalui hidung. 

Sungguh, cuacanya begitu berbeza dengan Malaysia. Meskipun telah memakai baju sejuk yang berlapis, tetapi masih tidak dapat mengatasi rasa sejuk di situ. Mungkin juga ia disebabkan oleh diri saya sendiri yang tidak begitu tahan sejuk. Kami kemudiannya diminta untuk berehat dahulu di dalam bilik masing-masing. 

Keesokan paginya, kami berangkat ke Mekah dengan menaiki bas. Menurut mutawif, perjalanan dari Madinah ke Mekah memakan masa selama dua jam. Sepanjang perjalanan tersebut, pelbagai perkongsian dan tazkirah yang dikongsikan oleh mutawif. Saya masih ingat akan satu kata-kata dari mutawif tersebut yang cukup terkesan dalam diri saya. Seingat saya, kata-katanya lebih kurang begini;

“Tuan-tuan, puan-puan dan adik-adik semua, Alhamdulillah, kita telah memasuki ke tanah haram Mekah. Saya mohon tuan-tuan, puan-puan dan adik-adik semua sama-sama kita panjatkan rasa syukur dengan memuji dan menyambut seruan Allah;

Labbaik Allahumma labbaik, labbaika la syarika laka labbaik, innal hamda wan ni’mata, laka wal mulka la syarika lak.”

Saya akui, pada saat ini, yakni pada saat saya menyahut seruan Allah itu, air mata saya mengalir tanpa saya sedari. Di sebelah saya pada ketika itu, adalah ibu saya. Saya memandang ibu, lantas terus memeluknya erat. Seakan tidak percaya, kami menangis bersama.

“Ya Allah, aku sudah sampai. Aku sudah sampai di sini menyahut seruan-Mu. Aku sudah sampai di sini sebagai tetamu yang Kau panggil. Sungguh indah, cantik dan mendamaikan bumi-Mu ini. Terima kasih Allah, Kau beri aku peluang untuk merasai semua ini. Terima kasih Allah kerana telah menjemput aku ke sini.”

Ayat ini keluar tanpa henti dari mulut saya. Tidak berhenti saya mengucapkan syukur. Tidak berhenti saya berterima kasih kepada Allah atas peluang yang diberi. Sukar untuk saya menggambarkan bagaimana perasaan saya pada ketika itu. Impian yang menjadi kenyataan. Mimpi yang menjadi realiti. 

Sebelum ini, hanya melihat dan mendengar cerita daripada kawan-kawan dan kenalan terdekat. Namun kali ini, saya sendiri berpeluang untuk merasainya. Tiada kata yang mampu diucapkan. Hanya ada tangisan kegembiraan, keterujaan dan kekaguman beserta senyuman yang tidak lekang di bibir. Sungguh indah aturan Allah. 

Setibanya kami di Mekah, destinasi pertama kami adalah di hotel yang akan kami menginap. Kami diarahkan untuk berehat dan menjamu selera sebelum dibawa untuk menunaikan umrah. 

Selesai berehat, kami diminta untuk berkumpul di lobi hotel. Mutawif terlebih dahulu memberikan sedikit taklimat ringkas dan tatacara melakukan umrah. Bersama dengan saya pada ketika itu ialah ibu, Mak Lang dan Mak Cik Kiah. Kami berempat berpegangan tangan, erat. Saya, orang yang dipertanggungjawabkan oleh ahli keluarga untuk menjaga mereka. Pak Lan pula berjalan bersama mutawif. Kami kemudiannya dibawa oleh mutawif memasuki Masjidil Haram melalui pintu 87. 

Apabila melangkah sahaja masuk ke Masjidil Haram, kelihatan sosok-sosok tubuh manusia yang datang dari pelbagai tempat dan negara sedang melakukan ibadah. Ada yang sedang solat, ada yang sedang mengaji, ada yang sedang berzikir dan ada yang sedang bersungguh-sungguh berdoa sehingga mengalirkan air mata. 

Terdapat juga kanak-kanak Arab yang sedang berlari-lari gembira di dalam Masjidil Haram. Ada yang sedang bermain dengan kawan-kawan dan ada juga bayi yang sedang merengek sewaktu ibunya sedang solat. Terdetik di hati saya, beruntungnya mereka. Masih kecil, tetapi sudah sampai di sini. Tanpa dosa, mereka suci, terlalu suci. 

Dari jauh, mata saya tertangkap akan satu pandangan yang cukup indah. Ia ada di hadapan saya. Cantik, sungguh cantik. Saya sedang melihatnya, tanpa kerdipan. Seperti sedang jatuh cinta, kami bertentangan mata. 

Sekian lama merindui, saat ini kami bertemu. Ia seolah melambai, memanggil saya mendekati. Seolah berada dalam khayalan sendiri, saya tidak tahu apa yang terjadi di sekeliling, pandangan saya masih sama. Mata ini tidak lepas dari menatapnya. Saya sungguh tertarik. Ia semakin mendekat, langkah saya semakin menghampiri. Kini, saya betul-betul berapa di hadapannya. Saya berada dekat dan bersebelahan dengannya.  Benarkah apa yang saya lihat ini?

“Inilah Dia. Dia yang memanggil aku. Dia yang menyeru aku untuk bertemu dengan-Nya. Dengan rendah diri, aku menyahut panggilan-Nya. Dia beri aku peluang untuk menatap-Nya. Indah, sungguh indah. Tenang, cukup tenang. Ia bersinar, ia bercahaya, ia sungguh cantik.”

“Labbaik Allahumma labbaik, labbaika la syarika laka labbaik, innal hamda wan ni’mata, laka wal mulka la syarika lak.”

Entah bila agaknya pipi ini dihujani air mata. Mungkin ia jatuh ketika saya ralit menatapnya. Dengan bibir yang tidak henti memuji dan menyahut seruan-Nya. Ia bergerak serentak. 

Pada ketika itu, fikiran saya kosong. Tidak tahu apa yang saya fikirkan. Air mata yang masih tidak berhenti, pandangan yang masih tidak teralih, bibir yang masih berzikir. Terlalu kagum dan terkesima. 

Saya malu, saya sangat malu. Saya malu dengan Allah, terlalu banyak dosa yang saya buat. Allah masih melihat saya, Allah masih memanggil saya, malah Allah menjemput saya ke rumah-Nya. Berulang kali saya ulang dengan Allah, saya sangat malu dengan Dia. Saya sangat berterima kasih kerana Dia sudi menjemput saya.

Sepanjang saya berada di sana, saya berasa sangat tenang. Fikiran saya kosong. Tidak ada apa yang saya fikirkan, tidak ada apa yang saya risaukan. Bahkan, saya tidak terfikir apa yang sedang berlaku atau yang menarik di Malaysia. 

Saya betul-betul meletakkan diri saya di sana, bersama Allah. Saya sungguh-sungguh melaksanakan ibadah dengan menghambakan diri kepada Allah. Memohon ampun dan bertaubat kepada Allah. Tidak lupa juga memohon doa dan bantuan daripada kekasih Allah iaitu Nabi Muhammad SAW di Raudah, Madinah. Saya sangat menikmati masa dan hari-hari saya di sana bersama Allah dan Rasulullah. Mustahil untuk dapatkannya di Malaysia dengan tenang. 

Sehingga tiba harinya kami perlu berangkat pulang, sekali lagi air mata ini tumpah di hadapannya. Berat rasa untuk bangkit dari sujud terakhir yang indah di sana. Tangisan yang mulanya hanya aliran air mata menjadi esak-esak tangisan yang tidak dapat lagi ditahan. Inilah kali terakhir saya dapat menatapnya, menciumnya dan bersujud di hadapannya. Sudah tiba masanya untuk kami berpisah. Berat hati ini untuk meninggalkannya, berat juga kaki ini untuk melangkah keluar. Entah bila lagi agaknya dapat kami bersua. 

Buat kali yang terakhir, saya menatap dan melambaikan tangan kepadanya dengan ucapan, “Assalamualaikum”. Itulah kali terakhir saya melihatnya sebelum ia hilang sepenuhnya dari pandangan saya. 

Sehingga kini, situasi itu masih lagi segar dalam ingatan saya. Bayangannya masih lagi jelas pada bola mata saya. Suasana dan cuaca di sana masih terbayang dalam fikiran saya. Mustahil untuk saya dapatkannya di Malaysia ini. 

Kini, memasuki tahun kelima saya tidak berkesempatan untuk bertemu lagi dengan-Nya. Saya sangat merindui segala-galanya di sana. Cuaca yang sejuk, menikmati ais krim di dalam bas, merasai kurma ais di masjid, menaiki Jaban Nur, memakan mi segera sambil menunggu bas, menikmati sarapan roti canai di Mekah, merasai burger jalanan di Mekah, membeli-belah, belajar bahasa Arab dari peniaga, bermain dengan burung merpati dan berkongsi rezeki dengan orang Arab di Mekah dan Madinah. Namun, semestinya yang paling dirindui adalah untuk beribadah kepada Allah dan melepaskan rindu kepada Rasulullah. 

Pesan saya, buat semua yang masih menanti giliran untuk dipanggil bertemu dengan Allah, jangan pernah berhenti untuk berdoa. Meskipun orang sekeliling seakan tidak yakin dengan apa yang anda miliki atau tidak percaya anda dapat ke sana kerana dosa-dosa anda, percayalah bahawa Allah hanya akan memilih siapa yang dikehendaki-Nya. 

Manusia yang jahat mampu berubah menjadi baik atas kehendak Allah. Manusia yang baik mampu berubah menjadi jahat juga atas kehendak Allah. Yang baik, tidak semuanya baik. Yang jahat, tidak semuanya jahat. Semampu mana kehidupan anda, jika Allah tidak berkehendak maka pasti akan ada perkara-perkara yang menghalangi. Pesan mutawif saya kepada semua;

“Allah menjemput kamu semua bertemu dengan-Nya atas kehendak-Nya. Allah mempunyai kuasa untuk memilih siapa yang dikehendaki-Nya. Jika Allah berkehendak, maka tidak ada apa-apa yang mampu melawan-Nya. Walaupun anda pendosa yang jahat atau jahil sekalipun, sekiranya Allah berkehendak, maka Dia akan mempermudahkan segala urusan anda untuk bertemu dengan-Nya. Percaya pada Allah, yakin pada Allah dan jangan pernah berhenti untuk menyahut seruan-Nya. Seringlah ucapakan,

Labbaik Allahumma labbaik, labbaika la syarika laka labbaik, innal hamda wan ni’mata, laka wal mulka la syarika lak.”

Semoga masih berpeluang merasai kemanisan bertemu dengan Allah. 

Segalanya dengan izin Allah SWT.

Disediakan oleh,

Norshahera Zulkifli

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.